Busana tradisi kekal subur di Hari Gawai

Busana tradisi kekal subur di Hari Gawai

Perayaan Gawai menjadi pentas komuniti kampung memartabatkan dan meneruskan warisan nenek moyang menerusi busana tradisi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik arus pemodenan yang semakin kuat mempengaruhi cara hidup kini, masih ada komuniti yang teguh berpegang kepada warisan budaya mereka.

Kampung Paon Sungai Rimu antara yang masih meraikan Gawai dalam suasana penuh meriah dengan amalan mengenakan pakaian tradisional masing-masing.

Menariknya, bukan sahaja golongan warga emas, malah golongan muda dan kanak-kanak turut tampil segak dan anggun dalam busana warisan mereka.

Fenomena ini agak luar biasa, memandangkan kebanyakan generasi muda hari ini terutamanya yang berusia 50 tahun ke bawah cenderung memilih pakaian moden ketika meraikan perayaan, mungkin demi keselesaan atau penyesuaian dengan trend masa kini.

Setiap kali tibanya 1 Jun, Perkampungan Bidayuh di Serian, Sarawak ini seolah-olah kembali ke zaman silam, namun dalam suasana penuh warna-warni dan kemeriahan.

Gawai yang merupakan perayaan ikonik bagi masyarakat itu disambut dengan penuh semangat, bukan sahaja dengan juadah tradisional dan upacara adat, malah turut diserikan dengan pemakaian busana tradisional yang memukau.

Perkara ini bukan sahaja memperlihatkan keindahan kepelbagaian, tetapi juga semangat perpaduan yang erat. Tiada siapa yang rasa terpinggir.

Setiap etnik diraikan, setiap warisan dihargai. Ini merupakan satu bentuk penghormatan kepada adat dan budaya serta simbol keterbukaan dalam mengekalkan akar tradisi sambil mengukuhkan silaturahim antara kaum.

Lebih menarik, melalui pemakaian pakaian tradisional ini, masyarakat kampung turut berpeluang mengenali dengan lebih mendalam variasi busana Bidayuh yang berbeza mengikut kawasan.

Walaupun semua dikenali sebagai Bidayuh, setiap komuniti mempunyai keunikan tersendiri daripada segi bahasa, adat dan rekaan pakaian.

Bagi yang kali pertama melihat pakaian tradisional Bidayuh di bahagian Serian, ia mungkin ditafsir seakan-akan baju tradisi etnik Kadazan di Sabah, tetapi agak berbeza.

Keistimewaan pakaian tradisional di Hari Gawai

Menurut salah seorang penghuni kampung tersebut, Quinie Andrew, 65, perayaan Gawai menjadi pentas bagi komuniti kampungnya untuk memartabatkan dan meneruskan warisan nenek moyang, menerusi busana tradisi.

Katanya, hari sambutan kesyukuran yang menandakan berakhirnya musim menuai itu membuka untuk kaum dayak (etnik Bidayuh dan Iban) menonjolkan identiti budaya dalam suasana penuh makna.

“Jika dibandingkan dengan hari-hari biasa, pemakaian busana tradisional kurang sesuai, malah boleh dianggap janggal atau berlebihan.

“Pemakaian sembarangan boleh dianggap sebagai menurunkan martabat atau kesucian pakaian tersebut, lebih-lebih lagi jika dipakai tanpa memahami maknanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, menggayakan pakaian tradisional ketika sambutan gawai, bukan sahaja bertujuan untuk menampilkan gaya yang berlainan, malah menjadi wadah penyampaian seni dan budaya etnik tersebut.

“Misalnya, ketika seorang wanita yang menggunakan pakaian tradisional, pada masa sama, mempersembahkan tarian nenek moyang kami iaitu ‘langgi’, setiap pergerakan akan terlihat lebih sopan.

“Gerakan perlahan dan berirama dalam tarian tradisional serasi dengan potongan pakaian yang ‘mengalir’ dan terperinci.

“Setiap pergerakan mencerminkan keharmonian antara tubuh penari dengan busana yang dipakai, menjadikan pakaian itu bukan sekadar hiasan, tetapi sebahagian daripada penceritaan budaya etnik ini,” katanya.

Evolusi pakaian tradisional

Dalam usaha mengekalkan kelestarian pakaian tradisional Bidayuh, masyarakat kini semakin kreatif membuat penyesuaian terhadap rekaan asal, tanpa ‘mengorbankan’ identiti budaya.

Salah satu contoh paling ketara ialah pakaian tradisional kini diubah suai agar lebih sopan, termasuk menepati keperluan bagi mereka yang beragama Muslim, terutamanya golongan wanita.

“Sebagai contoh, skirt panjang direka menggantikan kain lilit paras lutut atau paha yang lazimnya dipakai dalam versi asal. Kain ini dijahit tetap, memudahkan pergerakan dan memberikan lebih keselesaan serta kesopanan.

“Selain itu, wujud pelbagai versi lain, misalnya pakaian tradisional Bidayuh direka bentuk menjadi gaun dalam pelbagai pilihan.

“Namun, ia tetap mengekalkan warna asli iaitu hitam dan merah termasuk renda emas, sekali gus menarik lebih ramai anak muda untuk memakainya,” ujarnya.

Ini bermakna, pemodenan tetap diterima, namun masih teguh dilingkari budaya yang diwariskan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×