PETALING JAYA: “Setiap tahun saya akan hadiahkan diri saya sesuatu. Tahun ini hadiahnya sedikit berbeza dan perasaan saya bercampur baur.”
Demikian luahan pelakon, Siti Khadijah Halim selepas menghadiahkan sebuah kereta kepada ibu bapanya pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-28, baru-baru ini.
Menurut Siti, dia ingin menyambut ulang tahun kelahirannya dengan sedikit berbeza agar menjadi tahun yang lebih bermakna buat dirinya.
“Hari ini adalah hari yang istimewa bagi saya sebab saya akan ambil satu hadiah yang sangat berharga dan bermakna bagi saya,” katanya menerusi sebuah hantaran video di TikTok
Menerusi perkongsian tersebut, Siti telah membawa keluarganya ke sebuah pusat pameran kereta jenama tempatan selepas menyambut hari lahirnya di sebuah kafe.
Terkejut melihat hadiah istimewa tersebut, kedua ibu bapa pelakon drama bersiri From Saga With Love itu terus mengalirkan air mata.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung menuai pujian dalam kalangan warganet di ruangan komen yang rata-ratanya kagum dengan cara Siti membalas jasa orang tuanya.-UTUSAN