KEUNIKAN bunga kantan sebagai ramuan utama dan penyedap laksa membolehkannya dipilih sebagai antara motif pada baju T.
Idea kreatif itu diketengahkan pelukis berbakat, Haris Rashid menerusi koleksi edisi terhad SkechVibe, hasil kerjasama dengan jenama Skechers.
Inisiatifnya bertujuan memperkenalkan elemen-elemen Malaysia yang berbeza berbanding yang biasa ditonjolkan sebelum ini.
“Sebut sahaja tentang Malaysia, kita pasti membayangkan bunga raya, raflesia mahupun harimau belang.
“Saya tanya pada diri, apa lagi elemen yang belum pernah diketengahkan tetapi sangat dekat di hati masyarakat dan digunakan dalam rutin seharian kita.
“Lantas saya terfikirkan bunga kantan kerana ia bukan sekadar bunga tetapi memiliki pelbagai fungsi lain termasuk bahan penyedap laksa yang merupakan makanan tradisi kegemaran ramai,” katanya selepas pelancaran koleksi itu baru-baru ini.
Selain bunga kantan, pemuda ini turut menampilkan motif wau bulan, burung enggang dan rama-rama kebangsaan, Rajah Brooke’s Birdwing (Trogonoptera brookiana).
Kesemua motif itu menghiasi empat rekaan baju T dalam koleksi SkechVibe yang berharga RM159 sehelai.
Baju T uniseks ini boleh didapati dalam dua warna iaitu hitam dan putih.
Kata Haris lagi, pemilihan enggang atau kenyalang merupakan penghormatannya kepada burung ikonik negara.
Tambah menarik apabila rekaannya berlatar belakangkan tekstur kayu dengan lakaran flora yang halus sebagai simbol kekuatan dan keanggunan.
Manakala bagi rekaan wau bulan pula ia menumpukan kepada kontras dan gerakan.
Sentuhan rona ungu lilac, violet gelap dan amber hangat digabungkan dengan corak rumit bagi membentuk komposisi bulat.
Sekali gus rekaan ini melambangkan keseimbangan, aliran dan warisan budaya.
Nukilan puisi indah
Istimewa tentang koleksi ini, ia bukan sekadar menonjolkan motif Malaysia semata-mata, bahkan turut menyelitkan puisi indah nukilan Haris.
Puisi-puisi itu diabadikan di bahagian belakang baju sebagai tarikan kepada koleksi berkenaan.
“Ia merupakan terjemahan atau ringkasan cerita pada motif-motif rekaan saya.
“Sebelum ini, saya sudah biasa tulis nota ringkas pada buku setiap kali lukisan siap.
“Tetapi yang menariknya, ini adalah kali pertama kedua-dua elemen itu digabungkan pada satu karya seni,” katanya.










