KEBANYAKAN ibu bapa atau penjaga gemar membawa anak-anak bermain di taman permainan tertutup, terutama di pusat beli-belah yang menawarkan persekitaran selamat, selesa dan terkawal.
Walaupun nampak seperti bersih dan terjaga, realitinya, lokasi ini menjadi lubuk bakteria dan virus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Pengarah Perubatan di Klinik Perubatan Dermourra, Dr. Nadya Amin Shaharudin berkata, rata-rata kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak dikesan merebak kerana pernah berkunjung ke taman permainan tertutup.
Katanya, ruang di taman permainan tertutup itu sering kali padat dengan sistem pengudaraan yang kurang baik.
“Setiap hari, permukaannya disentuh ratusan tangan, malah tidak semua ibu bapa prihatin terhadap tahap kesihatan anak.
“Kanak-kanak yang masih demam, batuk atau mengalami ruam tetap dibawa bermain di situ,” katanya baru-baru ini.
Kata Nadya Amin, segelintir ibu bapa turut dikesan sengaja membiarkan lampin si kecil bocor ketika bermain dan bergaul dengan kanak-kanak lain tanpa segera menukarnya.
Bahkan, ada juga yang membuang lampin merata-rata tanpa memikirkan kebersihan dan keselesaan pengunjung lain.
Ia sekali gus meningkatkan risiko virus dan bakteria merebak di lokasi berkenaan.
“Kajian menunjukkan, tempat ini mengandungi lebih banyak bakteria berbahaya berbanding tandas awam, kerana permukaannya tidak disanitasi dengan kerap walaupun digunakan sepanjang hari,” katanya.

Amalan cuci tangan
Jika anak menunjukkan tanda tidak sihat, walaupun hanya batuk kecil atau ruam ringan, elakkan bawa ke tempat awam termasuk taman permainan tertutup.
Nadya Amin turut menasihati ibu bapa supaya mendidik anak-anak tentang etika bersin, batuk dan amalan mencuci tangan.
Selain itu, pengusaha taman permainan pula diminta melakukan kerja-kerja nyah kuman secara berkala di samping mengawal jumlah pengunjung.
Langkah tersebut penting bagi memastikan kebersihan dan keselamatan sentiasa terjamin.
“Sediakan kemudahan cuci tangan mencukupi dan pekerja terlatih untuk menilai keadaan kesihatan kanak-kanak sebelum masuk.
“Tanpa pengawasan betul, tempat permainan boleh bertukar menjadi pusat penyebaran wabak,” katanya.
Nadya Amin berkata, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan boleh mengambil tindakan sekiranya berlaku penularan di taman permainan tertutup.










