Sebagai anak jati Sarawak, hasrat untuk melawat Muzium Budaya Borneo yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching, sudah tersimpan lama dalam hati saya.
Sejak perasmiannya beberapa tahun lalu, saya hanya sering mendengar pujian daripada kenalan, tentang keunikan dan keindahannya.
Justeru, peluang balik bercuti panjang baru-baru ini saya manfaatkan dengan meneroka tarikan di muzium kedua terbesar di Asia Tenggara dan pertama di Malaysia itu.
Dari jauh lagi, bangunan Muzium Budaya Borneo sudah memikat pandangan, berdiri megah menghiasi landskap tengah bandar raya Kuching seperti permata budaya yang tidak ternilai.
Dengan reka bentuknya yang moden tetapi tetap berakar pada warisan tempatan, muzium ini seolah-olah menjadi mercu tanda baharu yang membangkitkan rasa bangga setiap kali mata memandang.
Apabila saya memerhati reka bentuk bangunan lima tingkat itu, ia mengingatkan kepada seni bina Islamik, dengan garis lengkung yang anggun dan elemen geometrik yang tersusun kemas.

Pengembaraan penuh warna
Kunjungan ke muzium ini terasa seperti pengembaraan merentas masa kerana dapat menyusuri jejak-jejak sejarah yang kaya, dari zaman prasejarah Borneo hinggalah ke era moden.
Setiap sudut ruang dan artifak yang dipamerkan menghidupkan semula kisah silam dengan cara begitu mengagumkan serta menyentuh hati.
Terdapat lima aras pameran dan setiap satunya menawarkan perspektif berbeza tentang budaya dan kehidupan masyarakat Borneo, daripada zaman prasejarah hingga kontemporari.
Antara yang menarik perhatian ialah replika rumah tradisional etnik Bidayuh kerana di dalamnya tergantung beberapa tengkorak di atas tempat bara api.

Difahamkan, tengkorak-tengkorak berkenaan merupakan kepala musuh hasil pancungan daripada peperangan.
Melihat tengkorak dan artifak lama itu sekali gus membangkitkan rasa seram, lantas saya berlalu ke tempat lain.
Kemudian saya ke ruang pameran jerunai, iaitu keranda tradisional masyarakat bangsawan Melanau yang diperbuat daripada kayu belian.
Struktur tinggi dan ukiran pada kayu tersebut menambah aura mistik, seolah-olah menyimpan cerita-cerita lama yang tidak terucap.
Kemudian saya beralih ke tingkat paling bawah untuk melihat pameran seterusnya.
Di bahagian itu, terdapat sudut pameran interaktif dan pengunjung diminta menaiki sampan bagi menikmati pengembaraan menyusuri Sungai Sarawak.










