Sesat dengan al-Quran?

Sesat dengan al-Quran?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Syeikh Fulan itu tidak meninggal dunia, sebaliknya diangkat Allah berada di alam ghaib sebagai Imam Mahdi. Perkara ini tidak Mustahil kerana Allah Maha berkuasa melakukan segala sesuatu! Kalau Dia mahu, Dia boleh lantik Syeikh Fulan itu sebagai Imam Mahdi.”

Ini antara contoh salah faham dan salah guna ayat al-Quran – Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu yang pernah dieksploitasi penganut ajaran sesat.

Hujah mereka disandarkan pada ayat al-Quran bermaksud: Sesungguh Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu (al-Baqarah: 20,106, 109, 148, 259, 284).

Ayat ini disebut dalam banyak ayat lain seperti (ali ‘Imran: 28, 189, 166 & 189) , (al-Ma’idah: 17, 19, 40, 120), (al-An’am: 17), (al-Anfal: 41), (al-Tawbah: 39), (Hud: 4), (al-Nahl: 70, 77), (al-Hajj: 6), (al-Nur: 45), (al-‘Ankabut: 20), (al-Rum: 50) dan banyak lagi.

Bukan hanya isu perlantikan Mahdi, banyak lagi idea sesat cuba diabsahkan dengan ayat al-Quran di atas. Contohnya:
Pertama: Roh si mati tidak boleh sama sekali balik ke dunia pada malam tertentu, bulan tertentu, atau pulang menjadi hantu mengganggu manusia di dunia.
Konsep ini disokong dalil al-Quran bermaksud: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang antara mereka, dia berkata: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (hidup semula di dunia) – “Supaya aku mengerjakan amal yang soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan”.

Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja ucapkan, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (dinding pemisah yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (al-Mu’minun: 99-100).

Bukan hanya roh si kafir tidak boleh pulang ke dunia, roh orang beriman pun mustahil dibenarkan kembali ke dunia. (al-Munafiqun: 9-10)

Walaupun hujah al-Quran dibawa dengan jelas, manusia jahil akan ‘meruntuhkan’ dalil tersebut dengan hujah dangkal mereka: Allah kan Maha berkuasa atas segala sesuatu! Kalau Dia mahu, Dia boleh je benarkan mana-mana roh untuk kembali ke dunia.

Kedua: Nabi Muhammad SAW Rasul terakhir. Ia berdasarkan firman Allah bermaksud: Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. (al-Ahzab: 40)

Juga sabda Nabi SAW bermaksud: Aku diberi enam kelebihan berbanding para nabi yang lain iaitu; Aku diberi kelebihan kata-kata yang ringkas padat, Aku diberi kemenangan dengan rasa takut (dalam hati musuh), dihalalkan untukku harta rampasan perang, bumi dijadikan bersih (untuk tayamum) dan sebagai tempat bersujud (boleh solat di mana sahaja di bumi), Aku juga diutus kepada semua makhluk dan aku menjadi penutup para nabi. (Sahih Muslim, 523)

Walaupun hujah di atas menyuluh dengan jelas, manusia jahil yang taksub dengan guru mereka boleh ‘meruntuhkan’ dalil tersebut dengan hujah dangkal mereka: Allah kan Maha berkuasa atas segala sesuatu! Kalau Dia mahu,

Dia boleh je lantik sesiapa sahaja selepas Nabi Muhammad sebagai rasul terakhir.

Ketiga: Manusia tidak dapat melihat jin atau syaitan dalam bentuk asal mereka.

Ia ditegaskan Allah menerusi firman bermaksud: Wahai anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan kamu yang tidak dapat melihat mereka.Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan itu teman rapat bagi orang yang tidak beriman. (al-A’raf: 27)

 

BOLEH LIHAT JIN
Menurut Imam al-Syafie, sesiapa yang mendakwa mampu melihat jin (dalam bentuk asal ketika orang lain tidak melihatnya) tertolak syahadahnya dan perlu dikenakan takzir (denda) kerana menyalahi nas al-Quran yang menyatakan sebaliknya (Tafsir al-Alusi).

