Teroka budaya, panorama indah di Busan

Teroka budaya, panorama indah di Busan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memulakan pengembaraan ke Busan, sengaja kami pilih perkhidmatan kereta api laju KTX dari Seoul.

Kononnya mahu dapat suasana seperti dalam filem Train to Busan yang popular pada 2016.

Lagipun, naik kereta api laju ke Busan sejauh kira-kira 325 kilometer (km) hanya tiga jam setengah berbanding bas, lebih enam jam.

Namun, satu kejadian di Stesen Seoul nyaris melenyapkan keseronokan pengembaraan kami gara-gara perbezaan bahasa.

Kami bertekak dengan petugas koc hanya kerana ruang letak bagasi. Masing-masing tidak faham bahasa Inggeris dan Korea. Umpama ayam dan itik ‘bercakap.’ Geramnya sehingga rasa inilah kali pertama dan terakhir jejak kaki ke Korea Selatan!

Saya perhatikan dalam koc, sukar sekali nak dengar penumpang berbual. Masing-masing buat hal sendiri, layan telefon bimbit mahupun tidur. Sesekali kedengaran pengumuman daripada pembesar suara apabila hampir tiba di satu-satu stesen.

Begitulah budaya rakyat Korea Selatan apabila berada dalam pengangkutan awam. Mereka begitu menghormati privasi penumpang lain.

Kami tiba di bandar kedua terbesar Korea Selatan ini pada lewat petang. Selepas mendaftar di hotel, Pantai Haeundae jadi lokasi pertama kami.

Pantai sepanjang 1.5 km ini adalah yang paling popular di mana pelbagai pesta diadakan setiap tahun dan dikatakan dikunjungi lebih 10 juta orang terutama pada musim panas.

Pada hari itu, berlangsung Festival Cahaya Haeundae yang menjadikan pantai itu dipenuhi cahaya berwarna-warni.

 

Bagi yang malas berjalan, mereka boleh menikmati keindahan panorama dengan kereta api menggunakan kuasa bateri pertama di dunia atau naik kapsul.

Bersebelahan pantai ini terdapat tiga menara berkembar di mana kafe Starbucks tertinggi di dunia ada di tingkat 99.

Puas berjalan, perut mula berkeroncong, namun tidak sukar mencari makanan halal. Kami pilih Restoran Namaste yang menyajikan hidangan dari India dan Nepal.

Bagi meraikan kami, tauke restoran yang berasal dari India memainkan video muzik penyanyi Ernie Zakri. Banggalah juga kerana ketika itu restoran dipenuhi pelancong dari macam-macam negara.

Setelah mengisi perut, kami pulang ke hotel dengan teksi dipandu seorang wanita. Laju, macam pandu kereta F1. Kecut perut dibuatnya.

Keesokan harinya, kenalan di Busan, BK Jung membawa bersiar-siar. Destinasi pertama kami adalah Busan Cinema Center yang menjadi lokasi penganjuran acara berprestij, Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) setiap tahun.

Kami cuba membayangkan kemeriahan acara karpet merah yang dihadiri artis-artis popular. Berangan-angan jadi artis K-pop sekejap.

Kuil Buddha Haedong Yonggungsa yang dibina pada abad ke-14 jadi persinggahan berikutnya.

Kuil ini juga dikenali sebagai Istana Naga kerana reka bentuknya menyerupai haiwan itu.

Tersedia pemandangan semula jadi yang menakjubkan berikutan kuil ini terletak di cerun bersebelahan laut.

Bagaimanapun, untuk melihat panorama mengagumkan ini, kami terpaksa naik turun 108 anak tangga.

Kami sempat singgah di Busan Premium Outlet selepas itu. Tiada yang menarik kerana barangannya sama seperti pusat beli-belah di tempat kita, lagipun mahal.

Kami seterusnya ke puncak bukit di Dalmaji-gil untuk menikmati pemandangan menarik Busan dan Jambatan Gwangan atau Diamond Bridge yang menjadi salah satu lokasi filem Black Panther pada 2018.

Jangan rasa pelik kalau lihat di sepanjang laluan penuh pohon-pohon mati. Sebenarnya itulah rupa pokok sakura pada musim luruh yang biasanya lebat dipenuhi bunga-bunga berwarna putih dan merah jambu.

Puas melihat pemandangan mendamaikan dari aras tinggi, kami menaiki kereta kabel dari Stesen Teluk Songdo ke Songnim Park sepanjang 1.62 km yang memakan masa kira-kira 20 minit.

Selepas membeli tiket, setiap orang dapat lolipop. Untuk hilangkan bosan semasa tunggu giliran barangkali.

Dari ketinggian 86 meter di dalam kabin, dapat lihat Pantai Songdo yang merupakan pantai awam pertama dibuka di Korea Selatan pada 1913.

Dari dek tinjau pula, nampak jelas Yeongdodaegyo, iaitu jambatan pertama dibina di Busan.

