Silat Cekak Rimau mengaum di pentas antarabangsa

Silat Cekak Rimau mengaum di pentas antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Silat Cekak Harimau ‘mengaum’ di pentas antarabangsa apabila lebih 1,600 pesilat termasuk dari tujuh negara membanjiri Balora Mastika Jengka sempena Kejohanan Silat Cekak Harimau Kebangsaan dan Antarabangsa Kelima, baru-baru ini.

Kejohanan berprestij bagi merebut Piala Datuk Seri Shahaniza itu bukan sahaja memperlihatkan kehebatan seni tempur warisan Melayu, tetapi turut membuktikan silat mampu menjadi wahana diplomasi budaya yang menyatukan pelbagai bangsa di seluruh dunia.

Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, penyertaan Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, Laos, Belanda dan Australia membuktikan yang Silat Cekak Harimau semakin diterima sebagai satu bentuk seni mempertahankan diri bertaraf global.

“Saya mahu anak muda kembali menyanjung seni warisan kita. Silat bukan sekadar bela diri, tetapi lambang maruah, disiplin dan ketahanan mental bangsa.

“Kejohanan ini bukan semata-mata medan bertanding, malah menjadi pentas untuk mengangkat martabat budaya Melayu dan memperkukuh jalinan diplomatik berasaskan warisan seni tempur Nusantara,” ujarnya di majlis penutup.

Penganjuran edisi kali ini amat signifikan kerana berjaya mencungkil pesilat berbakat besar dari pelbagai kategori termasuk Tunas, Remaja, institusi pengajian tinggi (IPT) dan Sukma sekali gus memperlihatkan kesinambungan warisan silat dalam kalangan generasi baharu.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Amzar Ilham  Amir Ikram dari Terengganu yang dinobatkan sebagai Pesilat Terbaik Tunas, manakala Zidane dari Persisi Diri Sumbar (Indonesia) pula muncul Pesilat Terbaik Remaja.

Muhammad Arif Razali dari Sukma Pahang 26A memenangi kategori Pesilat Terbaik Sukma dan Le Thi Thu Hien (Vietnam Army) unggul sebagai Pesilat Terbaik IPT.

Selain itu, pasukan Pertubuhan Silat Tempur Malaysia (PTMF A) muncul juara keseluruhan Tunas dengan kutipan empat emas, dua perak dan tiga gangsa.

Dalam kategori Remaja pula, Terengganu meraih kejuaraan keseluruhan dengan kutipan empat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus mengesahkan dominasi negeri itu dalam pembangunan bakat muda.

Pasukan Sukma Pahang 26A tidak kurang hebat apabila menyapu bersih 11 pingat emas, lima perak dan empat gangsa untuk muncul sebagai Juara Keseluruhan Kategori Sukma, mencerminkan kekuatan kontinjen tuan rumah.

Sementara itu, pasukan Vietnam Army yang hadir dengan kekuatan besar, memenangi lapan pingat emas dan lapan gangsa untuk menjuarai Kategori IPT, menjadikan mereka sebagai antara kuasa besar baharu dalam arena silat antarabangsa.

Terengganu menang besar

Terengganu muncul juara keseluruhan dengan kutipan 13 emas, tujuh perak dan lima gangsa.

Sekali gus ia melakar sejarah baharu buat negeri di pantai timur itu.

Sehubungan itu, Shahaniza berharap agar silat dapat dimartabatkan sebagai sukan profesional, yang bukan sahaja menjana ekonomi tetapi turut membina jati diri dan perpaduan nasional.

“Silat bukan milik generasi lama sahaja, kita mesti memperkenalkannya sebagai sukan berprestij dan menjadikannya ikon pelancongan budaya untuk menarik minat generasi muda serta pelancong asing,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar silat dimasukkan dalam program sahsiah sekolah bagi membina modal insan berdisiplin, berani dan mempunyai semangat cintakan budaya bangsa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN