Tanaman hidroponik satukan komuniti Seksyen 23

Tanaman hidroponik satukan komuniti Seksyen 23

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPAKAT membawa berkat, slogan ini diterjemahkan Persatuan Penduduk Seksyen 23, Fasa 3, Shah Alam bagi menjayakan projek tanaman sayur-sayuran secara hidroponik.

Projek yang digerakkan sejak beberapa bulan lalu itu bukan hanya menjadi wadah dalam menyatukan komuniti, malah dapat menjana sumber pendapatan buat persatuan.

Pengerusinya, Arif Abdullah berkata, antara sayuran yang ditanam ialah bayam, pak choi dan kailan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kejayaan projek itu hasil semangat kejiranan serta bergotong-royong penduduk di Jalan Laba dan Jalan Analisis di seksyen tersebut atau ringkasannya Labalisis

“Insya-Allah kita akan menuai hasilnya tidak lama lagi dan kemudian bakal dijual kepada penduduk berhampiran,” katanya selepas majlis pelancaran oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi di sini baru-baru ini.

Jelas Arif, harga jualan sayur-sayuran kelak adalah bersifat mampu milik dengan segala hasil disalurkan ke tabung persatuan bagi kos-kos pengurusan keselamatan dan lain-lain.

Sasaran mereka adalah untuk memperbanyakkan lagi tanaman mengikut kesesuaian cuaca sepanjang tahun.

Kongsinya, cetusan idea bagi pelaksanaan projek itu bermula pada 2018 apabila mereka memohon satu plot tanah daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Selain sebagai tapak pusat kebun komuniti, ia sekali gus membolehkan kejiranan tersebut menyertai Program Komuniti Mini Zee Bee (Zon Bersih) pada 5 September 2019.

Katanya, aktiviti seumpama itu wajar diteruskan bagi mengeratkan ukhuwah sesama penduduk.

 

“Di Labalisis, kami mengamalkan konsep musyawarah dalam melaksanakan program demi kepentingan bersama.

“Selang dua bulan sekali, mesyuarat jawatankuasa penduduk diadakan, malah keunikan di sini adalah semangat perpaduan 500 penduduk pelbagai bangsa termasuk Melayu, Cina dan India,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Lily Ibrahim, 43, berkata, pelbagai aktiviti telah disertainya sejak lebih sedekad menetap di perumahan tersebut.

Antara yang menarik tentunya projek tanaman hidroponik itu kerana manfaat besarnya kepada masyarakat setempat.

“Aktiviti ini bukan hanya melibatkan orang dewasa tetapi juga kanak-kanak, sekali gus kita dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar sejak dari kecil.

Mohd.Ramlan Awang, 43, pula menyifatkan program tersebut sebagai aktiviti yang sihat pada hujung minggu selain bersukan dan beriadah.

“Selain menanam sayur secara hidroponik, hujung minggu merupakan masa terbaik untuk bersama ahli komuniti.

“Pada hari-hari biasa banyak masa dihabiskan dengan kerja. Keluar pagi balik malam, program sebegini sahajalah peluang terbaik untuk berjumpa jiran tetangga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini