Apabila tibanya musim perayaan, anak-anak menerima duit raya sebagai tanda kegembiraan daripada saudara-mara dan rakan-rakan.
Walaupun jumlahnya mungkin kecil atau besar, simpanan ini sebenarnya berpotensi untuk menjadi titik permulaan dalam mendidik anak-anak tentang pengurusan kewangan.
Penulis Keibubapaan, Adlil Rajiah berkata, kewujudan kaedah moden dan mudah diakses membolehkan ibu bapa membantu anak-anak mengurus duit raya secara bijak.
1. Akaun simpanan kanak-kanak
Membuka akaun simpanan khas untuk anak adalah antara cara paling asas dan selamat untuk mengumpul duit raya. Banyak bank menawarkan akaun kanak-kanak yang menyediakan syarat pembukaan mudah, seperti keperluan modal permulaan rendah serta memberikan kadar faedah menarik. Sesetengah bank turut menawarkan insentif tambahan seperti hadiah kecil apabila anak-anak mencapai jumlah simpanan tertentu.
Akaun ini membolehkan anak-anak melihat sendiri wang mereka bertambah setiap kali memasukkan duit raya atau sumbangan lain. Proses ini bukan sahaja menanam minat menabung, malah mengajar mereka tentang kepentingan menjaga dan memantau aliran masuk wang. Ibu bapa pula dapat membantu dengan membimbing anak mengenai kaedah menyimpan secara konsisten, biarpun sedikit tetapi berterusan.
2. Tabung Haji atau institusi pelaburan patuh syariah
Tabung Haji merupakan pilihan popular bagi simpanan patuh syariah di Malaysia. Selain kelebihan untuk menunaikan ibadah haji pada masa hadapan, Tabung Haji juga memberikan pulangan dividen secara tahunan. Bagi ibu bapa yang inginkan simpanan lebih selamat, akaun ini berfungsi sebagai langkah awal memperkenalkan konsep menabung dengan jaminan agensi Islamik yang kukuh.
Terdapat juga institusi pelaburan patuh Syariah lain yang menawarkan produk simpanan serta pelaburan. Anak-anak boleh diperkenalkan kepada konsep ‘halal dan berkat’ dalam mengurus wang, berbeza daripada sekadar menyimpan di tempat biasa. Pendedahan awal ini dapat membentuk pemahaman mengenai duit tidak hanya untuk dibelanjakan, tetapi turut boleh berkembang dengan cara yang selamat dan menepati syarak.
3. Akaun e-dompet khas
Perkembangan teknologi telah memudahkan urusan tanpa tunai. Ibu bapa boleh mewujudkan akaun e-dompet khas untuk anak, sama ada melalui ‘sub-akaun’ atau ciri akaun keluarga yang disediakan sesetengah platform. Kaedah ini membolehkan anak-anak menyimpan duit raya dalam bentuk kredit digital yang selamat dan mudah diurus.
Anak-anak boleh belajar berbelanja secara berhemah menggunakan e-dompet serta mempelajari cara melakukan transaksi digital. Misalnya, membeli keperluan sekolah dalam talian. Ibu bapa dapat memantau setiap transaksi dengan lebih telus. Melalui pantauan rapat, anak-anak akan lebih peka untuk tidak berbelanja berlebihan dan sedar bahawa setiap ‘klik’ pembelian ialah wang sebenar yang dikeluarkan.
4. Pelaburan emas
Bagi tujuan jangka panjang, ibu bapa boleh mempertimbangkan pelaburan emas. Institusi kewangan tertentu menawarkan akaun simpanan emas, di mana gram emas boleh dibeli dengan amaun kecil secara berkala. Walaupun harganya mungkin turun naik, emas masih dianggap aset berharga yang boleh dijual semula pada masa hadapan.
Melalui pendekatan ini, anak-anak dapat belajar tentang konsep aset, serta kepentingan mempelbagaikan simpanan. Mereka juga akan sedar harga logam berharga seperti emas boleh berubah mengikut keadaan pasaran dunia.
5. Jurnal kewangan anak
Selain membuka akaun atau melabur, ibu bapa boleh membimbing anak mencatat setiap perbelanjaan dan simpanan dalam satu jurnal kewangan. Jurnal ini boleh berbentuk buku nota biasa atau aplikasi mudah di telefon pintar. Di sini, anak-anak boleh menulis jumlah duit raya yang diterima, tarikh serta tujuan perbelanjaan dan baki simpanan semasa.
Apabila mempraktikkan aktiviti ini, anak-anak akan lebih berhati-hati sebelum berbelanja kerana sedar setiap ringgit yang dikeluarkan akan dicatat dan dikira. Sistem pencatatan ini bukan hanya mendidik disiplin, malah membantu anak-anak menetapkan matlamat kewangan mereka sendiri, sama ada untuk menabung bagi membeli barang impian atau menyimpan untuk masa hadapan.
6. Pendidikan kewangan
Akhir sekali, ibu bapa boleh memperkukuh pemahaman anak tentang pengurusan kewangan dengan menghadiri kelas, webinar atau bengkel ringkas khusus untuk kanak-kanak. Banyak bahan pembelajaran di internet, buku bacaan serta permainan interaktif yang menjelaskan konsep duit, tabungan, pelaburan dan pengurusan belanjawan dalam cara mudah dan menyeronokkan.
Anak-anak akan lebih teruja mempelajari asas kewangan dengan cara interaktif ini. Mereka berpeluang merancang bajet mereka sendiri, membezakan antara keinginan dan keperluan dan merasai kepuasan apabila berjaya menyimpan atau mencapai sasaran tabungan. Pendekatan pendidikan secara langsung ini memperkukuh nilai tanggungjawab dan sikap berhati-hati dalam berbelanja.
Kesimpulannya, mengurus duit raya anak bukan sekadar memasukkannya ke dalam tabung. Melalui langkah-langkah yang lebih sistematik dan moden, ibu bapa boleh mengajar anak-anak erti menabung, melabur,dan merancang kewangan sejak usia muda.-UTUSAN











