Atilia pernah merajuk dengan industri muzik Malaysia - Utusan Malaysia

Atilia pernah merajuk dengan industri muzik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Atilia Haron pernah berkecil hati dengan industri muzik Malaysia yang tidak menghargai dirinya sebagai seorang penyanyi.

Menurut Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron, 50, muziknya lebih dihargai sewaktu berada di Indonesia.

“Saya ada terasa sikit dengan industri muzik di Malaysia ini. Sebab lagu-lagu yang bergenre Jazz tidak dapat dimainkan langsung waktu dahulu.

“Masa saya melancarkan album di Indonesia, lagu-lagu saya dimainkan dalam carta muzik mereka, paling seronok, ketika dapat menyanyi dengan penyanyi kumpulan terkenal, Sore,” katanya.

Atilia meluahkan rasa kecewa itu ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Gelombang Bahagiaku, Atilia Haron dan Salamiah Hassan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Atilia yang juga seorang penulis lirik dan pelakon berkata, dirinya menerima tawaran untuk terus berkarya di Indonesia, namun terpaksa menolak kerana mempunyai perniagaan yoga di Malaysia.

“Dua tahun lepas saya ditawarkan untuk duduk dan menyanyi di sana, tetapi saya terpaksa tolak sebab ada perniagaan kelas yoga di sini.

“Setiap Sabtu pukul 7:30 pagi saya akan ajar yoga di taman KLCC dan sukar untuk saya tinggalkan perniagaan ini kerana sudah hampir 10 tahun kelas yoga ini dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi tentang kerjayanya sebagai seorang penyanyi, pelantun lagu Sangkar itu berkata, ibunya, Salamiah Hassan tidak bersetuju untuk beliau menjadi penyanyi pada usia muda.

“Waktu kecil, saya dibenarkan nyanyi di studio sahaja, sebab itu saya banyak menyanyi lagu _jingle_ sahaja, ibu mahu saya belajar dan jadi seorang yang berilmu terlebih dahulu.

“Ibu menginginkan saya selesaikan diploma dan ijazah, kemudian bekerja baru boleh menyanyi,” katanya.

Sementara itu, Atilia dan ibunya yang merupakan penyanyi lagenda, Salamiah Hassan bakal mengadakan sebuah konsert bertajuk Konsert Gelombang Bahagiaku.

Konsert tersebut anjuran Mujik Wand Production dimana ia adalah konsert pertama menggabungkan dua penyanyi hebat yang mempunyai hubungan ibu dan anak perempuan.

Kongsi Atilia, beliau sangat teruja kerana konsert itu bukan sekadar satu projek seni, tetapi merupakan penghormatan jiwa terhadap insan yang paling dikasihi iaitu ibunya.

“Ini adalah mimpi yang menjadi kenyataan untuk saya, sejak kecil saya mahu menjadi seperti ibu saya.

“Peluang dapat berkongsi pentas yang hebat bersama beliau membuatkan saya seperti perempuan paling bertuah di dunia,” katanya.

Tambahnya, konsert itu juga bakal menampilkan lagu baharu duet mereka yang bertajuk “Age Is Just A Number.

Jelas Atilia, lagu itu menceritakan tentang mesej positif berkaitan kehidupan dan keberanian tanpa mengira usia.

“Lagu ini merupakan refleksi kami berdua iaitu wanita yang kuat berdikari dalam melakukan perkara yang kami cintai dengan penuh kasih sayang dan semangat yang positif,” ujarnya.

Untuk info, Konsert Gelombang Bahagiaku bakal diadakan di Plenary Theatre, KLCC pada 16 Ogos, yang berlangsung kira-kira 2 jam 30 minit, menampilkan 10 lagu setiap seorang dan tiga lagu duet.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN