Keguguran Yahya Sinwar seorang pemimpin Hamas yang gigih berjuang melawan tentera penjajah Zionis pada 16 Oktober 2024 menyedihkan umat Islam. Walaupun sedih, itulah harapan beliau sebelum ini dalam banyak ucapannya.
Beliau memang mengejar syahid mempertahankan tanah air serta agama.
Kesanggupannya menunggu untuk masuk senarai mati syahid sudah lama direkodkan oleh al-Quran:
Ertinya: Di antara orang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun (al-Ahzab 33:23).
Para sahabat Nabi berpandangan ayat ini diturunkan menceritakan perihal Anas bin al-Nadhar RA. Dia sangat kecewa kerana terlepas untuk berjuang bersama Nabi dalam perang Badar. Lalu beliau bersumpah akan berjuang habis-habisan jika berlaku perang lain bersama Rasulullah SAW.
Dalam perang Uhud, beliau berjuang bermati-matian sehingga gugur syahid (Sahih al-Bukhari, 2805).
Walaupun ayat ini dikaitkan dengan Anas al-Nadhar RA, ia menjadi senarai kosong nan harum yang akan diisi para pejuang Islam sepanjang zaman sampai kiamat.
Setiap kali membunuh pemimpin Palestin, pihak Zionis meraikannya sebagai sebuah kejayaan.
Sebenarnya gugur atau menang pada sudut pandang orang beriman tetap dianggap sebagai kemenangan dunia dan akhirat sebagaimana Firman Allah:
Ertinya: Katakanlah: “(Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu untuk kami melainkan satu daripada dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid); dan kami menunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisi-Nya, atau dengan perantaraan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama kamu”. (al-Tawbah 9:52).
Walaupun bertali arus pemimpin Palestin gugur dibunuh rejim ganas Zionis, darah mereka menjadi baja subur yang menumbuhkan lebih ramai pejuang yang suatu hari nanti akan membebaskan langsung Palestin daripada penjajahan serta cengkaman Zionis Israel.
Menurut firasat Syeikh Ahmad Yasin, (Pengasas pergerakan Hamas yang turut dibunuh Zionis pada 22 Mac 2004), negara haram Israel akan terkubur menjelang 2027.
Firasat ialah anugerah Allah kepada orang yang bersih jiwanya serta luas pengetahuannya. Sabda Rasulullah SAW:
Ertinya: “Beringatlah kamu dengan firasat (pandangan nurani) orang beriman, kerana dia melihat (sesuatu) dengan (sinaran) cahaya (kurniaan) Allah. Baginda kemudiannya membaca ayat 75 surah (al-Hijr [15:75])
Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu (kepada kaum Nabi Lut), mengandungi tanda bagi orang yang memerhati dan memikirkannya (secara mendalam dengan firasat) (Sunan al-Tirmidhi, 3127).
Firasat terhasil apabila pandangan roh manusia yang suci bersambung dengan tanggapan akal, lalu ia dilihat oleh dua mata fizikal.
Apabila akal dan roh bebas dari kekangan nafsu, maka pandangan keduanya mampu bersatu dan melihat sesuatu secara tepat.
Manusia biasa gagal melihat secara tepat hakikat sesuatu perkara kerana pandangan rohnya terhalang oleh gelojak nafsu, lalu akal dan mata zahir tidak dapat berhubung dengan pandangan batin yang dilihat oleh roh (ringkasan ulasan dipetik dari Tuhfat al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmidhi).
Bagaimana jangkaan itu beliau buat? Apa teorinya? Dalam sebuah temuramah dengannya dahulu, Syeikh Ahmad Yasin mengatakan teorinya itu dipetik daripada al-Quran tentang kisah terkandasnya Bani Israel di Padang Pasir luar Palestin selama 40 tahun dek kebiadaban mereka terhadap nabi Musa AS.
Kisahnya, selepas bebas dari cengkaman Firaun, mereka diarahkan masuk ke Palestin namun enggan kerana risau terpaksa bertempur dengan penghuni Palestin pada waktu itu yang terdiri daripada orang gasar. Kebiadaban dan hukuman Allah kepada mereka itu kekal tercatat dalam al-Quran:
Ertinya: Mereka (Bani Israel menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”.
Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu”.
Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama empat puluh tahun, mereka akan merayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”. (al-Ma’idah 5:24-26).
Tempoh 40 tahun ada signifikan tersendiri. Ia menjadi tempoh ideal membersihkan sebuah generasi Bani Israel yang degil.
Apabila habis tempoh tersebut, generasi baharu terbentuk dan bersedia untuk masuk ke Palestin.
Menurut catatan para ulama tafsir, setelah habis tempoh itu, Bani Israel di bawah pimpinan Nabi mereka yang baharu, Yusya’ bin Nun AS berjaya masuk ke Palestin (Tafsir Ibn Kathir).
Syeikh Ahmad Yasin menjadikan prinsip itu sebagai premis ramalannya di Palestin. Generasi manusia akan bertukar pada setiap 40 tahun.
Dalam 40 tahun pertama, berlaku peristiwa Al-Nakbah (1947) atau bencana pengusiran orang Palestin dari bumi mereka akibat penjajahan Zionis Israel.
Dalam 40 tahun kedua (1987), telah bermula Intifadah atau kebangkitan orang Palestin secara agresif menentang penjajah Zionis.
Kemudian dalam 40 tahun ketiga menjelang 2027 peperangan ini akan berakhir dengan izin Allah.
Pada setiap 40 tahun itu, kita dapat melihat perkembangan perjuangan orang Palestin, dari bersenjatakan anak batu, mereka berevolusi dengan teknik perang serta senjata yang lebih semasa.
Walaupun berada dalam sekatan dan tekanan pelbagai penjuru, mereka mampu berkembang maju dalam kitaran 40 tahun itu.
Bayangkan apa akan berlaku jika mereka berjuang tanpa sekatan, mungkin jangka hayat Zionis Israel akan lebih singkat.
Apakah firasat 2027 ini benar-benar akan berlaku? Kita serahkan pada Allah. Apa yang penting, umat Islam Malaysia perlu sentiasa menyokong penduduk Palestin dengan sumbangan dana, simpati dan doa Qunut Nazilah.
Sudah banyak tanda ramalan 2027 bakal berlaku seperti laporan berita yang menyebut ekonomi Israel semakin meruncing kerana kos perang yang sangat tinggi.
Begitu juga laporan hampir 46,000 perniagaan dalam Israel yang muflis akibat kesan perang.
Apabila Israel tidak putus dengan kegilaan perangnya, pelabur asing atau sektor ekonomi semakin menguncup dan mungkin ini petanda kerajaan haram Israel yang sudah hampir 80 tahun dibina atas darah orang Palestin itu sedang menuju ajalnya. Insya-Allah!
–Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.











