KALAU bukan kita siapa, jika bukan hari ini bila lagi. Itulah persoalan yang perlu dijawab dalam usaha memulihara ekosistem hutan paya bakau di negara ini.
Bagi memastikan hutan tersebut terus terpelihara, pihak Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari (IBSD) Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan program menanam anak pokok kayu bakau di Taman Rekreasi Hutan Paya Bakau Sijangkang, Kuala Langat.
Menurut Pengarah Program itu, Dr. Muhammad Fuad Abdullah, inisiatif tersebut bertujuan memulihara pesisiran pantai sebagai kawasan perlindungan semula jadi bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam dan hakisan tanah.
“Program hari ini melibatkan seramai 180 pelajar UiTM Shah Alam dan Cawangan Jengka, Pahang.
“Penglibatan kesemua mereka adalah demi memberi pendedahan kepada generasi muda untuk lebih mencintai alam semula jadi ciptaan Allah ini,” katanya selepas program menanam anak pokok bakau yang dirasmikan oleh Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UiTM, Prof. Dr. Nor Azura Md.Ghani baru-baru ini.
Muhammad Fuad berkata, program tersebut turut melibatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Katanya lagi, usaha menanam 200 pokok bakau itu sekali gus dapat membantu memulihara spesies bakau minyak, kurap, nyireh, berembang dan api-api.
Dalam masa sama ia dapat memulihkan habitat pesisiran pantai yang menjadi koridor kepada kepelbagaian biologi serta memperkayakan sumber hasil pantai bagi meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai daya tarikan pelancong.
“Selain itu, ia dapat meningkatkan taraf hidup komuniti apabila prasarana sedia ada dipertingkatkan, lantas mengurangkan jurang kemiskinan seiring dengan agenda global Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” katanya.

Tempat buang sampah
Kawasan hutan paya bakau tersebut merupakan tempat pembuangan sampah sebelum dipulihara pada 2015.
Pengerusi NGO Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang, Mohd. Suhaimi Sanusi berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak untuk bekerjasama memulihara lokasi tersebut.
“Kini kita meneruskan usaha mengekalkan hutan paya bakau di sini sebagai zon penampan bagi menahan kekuatan ombak dan angin kencang serta mencegah pencemaran alam sekitar.
“Usaha ini adalah sinergi antara pihak komuniti dengan badan korporat dan universiti seperti UiTM dalam menggembleng tenaga memulihara ekosistem di hutan paya bakau di Kampung Sijangkang ini,” katanya.
Jelasnya lagi, sempena program tersebut sebuah papan tanda memaparkan informasi hutan paya bakau bernilai RM5,000 disumbangkan pihak korporat dan individu.
Sementara itu, bagi pelajar UiTM Shah Alam, Norfaqiah Mohamad Kamarul, program tersebut membuka ruang untuk meneroka pengalaman baharu menanam anak pokok bakau bersama rakan-rakan.
“Memang ada cabaran seperti dihurung nyamuk dan agas serta perlu meredah lumpur yang tebal, tetapi ia pengalaman yang berbaloi untuk dikongsi dengan rakan-rakan serta keluarga,” katanya.
Seorang lagi pelajar Sekolah Rendah Integrasi Islam Sijangkang, Mohd. Khazim Mohd. Zulkifli, 12, menyifatkan program itu bermanfaat kepada generasi muda sepertinya untuk lebih memahami usaha pemuliharaan hutan paya bakau.











