Seni manik peranakan tiga generasi

Seni manik peranakan tiga generasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pameran seni ManekNya tidak seperti pameran biasa yang saya kunjungi. Ia lebih daripada sekadar pameran kerana menggabungkan seni yang diwarisi tiga generasi iaitu daripada nenek hinggalah ke cucu.

Pameran ini penuh dengan nostalgia dan memori lama dua beradik, Lee Swee Lin, 31, dan Lee Swee May, 29, yang membesar bersama nenek di kampung.

Memori dan kenangan yang tersemat indah di ingatan itu kemudiannya diterjemahkan kepada seni manik yang menjadi warisan turun-temurun keluarga mereka.

Ruang galeri Inner Joy Art yang terletak di Petaling Jaya itu menempatkan lebih 200 koleksi hasil sentuhan dua beradik itu bersama ibu mereka, Tan Kim Lian, 66.

Anak muda keturunan Baba Nyonya, Melaka ini mengadakan pameran berkenaan untuk mengimbau kenangan manis bersama mendiang nenek mereka yang mesra digelar popo.

Popo sangat menggemari manik dan sering menyulam manik pada beberapa barangan seperti baju dan kasut.

Minat itu kemudian diturunkan pula kepada Kim Lian sebelum diwarisi pula oleh Swee Lin dan Swee May.

Bersesuaian dengan tema Kenangan Bersulam, pameran itu bagaikan membawa pengunjung berlayar ke masa lalu dan mengimbau memori saat mereka membesar bersama nenek di kota Melaka.

Disebabkan itu, kebanyakan koleksi dalam pameran tersebut berkait dengan mendiang nenek mereka misalnya, baju lama nenek yang sering dibuat basahan di rumah dan juga teko air.

Kata Swee Lin yang juga Pengasas Pameran ManekNya, secara peribadi, setiap koleksi yang dipamerkan berkait rapat dengan kehidupan seharian bersama popo seperti baju basahan yang sering dipakai wanita keturunan Baba Nyonya.

“Semasa kecil saya membesar dengan nenek dan sepanjang proses membesar saya melihat bagaimana nenek menjahit manik untuk beberapa barangan seperti baju dan kasut.

“Kemudian, saya terfikir, ramai yang tahu Peranakan Baba Nyonya sinonim dengan pakaian tradisi seperti kebaya tetapi ramai yang tidak tahu kami juga kaya dengan seni manik.

“Bertitik-tolak daripada situ, saya dan adik sepakat untuk mengadakan pameran berkaitan seni manik untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat dan menyentuh sendiri seni manik kami yang cukup unik,” katanya ketika ditemui di pameran itu.

Perkataan ManekNya merujuk kepada manik emak kerana ‘Nya’ adalah panggilan untuk ibu dalam keluarga peranakan.

ManekNya melambangkan warisan seni manik yang diturunkan daripada ibu kepada anak dari generasi ke generasi.

Sejak dahulu kala, Manik Nyonya menjadi simbol kemewahan, status dan kebanggaan budaya.

Diwariskan turun temurun sejak abad ke-13, seni manik ialah kraf teliti yang melibatkan corak rumit manik dengan manik kaca pelbagai warna menarik.

Dari segi sejarah, manik-manik ini menghiasi kebaya, sarung dan aksesori yang dipakai oleh wanita Nyonya semasa majlis dan perayaan khas.

20,000 manik hiasi merak
Antara yang menarik perhatian saya adalah sulaman manik pada kain batik yang bercorak burung merak.

Merak kelihatan ‘hidup’ dengan kira-kira 20,000 sulaman manik di atasnya menjadikannya antara koleksi pameran yang ikonik.

Kata Swee Lin, burung merak sinonim dalam komuniti peranakan sebagai simbol kecantikan, kebanggaan dan keabadian.

“Sulaman manik ini bukan sahaja menonjolkan warisan budaya peranakan pada perlambangan burung merak malah ia juga meningkatkan impak visual yang lebih menarik.

“Menggunakan kombinasi warna hijau zamrud, oren, emas dan kuning yang dipadankan dengan sulaman manik memberikan kesan tiga dimensi pada imej burung merak,” jelasnya.

Mengambil masa sekitar setahun untuk persiapan, Swee Lin yang juga seorang pegawai bank berkata, tempoh itu agak lama memandangkan proses menjahit manik memerlukan ketelitian dan perincian.

Malah, mereka turut melakukan kerjasama bersama penyulam manik dalam kalangan komuniti B40 dan ibu tunggal bagi projek berkenaan.

 

Manik sekecil 1 milimeter
Selain itu, jahitan manik pada kasut juga memperlihatkan perincian yang kemas.

Menampilkan kelainan, manik yang digunakan pada kasut ini hanya bersaiz satu milimeter (mm) yang mana ia lebih kecil daripada saiz manik yang digunakan pada koleksi lain.

“Kesemua manik yang digunakan dalam pameran ini bersaiz 2 mm, cuma pada kasut kita gunakan manik sekecil 1 mm.

“Lebih istimewa, ia disulam sendiri oleh ibu dan saya melihat sendiri bagaimana ibu menyulam manik kecil dan sukar. Tetapi sebab minat, ibu boleh habiskannya,” katanya.

Kasut bersulam itu memiliki sekitar 20,000 manik berwarna-warni bersaiz 1 mm yang turut menonjolkan motif burung merak sebagai lambang kecantikan dan kesejahteraan.

Selain itu, sulaman manik di atas motif bunga kantan pada kain batik juga berjaya mencuri perhatian.

Bunga kantan sememangnya tidak asing lagi dalam masakan keturunan peranakan kerana baunya yang harum.

Jika dilihat dengan teliti, motif bunga kantan yang ditonjolkan juga melambangkan tiga generasi apabila terdapat tiga bunga kantan dengan saiz berbeza. Ia melambangkan nenek, ibu dan dua beradik itu sendiri.

Teko teh, cangkir dan peralatan dapur yang sering digunakan oleh keluarga peranakan pada zaman dahulu juga banyak dipamerkan dengan sentuhan manik yang menyegarkan mata memandang.

Secara keseluruhan, rekaan sulaman manik pada setiap barangan yang dipamerkan juga melangkaui sempadan karya manik Nyonya dengan menyemai idea-idea yang lebih segar, kontemporari dan dinamik.

Setiap hasil seni yang dipamerkan memiliki cerita generasi berbeza yang dijalin ke dalam setiap karya seni.

Ciptaan artistik dan inspirasi diambil daripada warisan nenek dan ibu menambahkan sentuhan nostalgia.

Potongan manik ini bukan sahaja mencerminkan kesenian rumit budaya Peranakan tetapi juga berfungsi sebagai naratif visual, menangkap intipati rumah yang dipenuhi dengan cinta, tradisi, dan keindahan pertukangan nyonya.

Pameran ini memberikan gambaran tersusun dari kenangan masa kecil semasa membesar dalam rumah keluarga Peranakan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×