Usia dua tahun jadi bintang basikal tolak dunia 

Usia dua tahun sudah jadi bintang dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kecil-kecil cili padi, ketika kanak-kanak seusianya asyik bermain permainan, lain pula ceritanya dengan si cilik berusia dua tahun ini.

Nur Adawiyah Husna Muhammad Amirul atau lebih mesra dikenali sebagai Cun Cuna, mula menunjukkan minat mendalam dalam sukan basikal tolak seawal usia 1 tahun 6 bulan.

Menurut bapanya, Muhammad Amirul Mohammed Ali, 34, berkata, sukan itu bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, tetapi juga medium yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim.

Malah, ia dapat membantu anak-anak aktif secara fizikal, sekali gus membentuk keyakinan diri untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Aktiviti ini juga membolehkan kanak-kanak berinteraksi dan bersosial dengan rakan sebaya, sesuatu yang semakin jarang berlaku dalam dunia moden yang didominasi permainan gajet.

“Dengan menyertai aktiviti basikal tolak, mereka bukan sahaja bermain, tetapi juga belajar tentang semangat kesukanan, bekerjasama dan menghormati orang lain. Semua ini penting untuk perkembangan mereka,” katanya baru-baru ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mempamerkan kemampuan luar biasa apabila berjaya menduduki kedudukan keempat di Kejohanan Pushbike Dunia (RCS Runbike World 2025) yang berlangsung di Fuji, Jepun baru-baru ini.

Paling membanggakan, Cun Cuna adalah peserta termuda dan bersaing bersama 13 peserta dari negara lain termasuk seorang wakil Malaysia yang menduduki tempat kelapan di peringkat akhir kejohanan tersebut.

Muhammad Amirul berkata, anaknya mula menunjukkan minat dalam sukan tersebut setelah melihat abang dan kakaknya berlumba.

“Tidak disangka, minat itu berkembang menjadi bakat luar biasa apabila dia memenangi kejohanan pertamanya pada usia yang sangat muda.

“Dia mungkin kecil, tetapi semangatnya besar. Cun Cuna ada keberanian dan fokus yang jarang dilihat pada kanak-kanak seusianya,” ujarnya.

Sebelum bertanding di peringkat dunia, Cun Cuna terlebih dahulu menakluki kejohanan besar basikal tolak di Malaysia.

Antaranya ialah juara dalam Johor Runbike Cup 2024, Lotus Pushbike Challenge 2024 dan Rockfish Cup 2024.

Menurut Muhammad Amirul, yang juga jurulatih peribadi anaknya berkata, kejayaan Cun Cuna di peringkat antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah.

“Kami membuat persediaan selama setahun dengan latihan mental dan fizikal yang konsisten. Setiap hari, kami berlatih selama satu jam, enam kali seminggu. Memang mencabar, tetapi saya percaya disiplin adalah kunci kejayaan anak saya,” ujarnya.

Kini, Cun Cuna bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga tetapi juga inspirasi kepada kanak-kanak lain dan ibu bapa di Malaysia.

Sebagai seorang bapa, fokus utamanya adalah untuk menyokong apa sahaja minat anaknya, termasuk minat dalam sukan bagi memastikan mereka dapat mengembangkan bakat, keyakinan diri dan gaya hidup sihat.

“Sukan ini bukan sahaja melatih fizikal kanak-kanak, malah menanamkan semangat juang dan disiplin sejak kecil.

“Saya harap lebih ramai ibu bapa akan melihat potensi sukan ini untuk mencungkil bakat baharu anak mereka yang boleh mengharumkan nama negara pada masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN