Melawan diskriminasi wanita dalam dunia kejuruteraan

Melawan diskriminasi wanita dalam dunia kejuruteraan

barisan panelis menerima penghargaan topi keselamatan bersempena Hari Kejuruteraan Wanita Antarabangsa (INWED) di Persada Plus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keberanian, prinsip teguh dan keikhlasan menjadi senjata utama wanita dalam bidang kejuruteraan untuk bertahan dalam dunia yang masih didominasi lelaki.

Pengarah Ganendra Ahmad & Associates Sdn. Bhd., Datuk Ir. Rosaline Ganendra berkata, beliau pernah mengalami diskriminasi daripada lelaki yang tidak yakin dengan diri sendiri.

Katanya, beliau menghadapinya dengan terus bekerja keras dan membuktikan kelayakan melalui hasil kerja.

“Saya tidak lawan secara keras, saya tetap bekerja, beri cadangan terbaik dan tunjukkan saya paling layak selesaikan masalah,” ujarnya.

Menurutnya, wanita yang berlatarkan kejuruteraan sebenarnya terlatih untuk menjadi serba boleh dan cepat menyesuaikan diri.

“Sebagai wanita dan jurutera, kita memang serba boleh. Kita ada latihan teknikal, disiplin dan boleh adaptasi. Saya tidak menjerit atau marah, saya kekal tegas dan tunjukkan saya yang mampu,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Zainora Zainal turut berkongsi pengalaman peribadi apabila berdepan dengan sikap rakan sekerja lelaki yang lebih senior.

“Semasa bertugas di luar kawasan, perbezaan pendapat menjadi perbalahan dan akhirnya rakan sekerja tersebut mengeluarkan kata-kata berbentuk serangan peribadi.

“Dia kata, ‘Saya tidak boleh bayangkan macam mana suami awak tahan dengan awak di rumah.’ Saya sangat marah sebab itu adalah serangan peribadi, bukan isu kerja,” katanya.

Baginya, penting bagi wanita untuk bijak menguruskan keadaan, berani dan tidak membiarkan rasa takut menghalang mereka.

“Yang penting pengalaman dan kebijaksanaan yang kita bawa. Kita sebagai wanita kena belajar uruskan keadaan, yakin dan jangan takut,” katanya.

TELUS, EKSPRESIF

Menurut Penasihat Kanan, Kumpulan Lantau, Datuk Roslina Zainal, pengalaman terbesarnya bermula apabila dinaikkan pangkat mengetuai Jabatan Perolehan Tenaga yang menguruskan Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) dengan syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Tanggungjawab itu membuka ruang baharu yang menguji prinsip dan keberaniannya ketika berlaku kes failure to dispatch di mana IPP gagal membekalkan tenaga seperti dijanjikan.

Beliau menolak penyelesaian dalaman dan bertegas membawa kes ke timbang tara. Walaupun berdepan tekanan dan cubaan memujuk, beliau tetap berpegang pada fakta dan sanggup menjadi saksi.

Dengan sokongan Ketua Pegawai Eksekuitf baharu, tindakan diteruskan dan selepas lebih setahun, Tenaga Nasional memenangi kes tersebut.

“Lepas daripada itu, saya dikenali sebagai orang yang berani pertahankan syarikat,” katanya yang kemudian dilantik sebagai Naib Presiden paling muda di Tenaga Nasional pada usia 46 tahun.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, berkata bos wanita lebih ikhlas dan ekspresif kerana mahu memperbaiki keadaan.

“Mengenai istilah lady boss yang sering dianggap negatif, kami bersepakat ia sebenarnya patut ditafsirkan secara positif.

“Walaupun ada yang kata lelaki lebih flat emosinya, namun wanita yang ekspresif sebenarnya membantu suasana kerja lebih baik kerana berani bersuara demi kebaikan.

“Yang penting, kita cakap dengan jujur, ikut prinsip dan jangan takut untuk suarakan kebenaran,” tegasnya.

Istilah lady boss perlu dilihat sebagai lambang positif kerana wanita mempunyai empati dan perhatian terhadap perkara-perkara yang boleh memajukan organisasi.

“Bos wanita biasanya lebih prihatin, ada empati, lebih teliti dan boleh membawa organisasi ke tahap lebih baik. Zaman sekarang pun perlukan bos yang bukan sahaja kejar angka, tetapi juga jaga kesejahteraan staf,” katanya.

Bagi Zainora, pengalaman bekerjanya menunjukkan faktor jantina sebenarnya tidak relevan selagi seseorang itu membawa ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan.

“Bagi saya, jantina tidak penting. Yang penting pengalaman dan kebijaksanaan yang kita bawa,” katanya sambil menambah beliau sendiri lebih selesa berbincang dengan lelaki juga kerana perbualan lebih terbuka.

Tambah Zainora, selain perkongsian pengalaman dan kisah kejayaan, mereka juga menyasarkan untuk menubuhkan sebuah platform rasmi seperti Women in Engineering.

“Platform ini bukan sahaja menjadi ruang untuk wanita berkongsi cerita dan mendapatkan bimbingan, tetapi juga sebagai jaringan yang boleh dikembangkan hingga ke peringkat antarabangsa. Usaha ini diharap dapat membantu mengekalkan lebih ramai jurutera wanita dalam industri.

“Sebagai langkah permulaan, kami menyasarkan untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 300 peserta dan sambutan yang diterima adalah melebihi jangkaan.

“Bagi jangka masa panjang, kami berhasrat menubuhkan chapter Wanita dalam Kejuruteraan di Malaysia yang akan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa, sekali gus menyediakan data, kajian dan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kedudukan wanita dalam bidang kejuruteraan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN