Hiburan malam penuh aksi

Hiburan malam penuh aksi

permainan air Grand Canyon River Rapid yang mencabar adrenalin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali hujung minggu tiba, pasti ramai yang mencari destinasi sesuai untuk meluangkan masa bersama yang tersayang.

Sunway Lagoon Night Park mungkin boleh dipertimbangkan dalan senarai destinasi hiburan malam.

Taman ini menawarkan pengalaman unik dengan tema ‘The Good, The Bad and The Wild’ yang penuh keajaiban dan kejutan.

Tidak kurang juga mencabar adrenalin di malam yang dingin.

Saya berpeluang mengunjungi taman tema itu baru-baru ini bersama rakan-rakan untuk menikmati suasana malam yang sedikit berbeza.

Ketika melangkah masuk ke situ, suasana yang menanti lebih daripada sekadar hiburan biasa.

Dengan langit malam yang dihiasi cahaya bintang dan lampu berwarna-warni, taman tema ini bagai membawa kami ke dunia asing yang sarat dengan misteri.

Permainan air

Antara aktiviti yang menjadi tumpuan saya di sini ialah permainan air di Grand Canyon River Rapid, Colorado Splash, cabaran Pirate’s Revenge, Lost City of Gold dan banyak lagi.

Awalnya, saya memilih untuk mencabar diri dengan Colorado Splash, sebuah gelongsor air yang menyeronokkan di mana pemain perlu meluncur turun dengan kelajuan yang luar biasa menggunakan rakit getah.

Teriakan kegembiraan saya bergema di udara saat rakit getah meluncur di sepanjang gelongsor, disertai percikan air yang membasahi seluruh tubuh.

Selain itu, salah satu tarikan utama di taman tema ini ialah Grand Canyon River Rapid yang memberikan pengalaman mencabar adrenalin dengan aliran air yang deras.

Permainan ini membawa saya dalam zon pengembaraan apabila perlu menaiki tiub gergasi dan menghadapi pusaran air yang bergelora.

Sepanjang perjalanan di sungai itu, terdapat pemandangan indah dedaunan yang subur dan melalui terowong berkabus serta melewati air terjun.

Jika tidak bernasib baik, pemain mungkin akan basah kuyup apabila ombak air putih menghentam rakit semasa ia merentasi sungai yang mencabar.

Oleh itu, setiap pengunjung disarankan untuk membawa baju hujan atau pakaian lebih sebagai persediaan.

Bagi pengunjung yang mencari keseronokan air yang mencabar, aktiviti Grand Crayon River Rapid ini adalah antara aktiviti yang wajib dilakukan jika berkunjung ke sini.

PEMANDANGAN LANGIT MALAM

Setelah menikmati keseronokan di permainan air, saya memutuskan untuk meluangkan masa santai di roda gerabak atau Wagon Wheel.

Roda gerabak ini memberikan pemandangan langit malam yang cantik serta suasana taman tema yang meriah dengan warna-warni.

Sambil roda gerabak berpusing perlahan, saya dapat menikmati ketenangan malam serta pemandangan taman tema yang dipenuhi ramai pengunjung.

WAGON Wheel antara aktiviti santai yang boleh dicuba di sini.

Sebagai penggemar aktiviti mencabar, saya juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba permainan Pirate’s Revenge.

Pada mulanya, kapal viking ini hanya bergerak secara perlahan, tetapi lama-kelamaan, kelajuan dan ketinggiannya semakin meningkat.

Setibanya di puncak, kapal viking ini berputar sebanyak 360 darjah dan saya dapat merasakan degupan jantung semakin pantas seiring dengan kapal yang semakin tinggi.

Bukan itu sahaja, Lost City of Gold atau permainan roller coaster yang memang cukup sinonim dengan anggapan masyarakat bahawa aktiviti ini agak mencabar juga menjadi pilihan saya.

Walaupun pada mulanya berasa gugup, jaminan keselamatan yang tinggi membuatkan rasa takut saya terkawal.

Banyak lagi aktiviti menarik dan mencabar, menjadikan lokasi ini pilihan destinasi untuk beraktiviti di hujung minggu.

Antaranya, Butch Cassidy’s Trail, Carousel, Bold & Wild Ride dan lain-lain.

Secara keseluruhannya, taman tema ini menawarkan pengalaman hiburan malam yang luar biasa dengan pelbagai aktiviti menarik dan mencabar untuk pengunjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×