Tambahan pula, ia termasuk perkara ghaib yang tidak dapat dipastikan kebenarannya melainkan dengan panduan wahyu.

Walaupun hujah di atas menyuluh dengan jelas, manusia jahil yang mudah terpengaruh dengan cerita mistik boleh ‘meruntuhkan’ dalil tersebut dengan hujah dangkal mereka: Allah kan Maha berkuasa atas segala sesuatu!

Kalau Dia mahu, Dia boleh je buka mata batin sesetengah manusia pilihan-Nya untuk melihat jin dan syaitan.

Ini antara perkara biasa pernah saya temui dalam masyarakat. Alasan serba guna mereka ialah penggunaan nama Allah-Al-Qadir- Allah Yang Maha berkuasa dan Allah boleh buat itu dan ini tanpa batas.

Jangan terkejut jika suatu hari manusia jahil akan menunggang hujah sama berkata: Allah kan Maha berkuasa atas segala sesuatu! Kalau Dia mahu, Dia boleh cipta anak untuk membantu-Nya mentadbir alam.

Maha Suci Allah daripada sangkaan buruk dan bodoh sebegini. Budaya salah faham ini perlu dibendung untuk mengekalkan kesucian agama.

Salah faham ini boleh dijawab dengan dua hujah. Mudah-mudahan ia mampu membimbing serta menyelamatkan kita daripada krisis akidah atau salah guna ayat al-Quran yang kronik.

Jawapan pertama: Allah memang Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja.

Pun begitu, Allah tidak akan melanggar sunnatullah atau ketetapan hukum alam yang Dia sendiri cipta seperti roh orang mati tidak mungkin balik ke dunia, Nabi Muhammad ialah nabi terakhir dan jin syaitan tak mungkin dilihat mata manusia yang sihat.

Bagaimana kita boleh tahu sesuatu perkara itu ketetepan yang tak mungkin Allah ubah?

Ia difahami dengan mendalami agama melalui sumbernya yang benar dan penjelasan para ulama.

Jawapan kedua: Nama Allah diulang sebut dalam al-Quran ada makna tersendiri menurut konteks ayat:

Sangat tidak adil jika sesuatu ayat al-Quran cuma dipotong pada bahagian hujungnya tanpa melihat makna sebenar dari pangkalnya.

Lihat beberapa makna sebenar Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu’ yang dinilai dari pangkal ayatnya:
• Allah Maha berkuasa untuk menukar atau membatalkan sesuatu hukum. (al-Baqarah: 106)
• Allah Maha berkuasa untuk menerima tumpuan hamba walau di mana sahaja si hamba berada dalam solatnya. (al-Baqarah: 148)
• Allah Maha berkuasa untuk mengangkat atau menjatuhkan sesiapa sahaja. (ali-‘Imran: 28)
• Allah Maha berkuasa untuk mengetahui segala apa yang berlaku di langit dan di bumi serta apa yang bermain dalam hati jantung manusia (al-Baqarah: 284 & ali-‘Imran:29)
• Allah Maha berkuasa untuk menghidupkan manusia yang sudah mati. (al-Baqarah: 259, Fussilat: 39)
• Allah Maha berkuasa untuk mematikan Nabi Isa a.s dan sesiapa sahaja. (al-Ma’idah: 17)
• Allah Maha berkuasa untuk memberi manfaat atau mudarat kepada sesiapa sahaja. (al-An’am: 17)
• Allah Maha berkuasa untuk menukar kumpulan yang degil dengan kumpulan pejuang yang lebih baik. (al-Taubah: 39)

Banyak lagi maknanya mengikut konteks sesuatu ayat.
Kita perlu bijak menilai dan beradab ketika mengambil mana-mana Firman Allah untuk dijadikan hujah sandaran.
Al-Quran memang cahaya penyuluh kehidupan, jangan pula disalahguna al-Quran untuk menyokong nafsu sesat bejat kita kerana ianya pasti disoal serta dihukum di akhirat kelak. Takutilah Allah!

-Penulis adalah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×