Acara batang pinang licin kembalikan nostalgia

Acara batang pinang licin kembalikan nostalgia

Acara batang pinang licin yang disertai oleh golongan muda kembalikan tradisi pesta rakyat suatu ketika dahulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tradisi memanjat batang pinang licin yang pernah menjadi nadi sambutan kampung suatu ketika dahulu, kini kembali mencuri tumpuan di Kampung Batu Kapor apabila ribuan hadir memeriahkan Pesta Sukan Rakyat 2025, baru-baru ini.

Lebih istimewa, acara yang menghimpunkan pelbagai kaum dan peringkat umur itu mencerminkan semangat perpaduan dan kegembiraan masyarakat desa yang rindu akan suasana tradisi lama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu Kapor, Mohd. Marizi Sohaimi berkata, penganjuran kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat sokongan padu penduduk dan penaja dalam kalangan komuniti sendiri.

“Acara memanjat batang pinang ini pernah menjadi kemuncak setiap pesta kampung dahulu, namun terhenti lebih 15 tahun kerana kekangan dana dan komitmen lain.

“Tahun ini, kita jadikan permulaan baharu. Sambutan sangat menggalakkan. Paling membanggakan, hadiah-hadiah termasuk wang tunai dan seekor kerbau disumbangkan oleh anak-anak jati kampung yang berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya Kepada Utusan Malaysia.

Sebanyak tiga batang pinang disediakan termasuk khusus untuk kategori kanak-kanak dengan pelbagai hadiah menarik menanti di puncak seperti wang tunai, gitar, pakaian dan barangan elektrik.

Sorakan gamat kedengaran setiap kali peserta tergelincir lalu bangkit semula, mencerminkan ketabahan dan keazaman dalam suasana yang penuh tawa dan semangat kebersamaan.

Bagi penduduk, Suhairi Wahab, 35, acara itu bukan sahaja mengimbau kenangan remajanya, malah menjadi momen berharga untuk dikenang generasi muda.

“Seingat saya, sudah lama batang pinang tidak ‘naik’ di kampung ni. Dulu saya pernah panjat semasa remaja. Hari ini saya cuba semula, memang meriah dan hadiah pun banyak,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Fatah Yaakob, 30, yang pertama kali menyertai acara itu berkata, sukan rakyat seperti ini membuatkannya rasa seperti berada dalam satu keluarga besar.

“Pengalaman pertama saya sertai sukan kampung macam ini. Rasa seronok, semua orang mesra dan meriah. Sasaran saya? Mestilah gitar di atas tu!” katanya sambil ketawa.

Lebih manis, pesta itu turut disertai peserta pelbagai kaum termasuk P. Dorasamy, 40, yang teruja menyertai acara tradisi Melayu buat pertama kali.

“Saya orang India tapi memang seronok campur dengan orang Melayu. Semua orang layan baik. Ini kali pertama saya cuba panjat batang pinang dan tarik tali. Seronok sangat,” katanya.

Selain panjat batang pinang, antara acara lain yang mencuri perhatian ialah tarik tali, memancing, anyam ketupat, pancing botol serta pertandingan memasak yang disertai oleh golongan ibu.

Pesta itu turut diserikan dengan kehadiran Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli yang merasmikan majlis sambil menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Lebih mengharukan, pesta itu membuktikan semangat kekitaan dan jati diri kampung masih utuh dan terus dipertahankan – menjadikan Kampung Batu Kapor bukan sekadar sebuah kampung, tetapi lambang kekuatan warisan bangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN