Makanan ringan viral, ancaman senyap kanak-kanak

Makanan ringan viral, ancaman senyap kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, negara dikejutkan dengan kematian kanak-kanak berusia 10 tahun akibat tercekik gula-gula kenyal sebesar bola pingpong.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan mengarahkan platform pembelian dalam talian untuk menurunkan iklan yang mempromosikan gula-gula berkenaan.

Namun, warganet meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan adakah tindakan KKM tersebut bersifat sementara? Adakah gula-gula kenyal akan diharamkan atau terus diniagakan? Siapa yang harus dipersalahkan, ibu bapa, penjual atau pembeli?

Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penguatkuasaan melarang penjualan makanan ringan berisiko dan boleh menjejaskan kesihatan di negara ini hampir tidak wujud.

Katanya, walaupun pembelian makanan ringan yang dipercayai tidak sesuai untuk dimakan oleh kanak-kanak dalam talian dapat dikawal sendiri dan dipantau sendiri oleh ibu bapa, namun penjualan berdekatan luar sekolah atau taman permainan, tidak dapat dikawal.

Katanya, undang-undang telah menetapkan Garis Panduan Penguatkuasaan Larangan Penjualan Makanan dan Minuman di Luar Pintu Sekolah (Edisi Kedua 2021), yang berkuat kuasa sejak 2012.

“Garis panduan ini, melarang penjualan makanan dan minuman dalam radius 40 meter dari perimeter sekolah untuk semua penjual makanan.

“Namun, sejauh manakah peraturan ini dapat diikuti oleh masyarakat, sebaliknya tidak diambil peduli langsung,” katanya.

Katanya, kebanyakan makanan ringan viral yang dijual pada masa kini, berbentuk besar melebihi saiz mulut kanak-kanak, malah teksturnya yang agak pelik dan likat menarik para pembeli.

“Ciri-ciri yang ada pada makanan ringan terbabit tidak sesuai untuk diberi kepada kanak-kanak, kerana ia sukar dihadam dan boleh tercekik jika dimakan terlampau gelojoh.

“Secara amnya, makanan ringan tersebut mempunyai kandungan nutrisi rendah, dengan gula yang tinggi dan boleh menjejaskan kesihatan seperti obesiti kepadagolongan sasar,” katanya.

Menurutnya, ramai ibu bapa masih lagi kurang kesedaran tentang bahaya pengambilan makanan ringan tersebut.

Lebih membimbangkan lagi, sesetengah ibu bapa, membiarkan anak makan sambil bermain atau berlari-lari, yang boleh menyebabkan makanan masuk ke saluran pernafasan dengan cara yang salah.

Contoh makanan ringan viral yang berisiko tercekik:

Gula-gula cincin getah
-Berbentuk cincin, sangat kenyal sehingga sukar untuk dikunyah sepenuhnya. Gula-gula jenis ini boleh menyebabkan tercekik jika ditelan dalam saiz besar.

Bebola jeli
-Jeli berbentuk bulat boleh didapati dalam pelbagai warna. Sering kali dijual empat hingga lima bebola untuk satu cucuk kayu sate. Selalu dimakan dengan cara disedut terus ke dalam mulut, sehingga boleh menyebabkan tersedak jika tidak dikawal dengan betul.

Marshmallow besar

-Tekstur yang melekit dan cepat mengembang apabila terkena air liur, menjadikannya sukar untuk ditelan dengan selamat.

Jeli ais
-Jeli dalam tiub plastik yang perlu dipicit atau disedut terus masuk ke dalam mulut. Jika dimakan terlalu cepat, ia boleh terus masuk ke tekak dan menyekat saluran pernafasan.

Gula-gula semburan
-Gula-gula cecair yang diisi dalam botol semburan. Cecair berperisa masam atau manis disembur terus ke dalam mulut. Boleh menyebabkan tersedak jika digunakan dalam jumlah banyak sekali gus.

 

Justeru, makanan ringan bukan sahaja memberi keseronokan kepada kanak-kanak, tetapi boleh mendatangkan risiko serius jika tidak diberikan dengan berhati-hati.
Oleh itu, kesedaran ibu bapa, penjaga dan penjual makanan mengenai bahaya ini amat penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN