Harga rahmah menu mewah, cita rasa kampung menanti

Harga rahmah menu mewah, cita rasa kampung menanti pengunjung

Khairul Anuar Mohamadiah (tengah) bersama isteri, Noorul Adilah Mohamed Setafa dan Ahmad Afizal Mohd Rozi (kanan) menunjukkan menu hidangan bufet Ramadan Ezycafe by Ezydurian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN Ramadan pastinya kita merindukan masakan ibu di kampung.

Lauk-pauk kampung sangat membuka selera berteraskan tradisi masakan Melayu.

Bayangkan, gulai lemak nanas ikan kering, dipadankan dengan ayam berempah, dipadukan pula dengan sayur ulam-ulaman dicicah sambal belacan. Wah! Anda pasti makan tidak toleh kiri dan kanan.

Bagi anak-anak perantauan di Lembah Klang yang mengidam masakan seperti itu, Bufet Ramadan di Ezycafé by Ezy Durian, Bandar Baru Bangi adalah lokasi paling tepat untuk menikmati juadah berbuka puasa.

Sejumlah 80 menu dengan pilihan utama masakan cita rasa kampung disajikan untuk dinikmati para pengunjung.

Anda pastinya rambang mata untuk memilih lauk-pauk seperti asam pedas daging tetel atau ikan, kurma kambing, kari daging, ayam masak merah, paru goreng berlado, pajeri nanas serta ikan dori masak masam manis yang disediakan tukang masak berpengalaman diketuai Ahmad Afizal Mohd. Rozi.

Sebagai pembuka selera, hidangan goreng-goreng berasaskan mi turut tersedia di samping cucur udang dengan pelbagai menu kerabu seperti kerabu tauge, kacang botol, mangga dan betik atau dipanggil somtam.

Bagi mereka yang gemarkan makanan berkuah, pelbagai sup dan kari juga disajikan dan nasi air istimewa turut mengujakan. Bagi yang yang sedang berdiet tidak perlu risau kerana hidangan bermacam jenis salad turut membangkitkan selera bersama kombinasi sos bersesuaian.

Gerai ‘bakar-bakar’ juga antara gerai paling ‘panas’ pasti diserbu penggemar kambing bakar yang dilengkapkan dengan sos lada hitam, kentang putar dan sayur coleslaw.

Tidak ketinggalan, hidangan pemanis mulut seperti cream puff, tart buah, kek cawan mini, donut bomboloni serta aneka bubur dan kuih melayu menambat hati penggemar pemanis mulut.

Menurut pemilik, Khairul Anuar Mohamadiah, tawaran bufet Ramadan adalah percubaan kali pertama pihaknya pada tahun ini demi memenuhi permintaan pengunjung selepas tiga tahun beroperasi.

“Alhamdulillah, untuk tahun ini kita ada pasukan yang bagus untuk menyediakan hidangan bufet bermula 2 Ramadan hingga 25 Ramadan.

“Antara yang menjadi permintaan tinggi di Ezycafé adalah menu berasaskan bakar-bakar iaitu kambing bakar. Untuk bulan puasa ini, kita ada tambahan menu istimewa ikan bakar,” katanya.

Bagi pelanggan setia di Ezycafe yang terkenal dengan penjualan durian segar atau menu masakan berasaskan durian, pihak kafe sedaya upaya turut menyediakan pencuci mulut daripada raja buah itu seperti serawa durian, sambal tempoyak dan cendol durian.

Bagaimanapun, tawaran pencuci mulut durian hanya disediakan pada waktu terhad memandangkan bukan musim durian ketika ini.

Selain pelbagai menu menyelerakan, keselesaan pengunjung menjadi keutamaan pemilik kafe ini dengan menjanjikan suasana makan terbuka dan tertutup yang selesa termasuk ruang makan privasi yang boleh memuatkan sehingga 400 ke 500 orang pada satu-satu masa.

Umat Islam yang berbuka di sini tidak perlu risau untuk menunaikan solat Maghrib sejurus berbuka puasa kerana surau yang besar dan selesa disediakan bersama enam tempat membersihkan diri.

Dengan tawaran harga rahmah serendah RM45, ia tentunya berbaloi untuk satu pengalaman berbuka puasa yang diingati dan pasti mahu diulang kembali.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×