Vitiligo bukan beban tapi ‘hadiah’ - Syed Abdullah

Vitiligo bukan beban tapi ‘hadiah’ – Syed Abdullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH setahun melalui fasa kemurungan dan rendah diri gara-gara wajahnya yang bertompok-tompok akibat vitiligo.

Sejak itu pencipta kandungan, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, 36, hanya terperap di rumah kerana malu dengan keadaan kulitnya dan berjumpa rakan-rakan.

Ada ketikanya dia terpaksa ‘berpura-pura’ yakin dan kuat di depan orang ramai, meskipun hatinya terguris setiap kali pandangan sinis singgah pada tompok di wajahnya.

Bercerita lanjut, abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq ini tidak menyangka tompok kecil dialami pada hidung tujuh tahun lalu adalah petanda penyakit kulit, vitiligo atau sopak.

“Pada mulanya saya sangka itu panau, tetapi berkali-kali sapu ubat, masih tidak sembuh hingga merebak ke seluruh muka dan tangan.

“Awal-awal dulu, saya tipu diri sendiri dengan berpura-pura kuat, sedangkan setiap malam saya menangis,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Syed Abdullah berkata, penyakit sama pernah dialami bapa saudaranya yang merebak ke seluruh badan.

Enggan larut dalam kemurungan berpanjangan, dia perlahan-lahan menerima hakikat yang dirinya kini ‘berbeza’.

“Vitiligo ini bukan beban, sebaliknya ‘hadiah’ yang menjadikan saya unik.

“Kalau saya terus bersembunyi, siapa nak ajar anak-anak muda yang kecacatan bukan penghalang untuk berjaya?” katanya.

Vitiligo berlaku apabila kulit kehilangan pigmen pada bahagian tertentu, sekali gus mewujudkan tompok-tompok putih atau cerah yang berbeza dengan tona asal.

Penyakit ini tidak berbahaya, namun boleh memberi kesan kepada keyakinan diri dan emosi, kerana perubahan warna kulit yang begitu terserlah pada penghidapnya.

HENTI AMBIL RAWATAN

Walaupun tompokan di wajah dan badannya masih belum pulih, tetapi Syed Abdullah memilih untuk berhenti mendapatkan rawatan.

Bukan kerana berputus asa, sebaliknya dia sudah berdamai dengan takdir.

“Saya mahu lihat bagaimana vitiligo ini terus ‘melukis’ kisah hidup saya.

“Setiap orang ada ‘tompok’ dalam hidup masing-masing dan ini adalah sebahagian yang menjadikan siapa saya hari ini,” katanya yang banyak berkongsi kandungan mengenai sains dan angkasa lepas di media sosial.

Terbaharu, dia mengendalikan kelas latihan media sosial kepada syarikat korporat di samping mengajar strategi membina kandungan secara semula jadi tanpa menggunakan iklan berbayar.

“Dengan kulit seperti ni pun saya boleh capai 500 juta tontonan dalam sebulan, apatah lagi syarikat besar yang tentunya boleh pergi lebih jauh,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×