Tahun kesedihan Rasulullah saw

Tahun kesedihan Rasulullah saw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam menyampaikan dakwah kepada manusia, Rasulullah SAW pernah menerima tentangan kafir Quraisy yang sangat menggila setelah kematian isteri dan pak cik baginda. Penentangan ini menyebabkan tahun tersebut dinamakan Tahun Kesedihan (‘Am al-Huzn).

Bukan hanya tentangan yang sangat dahsyat di Mekah, dakwah Rasulullah SAW di Taif juga sangat menyayat hati kerana penentangan orang Taif terhadap dakwah Rasulullah SAW adalah lebih dahsyat berbanding penentangan orang Mekah.

 

KEWAFATAN SAIDATINA KHADIJAH
Saidatina Khadijah adalah susuk penting di sebalik dakwah Rasulullah SAW di Mekah. Dukungan isteri yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya menguatkan lagi dakwah Islam di Mekah. Kewafatannya sangat memberi kesan kepada Nabi SAW.

Saidatina Khadijah binti Khuwaylid wafat pada Sabtu 10 Zulhijjah empat tahun sebelum hijrah bersamaan 28 Julai 619 Masihi. Beliau wafat di rumahnya yang berhampiran dengan bukit Marwah iaitu beberapa hari setelah pemboikotan Quraisy terhadap umat Islam berakhir. Rasulullah SAW mengebumikan Saidatina Khadijah di perkuburan al-Hujun yang kini dikenali sebagai perkuburan al-Ma‘la.

Sebelum kematian Khadijah, umat Islam diboikot dengan kejam oleh golongan Quraisy sehingga umat Islam termasuk yang bukan Islam daripada keluarga Hasyim dan al-Muttalib terpaksa makan daun-daun pokok akibat tiada makanan.

Pemboikotan selama tiga tahun ini akhirnya dimusnahkan oleh Allah SWT dengan kritikan hebat daripada lima orang pemuka Quraisy sendiri terhadap pemboikotan ini. Lima orang musyrikin Quraisy ini bersepakat di al-Hujun (kini Maala) pada malam Khamis 1 Zulhijjah tahun 4 sebelum hijrah untuk membantah pemboikotan zalim ini.

Mereka berlima adalah Hisyam bin Amr bin Robiah al-Amiriyy, Zuhayr bin Abu Umayyah, al-Mut‘im bin Adiyy, Abu al-Bakhtari bin Hisyam dan Zam‘ah bin al-Aswad.

Pada duha Khamis, 1 Zulhijah tahun 4 sebelum hijrah (19 Julai 619 Masihi), Zuhayr bin Abu Umayyah bertawaf tujuh pusingan di Kaabah seterusnya menyatakan kepada golongan Quraisy tentang kezaliman pemboikotan terhadap orang Islam, Banu Hasyim dan Banu al-Muttalib.

Seterusnya, ucapan beliau disokong pula, oleh Zam‘ah dan Abu al-Bakhtariyy. Seterusnya disokong oleh Mut‘im. Seterusnya disokong oleh Hisyam bin Amr. Kemudian mereka berlima yang bersenjatakan pedang pergi ke pintu perkampungan Abu Talib (Shi‘b Abi Talib) dan meminta agar Banu Hasyim keluar dari perkampungan mereka kerana pemboikotan telah berakhir.

 

KEMATIAN ABU TALIB
Tidak lama setelah kawafatan Saidatina Khadijah, orang yang sangat mempertahankan dakwah Rasulullah SAW pula menyusul pergi. Beliau adalah bapa saudara baginda iaitu Abu Talib bin Abdul Muttalib.

Pada Jumaat 15 Muharam tahun 3 sebelum hijrah (bersamaan 31 Ogos 619 Masihi), Abu Talib mula sakit tenat. Lalu golongan bangsawan Quraisy menemui Abu Talib dengan harapan beliau dapat memujuk Rasulullah SAW berhenti daripada mengajak manusia kepada agama Islam.

Mereka yang berjumpa Abu Talib antaranya ialah ‘Utbah bin Robi‘ah, Shaybah bin Robi‘ah, Abu Jahl bin Hisham dan Saidina Abu Sufyan bin Harb yang ketika itu belum lagi memeluk Islam.

Setelah mendengar permintaan para tetamu, Abu Talib meminta agar Rasulullah SAW datang ke rumahnya untuk berbincang dengan para tetamu. Setelah tiba, Nabi tetap bertegas untuk mengajak mereka kepada Islam.

