“JANTAN ke betina?” Soalan itu menimbulkan suasana riuh-rendah dan gelak ketawa peserta kursus membuat ketupat palas di dapur memasak Kolej Komuniti Jempol, Negeri Sembilan.
Ramai yang kecewa apabila daun palas yang dibalut dengan pulut itu menghasilkan bentuk ketupat betina berbanding ketupat jantan.
Namun, selepas beberapa kali mencuba, akhirnya ramai yang berjaya menghasilkan ketupat jantan.
Tenaga pengajar, Cef Seriwani Nazri menjelaskan ramai tidak tahu ketupat palas sebenarnya juga ada jantan dan betina berdasarkan bentuknya.
Ketupat jantan biasanya mempunyai ‘putik’ di bahagian pangkalnya.
“Bentuk ketupat betina tajam di bahagian pangkal seperti bertanduk dan bahagian belakangnya rata dan kemas. Bagaimanapun, orang yang tidak tahu, tidak kisah dengan bentuknya asalkan boleh dimakan.
“Teknik melipat daun palas akan menentukan bentuk ketupat dihasilkan. Mula-mula belajar buat ketupat memang bukan perkara pelik kalau bentuk betina yang dihasilkan.
“Tapi, lama kelamaan apabila sudah mahir, tidak mustahil dapat buat ketupat jantan,” katanya.
Seriwani yang turut dikenali sebagai Cik Bunga dalam media sosial berkata, peserta perlu banyak berlatih membuat ketupat palas untuk benar-benar mahir.
Ia memerlukan sekurangkurangnya 20 kali latihan membuat ketupat itu.
Kursus berkenaan dianjurkan oleh Kolej Komuniti Jempol dan dihadiri 16 peserta terdiri daripada suri rumah dan usahawan wanita serta lelaki dari pelbagai daerah di Negeri Sembilan.
Selain ketupat, peserta juga berpeluang mempelajari cara menyediakan pulut putih dan inti yang mengandungi jagung, kacang dan pulut hitam.
Peserta juga didedahkan dengan kaedah memasak rendang daging Minang yang berbeza dengan rendang masyarakat Melayu di negara
ini.
Tambah Seriwani, ketupat palas boleh disejuk beku sama ada untuk tujuan makan sendiri atau untuk dijual.
Kursus ini memberi idea kepada peserta untuk memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan.
POTENSI PERNIAGAAN
Pensyarah PembelajaranSepanjang Hayat (PSH),Kolej Komuniti Jempol, Mashitah Mohd. Noor berkata, Kolej Komuniti bermatlamat menjadi hab untuk PSH dengan menawarkan pelbagai kursus kemahiran bukan saja kepada pelajar tetapi masyarakat di sekeliling.
“PSH memberi peluang untuk komuniti atau masyarakat setempat menyertai pelbagai kursus pendek yang dianjurkan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sampingan menerusi perniagaan kecil-kecilan.
“Dalam setahun, lebih lima kali kursus dianjurkan oleh PSH. Sepanjang Januari ini, sudah dua kelas dijalankan iaitu kelas membuat sandwic sempena program cuti sekolah untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 15 tahun. Bagaimanapun, program memasak tiada had umur untuk peserta, “katanya.
Bagi kursus ketupat palas berkenaan, lima peserta asnaf menerima tajaan daripada individu yang menginfakkan yuran bayaran sebanyak RM120.
“Yuran itu disumbangkan oleh penderma melalui Cik Bunga untuk golongan kurang berkemampuan menghadiri kelas yang dianjurkan. Pihak kolej berperanan mendapatkan data daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk mengenal pasti golongan asnaf yang layak menerima infak ini.
“Lima asnaf yang terpilih adalah warga emas dan suri rumah yang tidak bekerja. Kami berharap menerusi usaha murni individu yang memberi infak yuran ini, sedikit sebanyak memberikan peluang kepada asnaf untuk menimba ilmu baharu dan menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Ramai peserta PSH yang berjaya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas menyertai kelas yang dianjurkan seperti kelas pastri dan masakan lain sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.
Ketupat palas berpotensi besar untuk dijadikan sebagai perniagaan dalam industri kecil terutama dalam kalangan suri rumah
atau peniaga makanan. Ini berikutan permintaan ke atas ketupat palas sentiasa ada walaupun di luar musim perayaan.
Orang ramai yang berminat menyertai kelas yang dianjurkan boleh melihat tawaran kursus yang sesuai menerusi iklan yang dipaparkan dalam laman sesawang Kolej Komuniti, media sosial seperti Facebook dan TikTok.
Kesemua peserta yang menyertai kursus atau kelas anjuran kolej berkenaan akan menerima sijil penyertaan.
TIMBA ILMU
Sementara itu, peserta yang menerima infak yuran kursus melahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk menyertai kursus membuat ketupat berkenaan sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menimba ilmu masakan baharu.
Saimah Rasiman, 75, berkata dia gembira dan bersyukur selepas mendapat panggilan daripada pihak kolej untuk menyertai kursus sehari itu.
“Dalam usia begini, saya tidak sangka masih ada pihak yang sudi membantu memberi sumbangan berupa yuran untuk memberi peluang saya belajar membuat ketupat palas.
“Saya baru tahu kolej ini ada pelbagai kursus yang dianjurkan untuk semua tanpa mengira usia.
“Bagi saya ini peluang yang tidak boleh dilepaskan kerana mana tahu, di hari raya nanti saya boleh cuba membuatnya.Lazimnya saya dan keluarga akan buat ketupat nasi yang dimakan dengan rendang,” katanya.
Saimah yang berasal dari Johor tidak menyangka membuat ketupat palas tidak sesukar yang dibayangkan. Malah baginya, ketupat nasi
lebih rumit untuk dianyam.
Seorang lagi penerima infak, Normala Ahmad, 70, turut melahirkan rasa terima kasih kepada penyumbang yuran bagi membolehkannya
menyertai kelas berkenaan.
“Saya gembira kerana dapat menyertai kursus membuat ketupat dan rendang Minang ini. Saya ibu tunggal tiada anak. Kerja saya hanya menoreh getah di Serting dengan gaji RM20 sehari. Saya dapat bantuan Baitulmal RM250 sebulan untuk menampung keperluan diri.
“Selama ini saya hanya tahu makan sahaja ketupat ini dan tidak sangka susah juga hendak membuatnya. Satu lagi, saya tidak sangka ketupat ini ada yang jantan dan betina,” katanya.
Dua peserta yang ditemui pada sesi membuat ketupat palas anjuran Cik Bunga di Kemensah,Selangor, turut teruja untuk mempelajari cara membuat ketupat palas dan rendang minang.
Roziana Mahiaddin, 44, berkata minat untuk belajar membuat ketupat palas timbul kerana melihat tiga anaknya gemar makan ketupat berkenaan terutama ketika hari raya. Tambahan pula, Roziana menggalakkan anak-anaknya makan makanan tradisional berbanding makanan segera.
“Sebelum ini, anak-anak suka makanan segera tapi sejak 2019, saya hentikan makanan segera. Saya pastikan anak-anak makan makanan yang dimasak di rumah saja. Kalau beli mahal, jadi lebih baik buat sendiri baru puas hati makan.
“Ketupat palas bukan asing bagi saya yang berasal dari Kedah. Selama ini saya tidak berminat hendak belajar cara buat ketupat ini. Tambahan pula bila balik kampung, ketupat dan rendang sudah siap dimasak oleh nenek.
“Sekarang bila sudah berkeluarga, kena juga belajar,” katanya.-UTUSAN











