Amal makan ikan, enam anak cemerlang, genius

Amal makan ikan, enam anak cemerlang, genius

khazalina Khalid dan Azman Abd. Wahab bersama 10 permata hati mereka yang berusia enam hingga 25 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sering menyediakan menu berasaskan ikan menjadi antara rahsia peniaga lemang popular di Kijal, Kemaman memiliki enam anak yang cemerlang dalam akademik.

Empat daripadanya mencatatkan keputusan 6, 8 dan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Paling membanggakan apabila anak keempat dan keenamnya dikategorikan sebagai genius dan berjaya memasuki Kolej Genius@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Khazalina Khalid, 48, dan suami, Azman Abd. Wahab, 49, mengakui amat mementingkan soal pelajaran anak-anak dari kecil.

Selain didikan tegas, mereka turut berusaha memberikan makanan sihat kepada kesemua 10 permata hati yang berusia antara enam hingga 25 tahun itu.

Antara menu utama yang disajikan di rumah ialah ikan iaitu sebanyak 2 kilogram (kg) dimasak setiap hari di samping ulam-ulaman.

Wanita ini percaya pemakanan berkhasiat mempengaruhi minda anak-anak dalam jangka panjang.

“Saya jarang masak ayam atau daging dan makanan ruji adalah ikan, lebih-lebih lagi kerana kedudukan rumah berdekatan pantai, sekali gus memudahkan kami mendapatkan bekalan yang segar.

“Sekali masak memang banyak, sampai 2kg ikan setiap hari, seolah-olah macam selera kucing.

“Menu kegemaran kami sekeluarga ialah singgang ikan aya dan kalau saya sibuk, ikan-ikan hanya digoreng begitu sahaja sambil dimakan bersama budu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Saban tahun, Terengganu mengungguli bidang pendidikan menerusi keputusan cemerlang yang direkodkan dalam pelbagai peperiksaan di peringkat nasional.

Malah, negeri itu turut dikenal pasti memiliki paling ramai pelajar genius dengan tahap kapasiti minda (IQ) melebihi 130.

Kejayaan itu dipercayai berkait rapat dengan amalan pemakanan penduduknya yang tertumpu pada ikan termasuk nasi dagang, keropok lekor, satar dan budu.

MELAKAR KEJAYAAN

Anak sulung, Ummi Khaliqah Azman, 25, kini berkhidmat dengan firma audit Deliotte manakala Ummi Khalilah, 23, pula menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Khairulanam, 21, di Akademi Laut Malaysia (Alam).

Diikuti Ummi Khalidah, 19, di Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang sebelum ini merupakan lulusan Kolej Genius@Pintar Negara dan Asasi UKM; Khairul Bariah, 17, di Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Chukai (sekolah kluster kecemerlangan) dan Khairunnisa, 15, di Kolej Permata Insan, USIM.

Empat lagi masih di bangku sekolah rendah iaitu Muhammad Khaidir Hafiz, 12; Muhammad Khursyid Hafiz, 10; Muhammad Khalisan Hafiz, 8; dan Ummi Khaulah Al-Azwar, 6.

Khazalina berkata, di waktu petang atau hujung minggu pula, anak-anak gemar makan keropok lekor di samping satar terutama jika mereka beriadah di kawasan pantai.

Ujarnya, sebagai penduduk di negeri pantai timur, menu-menu berasaskan ikan sudah sebati dengan mereka sekeluarga.

Dalam masa sama, dia yang mengusahakan kedai Lemang Lina sejak 23 tahun lalu turut mengawal pengambilan makanan ringan, snek dan air berkarbonat pada anak-anak.

MEMBACA UMUR TIGA TAHUN

Anak genius pertamanya, Ummi Khalidah menunjukkan bakat luar biasa apabila mahir membaca seawal usia tiga tahun.

Kata Khazalina, pencapaian itu berbeza dengan rata-rata anak lain yang mula celik huruf ketika berusia enam tahun.

Bahkan, sejak dari kecil, anaknya itu berani membuat persembahan di hadapan penonton termasuk mengungguli pertandingan pidato peringkat Terengganu di samping meraih anugerah dekan saban tahun.

Setelah tamat asasi, ujarnya, Ummi Khalidah turut menerima tawaran menyambung ijazah sarjana muda di Glasgow, United Kingdom (UK).

Bagaimanapun, atas faktor penajaan, remaja itu akhirnya memilih menyambung pengajian di UTP.

Selain itu, anak-anaknya sentiasa belajar bersama di rumah dan masing-masing saling mengajar adik-beradik lain yang memerlukan bantuan serta tunjuk ajar.

Masa terluang pula diisi dengan membaca dan aktiviti berfaedah di ruang perpustakaan mini yang disediakan di kediaman mereka di Kampung Bukit Anak Dara.

“Saya dan suami sibuk bakar lemang di kedai, jadi kami tidak sempat tengok mereka belajar setiap masa tetapi saya tetap pantau perkembangan di samping pastikan mereka utamakan solat.

“Kebanyakan ilmu memang sepenuhnya diperoleh ketika cikgu mengajar dalam kelas dan kemudian mereka buat ulang kaji dengan adik-beradik lain.

“Memandangkan rumah saya agak terasing dengan orang lain, anak-anak banyak habiskan masa di rumah dan hanya keluar untuk pergi mengaji,” katanya yang pernah bekerja sebagai penyambut tetamu sebelum ini.

Begitupun, Khazalina menyerahkan sepenuhnya kepada anak-anak untuk memilih sendiri laluan kerjaya diminati.

“Saya tidak kisah pilihan kerja mereka, asalkan ada ilmu kerana ia merupakan ‘harta’ yang akan membawa seseorang pergi lebih jauh.

“Sekalipun mahu jadi tukang gunting rambut atau teruskan legasi kami sebagai penjual lemang, kena pastikan berilmu, kerana tanpanya bagaimana mahu buat hal-hal pemasaran dan majukan perniagaan.

“Saya selalu berpesan pada mereka, walaupun ilmu penuh di dada, paling penting kena sentiasa rendah diri dan beradab dengan semua orang,” katanya.

Besar harapannya agar ilmu-ilmu yang dimiliki anak-anaknya itu dapat dimanfaatkan kepada orang lain.

“Biarpun hanya menyara keluarga dengan membakar lemang, tetapi saya sentiasa galak anak-anak saya dan anak-anak penduduk kampung yang lain untuk menuntut ilmu.

“Saya sedih tengok budak-budak keciciran dalam pelajaran dan pernah memarahi anak saudara serta kawannya yang tidak mahu belajar,” katanya.

Ikan, makanan laut pengaruhi pencapaian dalam peperiksaan

Corak pemakanan tinggi fiber, lemak poli tak tepu dan vitamin B12, yang terdiri daripada ikan dan makanan laut dikenal pasti mempengaruhi pencapaian murid Terengganu dalam peperiksaan.

Penemuan itu diperoleh hasil kajian terhadap 375 responden berusia 11 tahun di 10 sekolah rendah di Kuala Terengganu, Marang, Setiu dan Kuala Nerus.

Pensyarah Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Madya Dr. Aryati Ahmad berkata, pengambilan kumpulan zat makanan tersebut dikesan mempunyai kesan positif terhadap markah peperiksaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Katanya, antara makanan Terengganu yang tinggi zat lemak poli tak tepu dan vitamin B12 itu ialah keropok ikan.

Menu itu merupakan makanan harian dan sepanjang masa penduduk setempat terutama anak-anak.

Jelasnya, pengambilan nasi bersama lauk ikan dan sumber laut lain pada setiap waktu makan di samping sayuran turut meningkatkan jumlah pengambilan zat-zat tersebut.

“Berdasarkan kajian itu, seramai 57 murid mengaku makan ikan setiap hari manakala 219 pula secara mingguan.

“Sementara itu, 18 orang mengatakan makan keropok lekor secara harian dan 166 lagi menikmatinya setiap minggu,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, pelbagai kajian lanjut perlu dilakukan penyelidik bagi mengesahkan penemuan itu disusuli dengan intervensi untuk melihat kesan langsung pengambilan zat dan pencapaian pelajaran dalam kalangan kanak-kanak sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×