Lalu mereka akhirnya pulang dalam keadaan kecewa kerana ketegasan Nabi SAW. Setelah mereka pulang, Rasulullah SAW meminta agar Abu Talib memeluk Islam namun Abu Talib menolak kerana tidak mahu dianggap memeluk agama Islam kerana takut akan kematian.

Akhirnya, Abu Talib meninggal dunia keesokan harinya iaitu Sabtu 16 Muharam tahun 3 sebelum hijrah (bersamaan 1 September 619 Maiehi). Kematian Abu Talib disaksikan oleh Rasulullah SAW dan Saidina al-Abbas bin ‘Abdul Muttalib yang belum lagi memeluk agama Islam.

Saat hampir meninggal dunia, al-Abbas melihat mulut Abu Talib bergerak-gerak namun tidak kedengaran suara yang jelas. Lalu apabila beliau merapatkan telinganya ke mulut Abu Talib, beliau terus berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai anak saudaraku. Saudaraku benar-benar telah mengucapkan kalimah yang dikau memintanya mengucapkannya (iaitu dua kalimah syahadah).” Lalu

Rasulullah SAW bersabda: “Saya tidak mendengar.” Abu Talib akhirnya meninggal dunia.

Pada hari keempat kematian Abu Talib iaitu Selasa 19 Muharam tahun 3 sebelum hijrah (4 September 619 Masihi), semakin dahsyat kejahatan golongan Musyrikin kepada Rasulullah SAW.

Pada hari tersebut beberapa jiran menyakiti hati baginda dengan mencampakkan sampah-sarap kepada Nabi SAW dan di hadapan rumah baginda. Mereka adalah Abu Lahab, al-Hakam bin al-‘As bin Umayyah (beliau memeluk Islam pada Fathu Mekah), ‘Uqbah bin Abu Mu‘ayt, Adiyy bin Hamro’ al-Thaqofiyy dan Ibnu al-Asda’ al-Hu-dzaliyy.

Ada juga yang meletakkan kotoran ke atas kepala Nabi SAW saat baginda sujud dalam solat di Kaabah. Rasulullah SAW juga sewaktu pulang ke rumah pernah ditabur debu hingga penuh kepalanya. Sewaktu masuk ke rumah, Saidatina Fatimah yang ketika itu berusia sekitar 10 tahun membasuh kepala Rasulullah SAW sambil menangis.

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Jangan menangis wahai Fatimah kerana sesungguhnya Allah memelihara ayahmu.” Kemudian baginda bersabda: “Quraisy tidak pernah menyakitiku dengan sebarang tindakan yang menyebabkan daku tidak menyukainya sehinggalah Abu Talib meninggal dunia.”

Keesokan harinya, Abu Lahab merasa tercabar melihat Quraisy menyakiti Rasulullah SAW yang merupakan anak saudaranya. Maka, dia menghalang orang ramai daripada terus menyakiti

Rasulullah SAW. Ini menyebabkan golongan Quraisy tidak berani menyakiti Nabi SAW.

Tindakan Abu Lahab yang mempertahankan baginda sekalipun dia tidak memeluk Islam berlaku selama tiga hari. Namun pada hari yang keempat iaitu pada Sabtu 23 Muharam tahun ke-3 sebelum hijrah (8 September 619 Masihi), Abu Lahab berhenti mempertahankan Nabi Muhammad setelah Rasulullah SAW ditanya tentang nasib datuk baginda iaitu Saidina Abdul Muttalib, Rasulullah SAW menjawab Abdul Muttalib di dalam api neraka”.

Perlu diingatkan bahawa jawapan Rasulullah SAW ini adalah sebelum penurunan ayat 15 daripada Surah al-Israk yang diwahyukan kepada baginda setelah peristiwa al-Israk. Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah hanya akan mengazab seseorang di dalam neraka sekiranya dia telah menerima dakwah para rasul tetapi dia tetap menolak ajaran Islam.

Jawapan Nabi SAW bahawa ayah Abu Lahab adalah penduduk neraka menyebabkan kemarahan Abu Lahab sehingga dia menyatakan dirinya adalah musuh Nabi SAW. Bermula detik itu, Abu

Lahab menyakiti Rasulullah SAW bersama-sama dengan golongan Quraisy yang lain. Bahkan, dialah yang paling teruk menyakiti Rasulullah SAW.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×