Jambatan angkat ini membolehkan kapal-kapal besar lalu di bawahnya, macam Jambatan Angkat Kuala Terengganu di tempat kita.

Juga kelihatan Namhangdaegyo, jambatan yang ada laluan pejalan kaki sejauh 1.8 km.

Di atas dek tinjau juga pengunjung boleh buat catatan dalam kapsul masa. Kapsul itu boleh dibuka apabila berkunjung semula.

Bagaimanapun, pastikan datang dalam tempoh 15 tahun, kalau tidak kapsul anda akan dibuang!

BK Jung kemudiannya bertanya sama ada kami sudah lapar? “Jom makan seafood. Dah sampai sini, rugi tak makan makanan laut segar,” katanya.

Kami yang menggemari makanan laut terus bersetuju lalu ke Restoran Nampo Sushi. Memang benar seperti diperkatakan BK Jung, ikan dan udang yang dihidangkan cukup segar. Lupa seketika nasi lemak dan roti canai.

Tapi tidak lengkap tanpa kimchi yang menjadi menu wajib kami di Korea Selatan.

Pastinya juga tidak sempurna itinerari ke Busan jika tidak singgah Kampung Budaya Gamcheon.

Deretan rumah teres berwarna-warni yang dibina di cerun bukit menyediakan pemandangan cukup ceria.

Patutlah perkampungan ini mendapat jolokan Santorini Korea Selatan atau Santorini Busan.

Santorini adalah sebuah perkampungan di Greece. Ada juga menggelarnya Machu Picchu, iaitu kota lama di pergunungan Peru.

Bagi peminat seni, di sinilah ‘syurga.’ Banyak karya seni yang boleh mereka hayati.

Jangan lupa, kalau ke sini pastikan ambil gambar dengan patung Little Prince bersama serigalanya.

Kalau tiada gambar bersama watak daripada buku kanak-kanak karya penulis Perancis, Antoine de Saint-Exupery itu, seolah-olah tiada bukti pernah jejak kaki ke Kampung Budaya Gamcheon!

Ketika kami sampai, panjang barisan menanti giliran untuk bergambar adalah 30 hingga 40 meter.

Namun, kami tidak peduli. Beratur hampir sejam, tapi berbaloi!

 

Teruja akan terima poskad setahun lagi
Ada lagi yang istimewa di situ, jangan lupa hantar poskad kepada diri sendiri.

Memandangkan hari hampir gelap, kami bergegas dapatkan poskad dan catat tarikh serta ucapan ringkas kami.

Kemudian kami pilih setem dan serah bersama poskad kepada pekedai yang akan mengeposnya ke alamat rumah kami setahun lagi. Caj dikenakan cuma 2,000 won, bersamaan RM6.

Teruja sangat rasanya nak terima poskad tersebut!

Bagaimanapun, di sebalik keceriaan dan warna-warni perkampungan itu, tersimpan sejarah hitam. BK Jung menceritakan, ia bermula dengan keperitan, kesedihan dan kesusahan. Gamcheon pada waktu itu daif dan mundur.

Ceritanya, sekitar 1920-an dan 1930-an, golongan kelas bawahan dipindahkan ke situ bagi mengatasi kepadatan di pusat bandar. Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh di pelabuhan.

Pada 1950-an, pelarian dan tawanan Perang Korea pula datang berhijrah. Disebabkan datang sehelai sepinggang, ada dalam kalangan mereka mengambil batu tanda dan dinding jirat tentera Jepun di situ untuk membina rumah. Dan rumah sedemikian masih boleh dilihat sehingga hari ini.

Pada 2009, kerajaan Korea Selatan memulakan projek mengindahkan kampung itu melibatkan artis, pelajar dan orang seni sehingga menjadi lokasi utama tarikan pelancong hari ini.

Sebelum mengakhiri hari kedua di Busan, kami ke pasar malam di Dataran BIFF.

Seperti rekomen BK Jung, kami cuba penkek tradisional, iaitu hotteok. Bezanya hotteok di Busan dengan tempat lain termasuk Seoul adalah intinya.

Di Busan, intinya biji bunga matahari, kacang badam, labu dan bijan. Di tempat lain, sekadar gula merah. Memang sedap!

Di sini kami juga tidak melepaskan peluang membeli buah tangan dari Busan. Hari terakhir, sementara menanti kereta api pukul 1.18 petang, kami bersiar-siar di kawasan berdekatan hotel, iaitu Chinatown dan Texas Street. Texas Street popular dalam kalangan ekspatriat terutama tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan untuk Berhibur.

Lokasinya hanya berdepan Stesen Busan. Pastinya tidak cukup tiga hari menjelajah Busan.

Sehingga sekarang, masih terbayang-bayang Busan. Umpama badan di sini, tapi fikiran masih di sana!

Annyeong-haseyo. Tidak sabar nak terima poskad dari Busan hujung tahun ini!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×