10,000 pengunjung teruja ‘kembali’ ke pasar ala

10,000 pengunjung teruja ‘kembali’ ke pasar ala zaman pahlawan Melayu

Penduduk berpakaian tradisional era sebelum merdeka sedang berjaja ikan liar Sungai Pahang sempena Program Budaya @ Komuniti di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut baru-baru ini. – utusan/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA pengunjung memasuki ruang gerai dan menjengah ke dalam Program Budaya @ Komuniti, di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut suasananya seakan-akan di era sebelum negara merdeka apabila kebanyakan pengunjung, penjual serta penggiat seni berpakaian Melayu lama dan banyak makanan tradisional Melayu termasuk kuih-muih dijual di situ.

Juga terpampang Tulisan Jawi dan bahasa kolokial Pulau Tawar terpampang di pintu masuk lokasi program itu malah, kedengaran pertuturan pengendali majlis menggunakan loghat kampung tersebut sehingga agak sukar bagi kebanyakan pengunjung memahami maksud atau erti

bahasa kolokial sekali gus mewarnai suasana sebenar era sebelum merdeka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kedondong, Pulau Tawar, Mohd. Rozi Rozuki berkata, Program anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dan Pertubuhan Kesenian Kebudayaan Jerantut (PKKD) itu berkonsepkan suasana dalam era kehidupan Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dan Tok Gajah pada awal 1880-an.

“Pada era tersebut, pekan sehari yang terletak di pesisir Sungai Pahang berdekatan kampung ini menjadi tumpuan penduduk berjual beli di samping persinggahan pedagang dari luar seperti Sumatera, Acheh dan daerah lain di Pahang.

“Pekan sehari berkenaan merupakan pertemuan penduduk tempatan dan orang luar sekali gus menyuburkan asimilasi budaya dan kesenian melibatkan pertuturan, pakaian, makanan dan kesenian,” katanya.

Pekan sehari itu terkenal dalam kalangan penduduk tempatan termasuk pernah menjadi persinggahan pembesar negeri yang menggunakan laluan Sungai Pahang ketika mudik Ulu Pahang, Ulu Tembeling dan beberapa tempat lain.

Program kali kedua ini menjadi tumpuan hampir 10,000 orang pengunjung yang ingin menyaksikan sendiri suasana aktiviti jualan berkonsepkan era Pahlawan Melayu.

“Program ini juga diwarnai dengan pertunjukan permainan tradisional dan sukan rakyat seperti gasing pangkah, sepak raga ratus, congkak, kukur nyiur berpasangan, hencang buah keras, mencari Puspawangi termasuk pertandingan menulis khat persembahan Gendang Pahang, seni silat enam perguruan, tarian tradisional, nyanyian lagu rakyat loghat Pahang dan pertandingan syair.

Sementara itu, Pengarah JKKN Pahang, Mohd. Rizal Ismail berkata, pelbagai pengisian disusun secara menyeluruh merangkumi elemen tradisi, warisan, pendidikan dan interaktif bagi mendekatkan masyarakat dengan seni budaya setempat.

“Program Menyemarakkan Seni Budaya @ Komuniti 2025 selama dua hari ini bukan sahaja menjadi wadah penghargaan terhadap khazanah budaya, malah berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi lama dan baharu untuk menyemai kecintaan serta tanggungjawab terhadap warisan kita.

“Menariknya, pertunjukan tradisi ‘berderau’ dapat dilihat apabila penduduk yang berpakaian Melayu lama memasak bubur asyura dan kenduri kampung menzahirkan nilai muafakat yang tetap utuh dalam kehidupan masyarakat Melayu pesisir Sungai Pahang yang difahamkan mula membuat penempatan sejak 300 tahun lalu,” katanya.

Lebih mengujakan, peniaga memasak sambal hitam belimbing, ikan patin tempoyak, kuih puding raja, kuih badak kubang, kuih dodol kukus, kuih koci gula kabung dan pelbagai kuih tradisional Melayu Pulau Tawar untuk dijual kepada pengunjung.

Pengunjung, Roni Sharil Anuar Saffin, 47, berkata, suasana yang dilihat mengimbau semula kehidupan bersama keluarga ketika usia kanak-kanak.

“Dengan adanya program ini, saya dapat bertemu semula dengan saudara-mara dan kenalan sekolah sejak meninggalkan kampung ini apabila bermastautin di Lembah Klang dan kelihatan pemuafakatan serta ukhuwah wujud antara orang-orang tua dan muda,” katanya.

Acara yang diatur cukup signifikan mengembalikan warisan sejarah perjuangan Mat Kilau dan kehidupan sosial orang-orang tua sebelum merdeka di kampung tersebut yang perlu diteladani oleh generasi kini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN