KEHADIRAN kelawar di bumbung-bumbung rumah sering meresahkan penduduk kerana bau yang busuk dan risiko penyakit.
Lantas pelbagai cara dilakukan untuk menghapuskan mamalia kecil itu agar tidak terus bersarang di kediaman masing-masing.
Namun, sekumpulan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil pendekatan berbeza dengan mewujudkan rumah khas buat kelawar Cecadu Pisang atau nama saintifiknya, Cynopterus brachyotis.
‘Istana’ kecil berkeluasan 12 meter lebar itu dibina di hadapan Istana Puteri Bongsu di universiti berkenaan.
Pensyarah Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Dr. Azreena Abu Bakar berkata, pembinaan rumah kelawar itu merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Ia sebagai salah satu langkah mitigasi konflik antara manusia dan kelawar yang wujud sejak sekian lama.
Dalam masa sama, ia bertujuan memelihara populasi Cecadu Pisang yang diancam kepupusan.
“Idea ini tercetus daripada projek pemuliharaan dan baik pulih Istana Puteri Bongsu apabila kita mendapati terdapat banyak kelawar di dalamnya berikutan terbiar kosong untuk tempoh yang lama ketika Covid-19.
“Situasi itu secara tidak langsung menyukarkan kerja-kerja pembersihan istana dan setelah melakukan perbincangan, kita memutuskan untuk membina rumah kelawar di hadapannya.
“Hal itu kerana, kelawar memainkan peranan penting dalam ekosistem seperti pendebungaan, menyebarkan biji benih dan membantu mengawal populasi serangga,” katanya dalam sidang akhbar ketika pengenalan rumah kelawar itu baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM, Prof. Emiritus Datuk Dr. Mohamad Abd Razak dan Dekan FKAP Prof Ir Dr. Mohd Syuhaimi Ab. Rahman.
Selain Azreena, reka bentuk rumah itu turut dihasilkan dengan kerjasama Prof. Madya Dr. Norzalina Harun dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Dr. Juliana Senawi dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST).
KEKALKAN KEASLIAN
Istimewanya, rekaan rumah kelawar itu dibina 100 peratus mirip Istana Puteri Bongsu termasuk menggunakan atap singgora.
Selain itu, pihaknya turut mendapatkan kayu-kayu cengal terpakai dari Kelantan bagi melengkapkan kerja-kerja pembinaan.
Secara tidak langsung, usaha mereka itu dapat mengekalkan reka bentuk rumah tradisi Melayu.
Kajian turut mendapati reka bentuk sama dapat ‘memujuk’ kelawar untuk menetap.
“Kajian mendalam telah dilakukan tentang sifat dan habitat kelawar, sebab itulah kita hanya menggunakan bahan-bahan yang sama seperti istana.
“Ia selaras untuk memujuk kelawar berpindah, oleh itu sarang baharunya haruslah serupa dengan tempat tinggal asal,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat penambahan dibuat dari segi ruang-ruang yang kelihatan umpama bilik pada bumbung rumah.
Pembahagian ruang tersebut bertujuan untuk mengelak pergaduhan di dalam keluarga kelawar.
Katanya, setiap seekor kelawar jantan menghuni bilik bersama enam betina.
“Elemen bilik tiada pada Istana Puteri Bongsu tetapi dihasilkan khas di rumah kelawar berdasarkan kajian yang dibuat.
“Selain itu, garisan-garisan turut disediakan bagi memudahkan mamalia kecil itu bertenggek dan bergantung,” katanya.
Azreena berkata, projek pembinaan rumah kelawar itu bermula pada Julai 2023 dan siap sepenuhnya pada Januari 2024 dengan kos melebihi RM40,000.
Setahun pindahkan kelawar
Tempoh selama setahun diambil pihaknya untuk memindahkan kira-kira 300 kelawar ke sarang baharu.
Proses penangkapan dibuat dengan cara memasang jaring di sekitar kawasan istana.
Katanya, kerja-kerja itu dilakukan pada waktu petang yang merupakan waktu aktif kelawar.
“Apabila populasi kelawar keluar pada waktu senja, ia terus terperangkap pada jaring yang dipasang.
“Haiwan yang ditangkap itu kemudian disapu dengan sejenis madu (pollen) pada beberapa bahagian badan sebelum dilepaskan di sarang baharu, keesokannya,” katanya.
Pemberian pollen itu bertujuan menarik beberapa kelawar lain untuk hidup bersama di sarang baharu.
Kini, kesemua kelawar sudah mendiami rumah itu dan tidak lagi bersarang di Istana Puteri Bongsu.
Besar harapannya agar inisiatif rumah kelawar itu dapat menjadi contoh di peringkat antarabangsa.
Pengaruh pada budaya, kehidupan
Sementara itu, Mohamad menyambut baik inisiatif kewatanan yang digerakkan kumpulan pensyarah menerusi pembinaan rumah kelawar.
Bahkan, beliau turut berbangga dengan kewujudan rumah yang disifatkan terbesar di Asia Tenggara.
“Kelawar banyak mempengaruhi budaya tempatan dan kehidupan manusia di seluruh dunia misalnya watak adiwira Batman.
“Malah, dalam apa jua bentuk kesenian, akan muncul bentuk-bentuk mamalia itu.
“Saya amat mengagumi usaha ini lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan kerjasama beberapa fakulti bukan hanya Seni Bina dan Alam Bina tetapi ATMA dan FST,” katanya.
Istana Puteri Bongsu
Sementara itu, mengulas mengenai sejarah Istana Puteri Bongsu, Azreena berkata, ia turut dikenali dengan nama Istana Tengku Fatimah Zaharah oleh pihak Muzium Negara Malaysia.
Istana itu pada asalnya adalah peninggalan kerabat Diraja Kelantan, iaitu Tengku Hamidah, puteri bongsu kepada Sultan Mansur yang memerintah Kelantan pada tahun 1886 hingga 1889.
Tengku Hamidah yang lebih dikenali sebagai Puteri Bongsu telah diwariskan Rumah Dapur dari kompleks Istana Sultan Mansur setelah berkahwin dengan Tengku Chik.
Setelah Tengku Hamidah meninggal dunia, rumah tersebut diwariskan pula kepada putera sulungnya Tengku Zainal Abidin Tengku Chik yang bergelar Tengku Sri Wangsa.
Waris kedua rumah itu ialah Tengku Fatimah Zaharah Tengku Chik.
Kerja-kerja pemindahan dan pemasangan semula istana itu di UKM dikatakan siap sepenuhnya pada 5 Disember 2006.
Inisiatif itu merupakan salah satu usaha murni dalam pemuliharaan dan pemeliharaan salah satu seni bina Melayu berusia lebih seabad.
Ciri-ciri seni bina Melayu yang masih kekal terutama di ruang ibu sekali gus menjadikan istana ini unik biarpun berusia ratusan tahun.-UTUSAN










