Bilik selamat untuk anak autisme

Bilik selamat untuk anak autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mempunyai anak kecil menghidap Autism Spectrum Disorder (ASD) memberi cabaran yang cukup besar kepada ibu bapa.

Masalah deria yang dialami kanak-kanak kadangkala menyebabkan mereka mudah ‘meletus’ atau tantrum dengan begitu teruk sekali.

Apatah lagi ketika di khalayak ramai, sudah tentu ia menjadi antara perkara yang digeruni oleh ibu bapa.

Namun, ketakutan itu bukanlah disebabkan oleh kejadian tantrum kerana kebanyakannya sudah tahu bagaimana mengendalikan si kecil.

Sebaliknya, pandangan orang awam lantas menyebabkan ramai ibu bapa yang memiliki anak istimewa enggan membawa anak mereka keluar.

Mengakui perkara itu, bapa kepada anak ASD, Wong Wai Hoong berkata, kejadian tantrum atau lebih dikenali sebagai melt down kerap terjadi ketika membawa anaknya, Melody, 6, keluar.

“Selalunya dia akan mengambil masa selama 20 minit untuk kembali ‘sedar’ semula dan kebiasaannya perkara itu berlaku di tempat awam kerana kadangkala kami tidak dapat memahami apa yang dia inginkan.

“Saya sudah biasa dengan pandangan ‘tajam’ orang sekeliling apabila kejadian itu berlaku dan ini jauh berbeza di Singapura yang lebih terbuka dengan kanak-kanak ASD.

“Saya pernah berborak bersama pakar ASD di Singapura dan kebanyakan mereka beritahu kejadian tantrum adalah perkara biasa dan orang ramai juga lebih memahami,” katanya ketika pelancaran Sensory Pod untuk ASD di 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Wai Hoong dan isteri, Hazel Loke adalah ibu bapa pertama yang mendaftarkan anak mereka di Sensory Pod berkenaan.

Sensory Pod yang turut dikenali sebagai bilik bertenang disediakan khas oleh pusat beli-belah berkenaan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) untuk anak ASD yang mungkin mengalami tantrum semasa keluar bersama keluarga.

Bilik berkenaan yang dijalankan di bawah kempen Autisme As I Am menyediakan pelbagai permainan yang sesuai untuk anak ASD misalnya permainan pelbagai deria, dinding deria dan taman mini.

Wai Hoong yang merupakan jurulatih kecergasan berkata, kemudahan terbaharu itu memberikan kelegaan kepadanya dan isteri kerana terdapat bilik khas untuk anaknya ketika tantrum atau sekadar untuk berehat.

“Saya ternampak mengenai kemudahan ini ketika datang membeli-belah beberapa minggu lalu dan terus mendaftar sebagai ahli kerana ia sangat memudahkan kami.

“Kami kini lebih yakin untuk membawa Melody membeli-belah di sini kerana tahu ada tempat khas untuk bertenang dan bermain.

“Ini adalah tempat selamat untuk anak ASD terutama apabila mereka berasa tidak selesa setelah berjam-jam berada dalam khalayak ramai dan suasana bising di pusat beli-belah,” jelasnya.

 

Tingkat kesedaran
Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia Nasom, Julian Wong berkata, penubuhan pusat itu mencerminkan kesedaran mengenai ASD semakin meningkat.

“Nasom berbesar hati untuk bekerjasama dengan 1 Utama untuk Kempen Autisme As I Am yang memenuhi keperluan kanak-kanak autisme, remaja dan juga orang dewasa apabila mereka mengunjungi pusat beli-belah.

“Kempen ini memainkan peranan penting dalam komuniti untuk membantu mewujudkan kesedaran tentang autisme dan memperjuangkan keterangkuman dalam komuniti pusat beli-belah mereka.

“Terutama apabila statistik kanak-kanak menghidap autisme sememangnya menunjukkan peningkatan dengan 1 dalam 50 kelahiran adalah autisme,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Kemampanan 1 Utama, Lee Li Lian berkata, kemudahan itu membolehkan semua peringkat umur yang menghidap ASD dapat membeli-belah dengan selesa.

“Sejajar dengan komitmen kami kepada matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kami telah mencipta ruang dan kemudahan yang direka untuk membantu pembeli yang menghadapi cabaran deria berasa lebih baik.

“Kami mengalu-alukan individu ASD daripada semua peringkat umur untuk menyertai komuniti As I Am dengan mendaftar dalam talian secara percuma dan boleh mengakses Sensory Pod, tebus kit deria dan menikmati faedah lain,” katanya.

Sensory Pod yang terletak di tingkat dua pusat beli-belah itu boleh diakses dengan menggunakan kod QR yang didapati selepas melakukan pendaftaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN