Ekspresi seni Hardiana pada alam

Ekspresi seni Hardiana pada alam

Sentuhan magis mural dinding Hardiana Hidayah Azmi menghiasi kebanyakan dinding di negeri-negeri sebelah utara tanah air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA karya muralnya yang popular bertajuk Living Stair direka khas untuk Touch’ n Go.

Sentuhan magis anak jati Teluk Bahang ini bukan hanya menghiasi dinding-dinding di sekitar Pulau Pinang malah meluas ke Pulau Langkawi dan Perak.

Selain mural, karya-karya lukisan Hardiana Hidayah Azni, 38, sering dipamerkan dalam pelbagai acara seni antaranya Art with Heart 2024 anjuran RHB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Paling istimewa, ia turut menjadi koleksi peribadi keluarga diraja di Malaysia dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Kanada serta Singapura.

Menceritakan perjalanannya dalam dunia seni lukis, katanya, ia bermula selepas menggenggam diploma dan ijazah seni halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ujarnya, bermain dengan cat, berus dan kanvas memberikan 1,001 ketenangan di samping mendamaikan jiwa.

Hardiana tidak mempunyai tema khusus dan memilih untuk menghasilkan karya yang menepati permintaan pelanggan.

Bagaimanapun, ibu tunggal ini gemarkan elemen yang dekat dengan alam semula jadi seperti flora dan lautan memandangkan dia kini menetap di Pulau Langkawi.

“Saya memilih untuk berkarya di sini kerana prospek pelanggannya yang lebih luas.

“Malah, karya yang dihasilkan berjaya memikat pelancong asing yang melawat Langkawi dan sudah terbang ke Jerman, Cyprus dan Kanada,” katanya baru-baru ini.

Cabaran, karya dipinggir

Bergelar pelukis bebas sepenuh masa di negara ini sangat mencabar apatah lagi dengan tanggungjawab beratnya untuk membesarkan dua anak berusia sembilan dan 11 tahun.

“Kerjaya ini tiada gaji tetap dan pendapatan adalah berdasarkan projek serta lukisan yang dibeli pelanggan.

“Memang agak sukar, namun demi mencari rezeki untuk anak-anak dan minat yang mendalam pada dunia lukisan, saya tempuhi juga cabaran ini,” katanya.

Kata Hardiana, cabaran lain ialah sikap segelintir pihak yang lebih mengagungkan pelukis luar berbanding tempatan.

Situasi itu sekali gus menyebabkan bakat-bakat tempatan terpinggir dan tidak dihargai.

“Pelukis tempatan sering diminta melukis secara percuma atau dikecualikan bayaran, bagi saya ia sangat tidak adil kerana kami juga perlu mencari rezeki untuk menyara kehidupan.

“Kami berkarya dengan titik peluh sendiri, oleh itu ia wajar dihargai seperti mana mereka menyanjung pelukis luar negara,” katanya.

Pameran solo

Hardiana mengimpikan pameran solo di samping membuka galeri seni.

Katanya, kewujudan galeri itu dapat menjadi platform buat generasi muda untuk meneroka bidang seni lukis.

“Dengan adanya galeri itu kelak, saya boleh memperbanyak sesi bengkel kepada mereka yang berminat.

“Dalam masa sama, saya berharap dapat memberi inspirasi kepada pelukis wanita lain agar tidak takut melangkah dalam dunia seni yang sering dianggap mencabar,” katanya.

Tambahnya, dunia seni lukisan di Malaysia tidak bias terhadap wanita dan peminat seni juga tidak memandang kepada jantina seseorang.

“Saya tidak pernah mengalami situasi karya ditolak hanya kerana saya seorang wanita, bahkan golongan peminat juga terbuka dan menerima pelukis tanpa mengira siapa mereka.

“Jadi kepada mana-mana wanita yang mahu bergelar pelukis jangan takut untuk menggapai impian,” katanya yang memaparkan karya di laman Instagram @artbyhardiana.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×