KETIKA ramai memilih jalan pintas dalam perniagaan makanan, namun usahawan muda dari Kuala Ketil, Kedah ini kekal setia dengan cara lama.
Muhammad Shaufi Che Daud, 33, tidak kisah tubuhnya disambar bahang kayu api atau tangan dan kaki lenguh mengacau dodol lebih lima jam.
Baginya, elemen-elemen tradisi itulah yang menjadikan Dodol Warisan Tok keluarannya istimewa berbanding yang dijual di pasaran.
Lantas, dia menolak penggunaan mesin kerana hanya akan merosakkan rasa asli manisan itu.
“Satu kawah dodol mengambil masa lebih lima jam untuk siap bergantung kepada faktor api. Selain itu, ia (dodol) tidak boleh ditinggalkan atau leka,” katanya.
“Bila kacau dengan tangan sambil berselawat dan doa, makanan itu ada ‘roh’, sekali gus membuatkan dodol saya lain dari yang lain,” katanya
Muhammad Shaufi turut menggunakan resipi asli datuk dan neneknya sebagai penghormatan kepada guru yang mengajarnya pembuatan dodol.
Dia mula didedahkan dengan pembuatan manisan itu sejak kecil lagi, lama-kelamaan timbul minat untuk menghasilkannya.
“Sejak berumur 11 tahun lagi saya sudah menolong datuk dan nenek mengacau dodol dengan upahnya saya simpan sebagai belanja sekolah.
“Daripada situ, timbul minat untuk belajar cara memasaknya hingga sanggup berguru dengan keluarga dan orang-orang tua mahir di kampung.
“Macam-macam ilmu dipelajari termasuk, cara mengawal api, teknik kacauan supaya tidak hangit serta sukatan bahan yang tepat,” katanya.
Justeru, menjadi tanggungjawabnya untuk mengekalkan dan menghidupkan kembali warisan lama itu agar tidak lapuk dek zaman.
Dia yang mula berniaga dodol sejak 2016 tidak pernah menyangka laluan kerjayanya bersinar di bidang ini.
Di peringkat awal, Muhammad Shaufi hanya menjual dodol dari rumah, namun segalanya berubah apabila menyertai acara ekspo serta bazar jualan.

Masak 150 kawah dodol
Keenakan air tangan pemuda ini membolehkan sebanyak 150 kawah dodol keluarannya terjual semasa Hari Raya Aidilfitri lalu.
Jumlah itu bersamaan 5 tan dengan nilai jualannya yang mencecah RM100,000.
Katanya, bagi harian pula pengeluaran melibatkan satu hingga dua kawah atau bersamaan 80 hingga 160 kilogram dodol.
“Rekod jualan pada Aidilfitri lalu merupakan yang tertinggi pernah direkodkan sejak saya memulakan perniagaan.
“Purata jualan sehari adalah sebanyak RM1,000 manakala sebulan pula, nilainya hampir RM25,000,” katanya yang turut menjual di platform Tiktok.
Selain perisa asli, dia juga memperkenalkan variasi baharu seperti durian yang menggunakan 100 peratus isi sebenar.
Untuk kelainan, Muhammad Shaufi tidak mengisar atau menapis isi itu sebaliknya, memasukkan terus ke dalam adunan.
“Bila makan, rasa serat durian masih ada, sama macam air tangan atuk nenek kita dulu-dulu,” kongsinya yang bakal memperkenalkan dodol pulut hitam tidak lama lagi.
Mahu kekal warisan
Walaupun ramai mencadangkan penggunan mesin bagi meningkatkan produktiviti, tetapi dia teguh dengan pendiriannya untuk kekal dengan cara tradisional.
“Kalau perlu buat 100 kawah pun, saya akan panggil satu kampung untuk membantu. Saya tidak sesekali berkompromi soal rasa dan kualiti,” katanya.
Kini, dia giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menaik taraf pembungkusan Dodol Warisan Tok agar lebih tahan lama.
Langkah itu sekali gus membolehkan produk itu dipasarkan secara lebih meluas di kedai-kedai di seluruh Malaysia.
“Harapan saya agar Dodol Warisan Tok kekal relevan sepanjang zaman dan digemari semua lapisan masyarakat.
“Semoga kualiti rasa serta keaslian dodol keluaran saya kekal terpelihara dan menjadi pilihan utama dalam setiap musim perayaan dan majlis istimewa,” katanya.










