Bagi mereka yang gemarkan cabaran, aktiviti lasak sentiasa menjadi pilihan utama untuk menguji ketahanan fizikal dan mental.
Sama ada mendaki, berkayak atau aktiviti ekstrem di taman tema, pengalaman ini bukan sahaja memberi kepuasan, tetapi juga peluang untuk keluar dari zon selesa.
Dengan suasana yang selesa dan terlindung, District 21 menjanjikan pengembaraan yang tidak hanya mencabar fizikal tetapi juga keberanian pengunjung.
Pahlawan ninja
Diilhamkan daripada rancangan televisyen yang popular, permainan ini menawarkan pelbagai rintangan yang direka untuk menguji kekuatan, kelincahan dan keseimbangan badan.
Selain itu, ia melibatkan pelbagai jenis pergerakan seperti berlari, melompat, memanjat dan berayun.
Pelbagai aktiviti yang menguji kekuatan, ketangkasan dan keseimbangan, latihan ninja ini secara tidak langsung membantu membina tubuh yang sihat serta meningkatkan prestasi sukan.
Lompatan
Melompat bukan sekadar aktiviti menyeronokkan untuk kanak-kanak, malah orang dewasa turut menggemarinya.
Seiring dengan peningkatan usia, menjaga kecergasan fizikal menjadi semakin penting.
Lebih menarik, aktiviti ini juga memberi manfaat besar kepada kesihatan.
Trampolin membolehkan pelbagai senaman lompatan dilakukan untuk meningkatkan kecergasan tubuh.
Ia membantu memperbaiki keseimbangan, koordinasi, serta meningkatkan stamina dan menjadikan senaman lebih menyeronokkan dan bertenaga.
Bagi orang dewasa, senaman menggunakan trampolin adalah pilihan terbaik untuk meningkatkan kesihatan secara menyeluruh.
Ia membantu memperkuat otot, memperbaiki postur dan memberi rangsangan kepada kesihatan mental, sambil memastikan aktiviti kekal menyeronokkan dan tidak membebankan.
POWER STATION
Bagi pengunjung yang ingin menikmati pengalaman mendaki tembok secara santai, Power Station pasti menjadi pilihan yang tepat.
Walaupun kelihatan menggerunkan, kepuasan yang dirasai apabila berjaya menakluk puncak amat menyeronokkan.
Bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal untuk mendaki, tetapi setiap langkah juga harus diatur dengan bijak untuk memastikan keseimbangan tubuh sekali gus elak daripada terjatuh.
Semua tembok dilengkapi dengan auto belay sebagai langkah keselamatan menyeluruh.
Lebih menarik, teknologi itu menjadikan aktiviti mendaki lebih mudah diakses oleh semua peringkat umur.
Peranti itu secara automatik mengawal ketegangan tali semasa pendakian dan akan perlahan-lahan menurunkan pendaki ke bawah sekiranya mereka melepaskan pegangan atau tiba di puncak.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai cabaran tembok seperti Tetris Climbing, Speed Wall dan Climb in the Dark dan banyak lagi.
TALI TINGGI
Aktiviti ini menguji keberanian dan keseimbangan dengan melibatkan pergerakan merentasi pelantar, halangan, jambatan dan buaian yang tergantung di udara merentasi jarak sejauh 139.38 meter pada ketinggian 13.5 meter.
Lebih menarik, permainan ini menampilkan 23 elemen halangan yang disusun dalam bentuk laluan berlapis, direka khusus untuk menawarkan pelbagai tahap kesukaran.
Pengunjung juga bebas memilih laluan yang sesuai dengan tahap kemampuan dan keselesaan masing-masing.
Antara tarikan lain yang boleh dicuba di sini termasuk roller glider, maze, free fall, lauch pad dan tubby ride.
Secara keseluruhan, District 21 sememangnya destinasi yang sesuai untuk mereka yang gemar dengan pengembaraan dan cabaran unik.-UTUSAN










