Pemandu e-hailing wanita jadi sasaran gangguan seksual

Pemandu e-hailing wanita jadi sasaran gangguan seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Niat hendak mencari rezeki yang halal tapi terpaksa pula berdepan dengan manusia bernafsu rakus.

Itu yang dialami oleh segelintir pemandu e-hailing wanita yang menjadi sasaran gangguan seksual tatkala menjalankan tugas.

Perkara itu dikongsikan Pemangku Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Nazreen Nizam yang mendedahkan organisasi itu banyak menerima aduan daripada pemandu e-hailing mengenai kejadian sebegitu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata Nazreen, ramai yang mengadu mereka sering diganggu secara seksual oleh penumpang sehingga menimbulkan rasa kurang senang.

“WAO banyak menerima aduan daripada pemandu wanita yang mereka diganggu secara seksual oleh penumpang seperti disentuh atau dipegang dengan sesuka hati.

“Kita belum ada angka atau statistik tetapi memang banyak aduan sebegini diterima dan saya percaya kes ini wujud di luar sana cuma sama ada ia dilaporkan atau tidak sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nazreen ditemui selepas program Panel dan Bengkel Keselamatan anjuran syarikat e-hailing, inDrive yang diadakan di Gombak, baru-baru ini.

 

Pendidikan komuniti menyeluruh
Kebimbangan yang semakin meningkat membabitkan isu keselamatan wanita dalam industri e-hailing memerlukan tindakan segera daripada pelbagai pihak.

Justeru, WAO telah menjalankan kerjasama dengan beberapa syarikat e-hailing menganjurkan sesi bengkel keselamatan untuk wanita.

Begitu pun, jelas Nazreen, usaha memperkasa keselamatan wanita dalam komuniti tidak sepatutnya terletak di bahu kaum hawa sahaja.

Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama daripada kaum lelaki bagi memastikan keselamatan berasaskan gender dapat dipertingkat dengan sebaiknya.

“Kalau kebanyakan mangsa adalah wanita bermaksud pelakunya adalah lelaki.

“Jadi, di mana pendidikan berkaitan isu keselamatan ini? Adakah ia hanya perbincangan dalam kalangan wanita sahaja?

“Disebabkan ini, mentaliti kami di pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut berubah untuk memfokuskan kepada kaum lelaki mengenai pendidikan dan kefahaman tentang keselamatan wanita,” katanya yang berpengalaman selama 20 tahun dalam NGO.

Tambahnya, pendidikan yang lebih meluas kepada golongan lelaki akan mengurangkan budaya victim blaming yang hanya memburukkan keadaan mangsa teraniya.

Misalnya, jika berlaku kes gangguan seksual atau rogol ramai yang hanya menyalahkan kaum wanita kerana tidak menjaga diri dengan baik.

“Contohnya, orang akan kata kenapa keluar pada waktu macam itu, pakai pakaian sebegitu dan lain-lain lagi.

“Tetapi tiada siapa pula yang mempersoalkan kenapa si pelaku berkelakuan sedemikian dan ini yang perlu kita atasi untuk lelaki ubah sikap ketika berhadapan dengan wanita,” ujarnya.

TINGKAT KESEDARAN
Sementara itu, bengkel yang dianjurkan dengan kerjasama antara Indrive, WAO dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai tindak balas terhadap kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat.

Terutama yang melibatkan wanita dan komuniti renta dalam sektor e-panggilan yang berkembang pesat di Malaysia.

Dalam majlis sama, Pegawai Jenayah PDRM Gombak, Inspektor Mohd. Harith Hamdan berkata, cabaran semakin berkembang susulan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan e-panggilan.

“Walaupun e-panggilan telah memudahkan perjalanan, ia juga memperkenalkan cabaran keselamatan baharu seperti insiden gangguan, kecurian dan isu keselamatan jalan raya.

“Kerjasama berterusan dengan platform e-panggilan telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan piawaian keselamatan membolehkan laporan insiden masa nyata dan memastikan masa tindak balas penguatkuasaan undang-undang yang lebih pantas,” jelasnya.

Bagi mengatasi isu gangguan penumpang dan pemandu, Indrive yang mempunyai lebih 300 pemandu wanita berdaftar, mengintegrasikan ciri-ciri keselamatan dalam platform mereka termasuk perkongsian perjalanan masa nyata, kutang SOS untuk hubungan kecemasan langsung dan proses pengesahan pemandu yang menyeluruh.

Pakar Pemerolehan Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, pihaknya sentiasa menambah baik protokol keselamatan berdasarkan maklum balas pengguna.

“Kami juga komited untuk mengintegrasikan teknologi baharu dalam ciri keselamatan serta proses pengesahan pemandu kami.

“Kerjasama kami dengan pihak berkuasa tempatan adalah penting bagi memastikan tindak balas pantas dalam situasi kecemasan yang secara tidak langsung membantu kami membina persekitaran lebih selamat untuk semua pengguna,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini