Wujudkah curang tanpa niat?

Wujudkah curang tanpa niat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berdepan dengan pasangan yang curang bak membelah buah kepayang muda, dimakan mabuk, dicampak sayang.

Maksudnya, serba salah untuk membuat keputusan sama ada untuk meneruskan perkahwinan atau meletakkan titik noktah.

Tambahan pula, individu yang curang kebiasaannya tidak mudah untuk mengaku melainkan disertakan dengan bukti kukuh.

Jika mengaku sekalipun mungkin akan menggunakan alasan ‘tanpa niat’ untuk menghalalkan kesalahan yang dilakukan.

Persoalannya, benarkah ada curang tanpa sengaja?

Kaunselor Perkahwinan, Noraniza Anwar berkata, kecurangan terbahagi kepada dua sama ada dengan sengaja atau tanpa sengaja.

Kecurangan yang dilakukan tanpa sengaja biasanya dipacu oleh beberapa faktor melibatkan individu yang curang itu sendiri sama ada terdapat trauma silam atau tidak bersedia sepenuhnya menghadapi gelora alam perkahwinan.

Berpengalaman 18 tahun menguruskan kaunseling kekeluargaan, katanya, individu curang kadangkala tidak sedar mereka sebenarnya mengalami trauma silam yang mendorong mereka bermain kayu tiga di belakang pasangan.

Daripada sudut piskologi, ada individu yang tidak sedar bahawa mereka mengalami masalah ‘dalaman’ yang terkait dengan masa lalu.

“Saya pernah mengendalikan kes yang terkait dengan dendam. Suami ini dia ada memendam perasaan bila cinta pertamanya ditolak.

“Jadi, bila dia ada isu dengan isteri, dia terkait dengan perasaan ditolak sebelum ini, barangkali dia rasa terhina dan terluka menyebabkan dia mula mencari orang lain,” katanya.

Selain itu, dihantui trauma zaman kanak-kanak juga boleh menyebabkan seseorang itu cenderung untuk curang.

Kebanyakannya, kerana membesar dalam keluarga yang berpecah-belah dan kurang kasih sayang.

“Kalau lelaki, kurang kasih sayang daripada ibu manakala kalau wanita pula mungkin masa membesar dia kurang kasih sayang seorang bapa.

“Termasuklah, mungkin sepanjang membesar terjadinya pengabaian, penderaan dan kurang belaian menyebabkan anak ini membesar dengan masalah psikologi yang seterusnya mempengaruhi tindakan mereka dalam perkahwinan,” jelasnya.

Gejolak emosi bagi individu yang lahir dalam keluarga dan suasana berantakan sangat berbeza dengan orang yang lahir dalam keluarga normal.

Malah, Noraniza juga tidak menolak kemungkinan terjadinya curang kerana terkena sihir pemisah oleh pihak ketiga.

“Ini adalah pengalaman peribadi saya juga dimana lelaki yang ada status dan kewangan stabil sering menjadi mangsa sihir pemisah oleh pihak ketiga.

“Mungkin kerana empunya diri kurang menjaga hubungan dengan Allah, isteri kurang berdoa maka unsur-unsur negatif ini mudah masuk. Itu yang kadang-kadang lupa anak isteri, bukan jenis panas baran tiba-tiba panas baran. Itu disebabkan sihir pemisah dan bukan niat hendak curang,” jelasnya.

Transisi kehidupan

Kata Noraniza, kebanyakan pasangan yang curang kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan alam perkahwinan yang jauh berbeza dengan alam percintaan.

Misalnya, pasangan yang baharu berkahwin kemudian dikurniakan zuriat melalui episod perubahan yang besar dalam hidup melibatkan tanggungjawab.

“Kecurangan yang berlaku tanpa niat mungkin berlaku kerana usia perkahwinan yang masih baharu kemudian dapat anak dan memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa yang sememangnya tidak mudah.

“Jadi, daripada sudut psikologi, seseorang mudah terjebak dengan stres bila berlaku peralihan dalam kehidupan.

“Kesibukan menguruskan anak kecil buat pertama kali mungkin membuatkan isteri tanpa sedar mengabaikan suami dan suami pula rasa tersisih. Di tempat kerja pula, ada rakan sekerja yang peramah, mulut manis maka ditambah bisikan syaitan terjadilah curang,” katanya.

Katanya, lelaki dan wanita yang berniat untuk melayari bahtera perkahwinan perlu mendapatkan kaunseling praperkahwinan untuk mempersiapkan diri dengan sebaiknya dan menjadi peneman yang baik dalam setiap fasa kehidupan.

“Masing-masing ada kesilapan, jika kesempurnaan yang dicari dalam perkahwinan, memang tidak ada kerana sempurna hanya di syurga.

“Tetapi kelemahan, kesilapan dan kekurangan bukan titik noktah untuk menafikan impian kita untuk bahagia,” katanya.

KENDALIKAN EMOSI

Soal beri peluang kepada pasangan yang bermain kayu tiga, kata Noraniza ia bergantung kepada situasi masing-masing.

Jika kecurangan itu berlaku kerana psikologi pasangan yang tidak sihat, maka rawatan boleh dipertimbangkan.

“Hendak tahu perkara ini perlu dirawat atau tidak perlu lihat kitaran curang yang berlaku. Pada saya, curang tidak boleh berlaku lebih daripada dua kali, maksimum pun mungkin tiga kali sahaja.

“Kalau lebih daripada itu, mesti ada sesuatu yang tidak kena seperti terkait dengan kisah silam yang dia sendiri pun tidak sedar,” katanya.

Begitupun, bagi wanita, jika sudah melampaui batas dan membahayakan nyawa lebih baik angkat kaki.

Terutamanya, bagi suami yang curang sehingga melakukan hubungan kelamin dengan ramai wanita.

Sudah tentu ia membawa risiko penyakit kelamin kepada isteri.

Sebelum jadi lain bengkak, lain yang bernanah, lebih baik ditamatkan sahaja.

“Macam wanita, kena berani untuk meninggalkan apa yang membahayakan dunia dan akhirat kita.

“Banyak kes yang saya jumpa isteri merana kerana terkena penyakit HIV dan sifilis. Wanita sayangi diri sendiri dulu kerana kita ada anak-anak yang perlukan kasih sayang.

“Kalau hendak bagi peluang kepada suami yang pernah berlaku curang, suruh mereka buat pemeriksaan kesihatan dahulu untuk pastikan mereka bebas daripada penyakit kelamin,” katanya.

Paling penting, katanya, ketenangan emosi ketika berdepan dengan isu berkenaan supaya ia dapat diselesaikan dengan lebih baik.

“Ada sesetengah keadaan, pasangan tidak mengaku perbuatannya, jadi kena bijak kumpul dan libatkan Allah dalam usaha ini.

“Dalam berdepan ujian kecurangan ini, kembalilah kepada Allah dengan memohon seluas petunjuk, kebenaran dan solusi.

“Seterusnya, cari sistem sokongan dan bantuan profesional jika perlu. Jangan pendam seorang diri terutamanya yang ada anak kecil kerana anak perlukan perhatian,” katanya.

Tambahnya, 3A yang boleh menjadi ancaman dalam perkahwinan adalah Anger, Addiction dan Affair.

Justeru, hindari unsur itu sebaiknya dalam rumah tangga.

Kejujuran adalah gerbang penting dalam perhubungan.

Kes curang sering berakhir dengan kehancuran rumah tangga

Peguam Syarie, Nuraffiqa Abd. Razak berkata, kebanyakan pasangan yang dicurangi datang kepada peguam untuk fail cerai di mahkamah dalam keadaan anakguam sudah dicurangi berkali-kali.

“Jarang pasangan terus failkan cerai jika baru dicurangi sekali.

“Biasanya orang yang dicurangi akan beri peluang berkali-kali untuk selamatkan rumah tangga dan pasangan yang curang juga biasanya akan mengulangi perbuatan curang berulang kali dengan pelbagai alasan serta bersikap manipulatif.

“Jadi, bila keadaan ini berterusan, pasangan yang dicurangi akan berasa lelah sekali gus membina kekuatan untuk berpisah daripada terus berada dalam perkahwinan toksik,” katanya yang juga pemilik firma guaman Tetuan Nuraffiqa Razak.

Tambahnya, tindakan saman sama ada bagi kes cerai atau nusyuz boleh difailkan di Mahkamah Syariah terhadap suami atau isteri sekiranya mereka didapati curang.

“Prosedur bagi pemfailan kes cerai atau nusyuz, pasangan yang dicurangi boleh terus ke Mahkamah Rendah Syariah untuk memfailkan saman kes-kes tersebut dan akan melalui proses perbicaraan.

“Buat laporan kepada Pejabat Agama beserta bukti dan maklumat kecurangan atau gangguan rumah tangga yang mencukupi seperti gambar, video mesra atau lucah, dokumen seperti resit daftar masuk hotel atau perbualan mesej di WhatsApp. Bukti-bukti ini bertujuan untuk membolehkan pegawai pejabat agama untuk membuka kertas siasatan.

“Kemudian, kertas siasatan akan diteliti oleh Pendakwa Syarie.

“Sekiranya wujud merit kes dan bukti-bukti kukuh, Pendakwa Syarie akan membawa kes ke Mahkamah Syariah dengan tindakan memfailkan saman kes dibawah jenis kes jenayah syariah terhadap pihak ketiga atau skandal tersebut,” katanya.

Katanya, tiada tindakan mahkamah (selain kes cerai dan nusyuz) boleh dikenakan terhadap pasangan (suami atau isteri) yang curang melainkan tindakan terhadap skandalnya iaitu Saman Orang Ketiga.

Tujuan tindakan mahkamah adalah untuk memberi pengajaran kepada orang yang menganggu rumah tangga (skandal pasangan) melalui hukuman yang disabitkan Mahkamah Syariah.
Ia membuktikan perbuatan curang bersama orang yang sudah berkahwin satu kesalahan di bawah Jenayah Syariah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×