Aroma kambing golek gamit selera

Aroma kambing golek gamit selera

Mageswari Supramaniam menunjukkan kambing golek yang menjadi juadah utama bufet Ramadan kali ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berbuka puasa sambil menikmati pemandangan padang golf yang terbentang luas di lokasi terletak jauh di luar bandar benar-benar memberikan pengalaman lain daripada yang lain.

Jika hotel sering menampilkan suasana mewah dan moden, berbuka di Tasik Puteri Golf & Country Club, Rawang pula memberikan sentuhan lebih eksklusif dengan persekitaran yang tenang dan terbuka berlatarkan kehijauan alam semula jadi.

Juadahnya juga cukup memikat selera. Bertemakan Selera Nostalgia, menu yang disediakan membawa pelanggan menyusuri kenangan lama dan menggamit kenangan dengan juadah-juadah tradisi.

Dari aroma gulai kawah yang mengingatkan kita pada air tangan ibu dan nenda, hingga keenakan daging masak hitam dan ayam masak ros, pastinya membuka selera.

Antara menu lain yang wajib dicuba adalah kambing golek diperap dengan rempah khas yang diolah oleh tukang masak berpengalaman diketuai Cef Mageswari Supramaniam.

Daging yang lembut dan empuk menyatu dengan sempurna bersama perapan dan paling penting, rasanya tidak muak.

Tidak ketinggalan, Gerai Kudapan Kanak-Kanak dan Gerai Aneka Mi Warisan menampilkan pelbagai pilihan yang menarik, direka dengan teliti bagi memenuhi cita rasa orang muda dan orang tua.

Sesuai sangat kalau hendak bawa satu keluarga makan di sini kerana sajian yang disediakan merangkumi pellbagai umur dari kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

Selain itu, kuih-muih tradisional seperti pisang goreng, keledek goreng, cucur sayur dan jenis kudap-kudapan turut disediakan bagi sesi moreh.

Bagi kemudahan tempat beribadah, pengunjung tidak perlu risau kerana tempat khas disediakan sehingga boleh memuatkan 50 orang jemaah tanpa perlu bersesak.

Bufet Ramadan yang berlangsung sehingga 28 Mac ini berharga RM78 bagi dewasa, manakala RM30 bagi kanak-kanak enam tahun ke atas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×