Sebagai penghormatan kepada keunikan budaya Baba dan Nyonya, Hotel Saujana Kuala Lumpur menampilkan 15 hidangan autentik Peranakan kepada para pengunjung.
Pengurus Besarnya, Jasmine Ong Li berkata, inisiatif julung kali itu secara tidak langsung dapat menyemai semula cinta terhadap akar budaya yang kian terpinggir.
Menu itu ialah buah keluak, lobak masak lemak, nasi kemuli, pai tee, cencaru sumbat, sup ee pioh, terung pajeri, sambal belacan Nyonya, udang goreng asam, popia, kacang buncis char tauhu, telur salada, sambal timun, bubur caca dan aneka kuih-muih.

“Saya masih menyimpan kebaya jahitan ah ma (nenek) dan batu giling pusaka yang pernah digunakan untuk menyediakan rempah-ratus dalam setiap sajian kami.
“Itu bukan sekadar peninggalan, tetapi cerminan jati diri saya. Menerusi program ini, saya mahu meneruskan legasi warisan jiwa,” ujarnya.
Tambahnya, pasukan kulinari hotel itu telah menjalani latihan intensif dalam masakan Baba dan Nyonya dengan bimbingan PPBNKLS, bagi memastikan rasa dan penyediaan setiap sajian kekal asli.
Hidangan istimewa tersebut boleh dinikmati di Restoran Charcoal sepanjang bulan ini.










