Bagi penggemar sukan jenis perlumbaan, SuperBros Kart yang terletak di Genting Highlands menawarkan pengalaman memandu go-kart yang mendebarkan.
Istimewanya, permainan ini sesuai untuk pelbagai peringkat umur daripada kanak-kanak sehingga dewasa.
Justeru, tidak hairanlah pusat ini menjadi destinasi kegemaran pelancong dan peminat sukan permotoran yang mahu merasai sensasi memandu laju dalam persekitaran yang selamat dan menyeronokkan.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan permainan, suasana yang penuh warna-warni dan bunyi perlumbaan go-kart sekali gus membangkitkan semangat untuk berlumba.
Barisan menunggu boleh dikatakan agak panjang, terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, jadi disarankan untuk datang lebih awal, bagi mengelakkan tempoh menunggu yang lama.
Pengalaman bermain
Apabila tiba giliran, setiap pemain diberikan topi keledar dan diarahkan ke kereta kart masing-masing.
Setiap kart dilengkapi dengan kesan bunyi dan lampu diod pemancar cahaya(LED) yang memberikan pengalaman perlumbaan yang futuristik.
Laluan perlumbaan direka dengan pelbagai halangan seperti selekoh tajam, dan kesan pencahayaan yang menambahkan keseronokan permainan.
Pekerja yang mengendali barisan pemain go-kart, akan memberi taklimat dahulu kemudian membantu untuk pemasangan topi keledar dan memastikan pemain dalam keadaan selamat dan selesa apabila menduduki go-kart.

Walaupun go-kart terkenal dengan kelajuan, keselamatan tetap menjadi keutamaan di SuperBros Kart.
Setiap pemandu diwajibkan memakai kasut bertutup, serta pakaian yang sesuai untuk mengurangkan risiko kecederaan.
Jika tidak membawa sarung tangan sendiri, pengunjung boleh membelinya di kaunter pendaftaran.
Selain itu, laluan litar direka dengan ciri-ciri keselamatan seperti penghadang tahan hentakan dan trek luas untuk memastikan pengalaman perlumbaan yang lancar dan selamat.
Keistimewaan
Salah satu keistimewaan di SuperBros Kart ialah kepelbagaian jenis go-kart ditawarkan yang sukar untuk didapati di tempat lain.
Ia kerana setiap go-kart direka khas untuk memberikan pengalaman memandu yang selesa mengikut umur dan tahap kemahiran pemandu.
Trek Super Star merupakan pilihan utama untuk golongan dewasa yang menggemari kelajuan dan mahukan pengalaman lumba yang lebih ekstrem.
Super Duper pula bagi yang ingin menaiki secara berdua.
Super Maxi merupakan laluan trek yang lebih sesuai untuk remaja yang ingin merasai keseronokan memandu go-kart dengan reka bentuk lebih besar dan ciri-ciri menarik.
Sementara itu, Super Junior direka untuk remaja yang ingin mencuba pengalaman lebih mencabar sebelum beralih ke kategori dewasa.
Akhir sekali trek Super Mini, yang menawarkan go-kart bersaiz lebih kecil dan selamat, direka khas untuk kanak-kanak, membolehkan mereka menikmati pengalaman berlumba dengan penuh keseronokan.
Setiap satu sesi permainan dianggarkan berlangsung sekitar enam hingga lapan minit, cukup untuk memberikan pengalaman perlumbaan yang mendebarkan tanpa terasa terlalu singkat.











