ALAM baligh merupakan detik penting dalam kehidupan setiap gadis remaja, namun tanpa ilmu mencukupi, pengalaman haid pertama boleh mencetuskan rasa cemas dan kekeliruan.
Bagi ibu bapa yang mencari panduan sesuai untuk membantu anak perempuan menghadapi fasa ini dengan tenang dan yakin, buku My First Period hadir sebagai rujukan terbaik.
Naskhah berbahasa Inggeris tulisan Nur Khairunnisa Iskandar ini dirangka khusus untuk membimbing gadis remaja yang bakal atau baru sahaja melalui pengalaman haid pertama.
Gaya penulisannya santai, ringkas dan penuh warna sekali gus membantu pembaca memahami fasa akil baligh, proses haid, perubahan hormon, penjagaan diri dan kaitannya dengan aspek ibadah sebagai muslimah.
Antara bab yang dimuatkan adalah fasa akil baligh, asas haid, cerita darah, ibadah dan penjagaan diri, menjadikannya kit lengkap untuk remaja mendepani baligh dengan ilmu dan keyakinan.
Buku ini mengupas secara terperinci punca haid, kitaran normal, cara penggunaan tuala wanita, penjagaan kebersihan diri dan langkah yang perlu diambil apabila haid datang secara tidak dijangka.
Ia turut menerangkan jenis darah, tempoh haid yang sihat dan waktu sesuai untuk mendapatkan nasihat kesihatan.
Semua maklumat itu disampaikan dalam bentuk infografik, carta dan ilustrasi comel yang memudahkan pemahaman remaja.
Pendekatan seimbang antara ilmu sains dan nilai-nilai Islam menjadikan My First Period bukan sekadar buku kesihatan, malah sebuah modul pendidikan agama yang mudah dan praktikal.
Dalam bab ibadah, buku ini menjelaskan hukum asas berkaitan haid seperti solat, puasa dan membaca al-Quran dengan bahasa yang lembut, mesra dan sesuai dengan pembaca.
Setiap penjelasan disokong dengan dalil sahih daripada al-Quran, hadis dan rujukan fiqh.
Alat bantu komunikasi ideal
Dalam dunia hari ini, ramai ibu bapa berdepan cabaran untuk menerangkan tentang perubahan baligh kepada anak perempuan..
Perkara ini sering dianggap sensitif atau sukar untuk dibincangkan secara terbuka.
Menerusi buku ini, ibu bapa mempunyai alat bantu komunikasi ideal bagi membimbing dan mendidik remaja perempuan.
Ia bukan sekadar membantu golongan sasar untuk mengenal tubuh sendiri, malah menghargai perubahan kurniaan Allah SWT serta membentuk keyakinan dan sikap positif terhadap kesihatan diri.-UTUSAN