Beruk atau nama saintifiknya macaca nemestrina merupakan antara haiwan terlindung yang banyak terdapat di Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Bangladesh, India, China, Burma dan Laos.
Ia sinonim dengan sifat agresif, namun beruk boleh dilatih hingga menjadi jinak dan penyayang kepada tuannya.
Perkara itu diakui seorang pemilik dari Tumpat, Kelantan yang berpengalaman memelihara beruk hampir sedekad lalu.
Eh Tong Pai Nun, 24, mula akrab dengan haiwan tersebut sejak berusia 16 tahun lagi sambil menyifatkannya sebagai binatang yang cerdik dan mendengar arahan.
Sehingga kini, dia memiliki tiga beruk yang dinamakan sebagai Epang, Pokcek dan Kai Ding.
Ketiga-tiganya dibeli apabila sudah besar dan terlatih dengan kos sebanyak RM5,000 seekor.

“Khidmat Epang, Pokcek dan Kai Ding banyak membantu saya memetik buah nyiur penduduk,” katanya ketika ditemui dalam Pertandingan Beruk Memulas Nyiur di Kampung Kemunchup, Machang baru-baru ini.
Ketiga-tiganya bukan sekadar menjadi haiwan peliharaan dan ‘pekerja’ Eh Tong, malah sudah dianggap sebagai peneman setia.
Katanya, beruk lazimnya taat kepada pemilik, namun ada juga segelintir yang boleh dibelai manja oleh orang ramai bergantung kepada latihan dan persekitaran beruk tersebut.
Dalam pada itu, katanya, pertandingan kali ini disertai 40 beruk termasuk masing-masing seekor dari Selatan Thailand dan Raub, Pahang.
Ujarnya, penganjuran aktiviti itu mampu mempromosikan tentang keunikan beruk kepada para pelancong.
Katanya, setiap pemilik beruk diberi masa selama satu minit untuk mengarahkan haiwan berkenaan memulas dan menjatuhkan buah-buah kelapa yang diikat pada palang.
Jadi terapi
Seorang lagi pemilik, Ahmad Azizi Roslan, 30, berkata, hobi memelihara beruk menjadi terapi buat ahli keluarganya disebabkan kepintaran dan kemanjaan haiwan itu.
Kini, dia memiliki tiga ekor beruk yang turut ditugaskan untuk memetik buah nyiur.
“Ketiga-tiganya sangat manja dan tidak pernah naik ‘angin’ kepada sesiapa yang datang dekat” katanya yang menjadikan pertandingan ini sebagai ruang untuk bergaul dengan pemilik beruk lain.
Sementara itu, Yudi Ibrahim, 40, dari Kampung Kolam, Bachok berkata, beruk boleh dijinakkan jika dilatih sejak kecil.
Dia yang merupakan antara pelatih beruk memiliki enam ekor haiwan berkenaan dengan yang paling manja ialah pokcek.
“Di sebalik keletahnya yang gemar bergurau dan diusap ramai, tetapi pokcek tangkas memulas kelapa ketika bekerja.
“Seekor beruk mampu menjatuhkan antara 600 hingga 1,000 biji kelapa sehari dengan cara memulas atau menendang,” katanya.
Ujar Yudi lagi, beruk berkualiti atau kelas A dijual pada harga antara RM2,500 hingga RM10,000 seekor.










