Setiap kali Aidilfitri, budaya berbelanja mewah dilihat semakin menjadi-jadi.
Daripada pakaian serba baharu, dekorasi rumah yang eksklusif, sehinggalah kepada rumah terbuka mega.
Apa tidaknya, masyarakat semakin terjebak dalam persaingan untuk menunjuk-nunjuk sehingga sanggup berbelanja sakan.

Mengulas mengenai isu ini, Ketua Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Dr. Azmawaty Mohamad Nor berkata, pengaruh media sosial dikenal pasti sebagai penyebab utama masyarakat berbelanja berlebihan.
“Kini, sudah menjadi satu kewajipan untuk memanfaatkan media sosial sebagai platform berkongsi gambar barangan mahal yang baharu dimiliki atau menunjukkan kemewahan kehidupan.
“Secara tidak langsung ia membolehkan seseorang itu terkenal hingga ramai mahu mengikuti gaya hidupnya,” katanya.
Kemunculan trend baharu dalam fesyen raya, dekorasi rumah, keluaran kereta terkini dan hidangan mewah, mendorong orang ramai beranggapan mereka juga perlu mengikuti arus tersebut.
Malah, kata beliau, perbandingan antara saudara-mara dan rakan-rakan turut menjadi faktor yang mendorong seseorang berbelanja lebih.
Selain itu, promosi besar-besaran sempena musim perayaan turut mempengaruhi seseorang sakan membeli-belah lebih daripada keperluannya.
Tambahan pula, kata Azmawaty, segelintir masyarakat mempercayai status seseorang diukur berdasarkan kemewahan yang ditonjolkan kepada orang ramai.
Persepsi salah tersebut menyebabkan ramai yang sanggup berhutang semata-mata untuk memastikan mereka tidak ketinggalan.

Dalam pada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, nilai hutang kad kredit dan pinjaman pengguna biasanya melonjak tinggi selepas habis raya.
Jika tidak diurus dengan baik, beban kewangan tersebut boleh memberi kesan kepada kestabilan kewangan individu dalam jangka masa panjang.
“Sifat menunjuk-nunjuk menyumbang kepada ketidakstabilan kewangan keluarga atau individu terutama jika pendapatan atau gajinya tidak mencukupi.
“Perbelanjaan berlebihan dengan niat untuk riak akan menyebabkan hutang seseorang bertambah dan tiada lebihan pendapatan sekali gus boleh menjejaskan kualiti hidup,” katanya.
Sementara itu, pendakwah, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, sikap menunjuk-nunjuk kemewahan palsu dibimbangi menjejaskan nilai sebenar Aildilfitri.
Katanya, sifat riak boleh dikaitkan dengan masalah hati iaitu cemburu melihat kelebihan orang lain, sehingga mampu berbuat apa sahaja supaya boleh setaraf atau lebih daripada pesaingnya itu.
Justeru, penting untuk meletakkan maksud nilai sebenar Aidilfitri iaitu, merayakan kemenangan dengan kesyukuran dan penuh kesederhanaan.
Pengorbanan berpuasa selama sebulan akan lebih bermakna, jika tidak berasa dengki atau iri hati dengan kemewahan orang lain.
“Kesyukuran dan kesederhanaan adalah kunci yang menjadikan sambutan raya lebih bermakna.
“Merayakan Syawal dengan penuh keikhlasan bermaksud menghargai kebersamaan dengan keluarga dan sahabat, berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, serta memperkukuhkan hubungan silaturahim,” katanya.










