SELEPAS 10 tahun penganjurannya, pertandingan Miss Malaysia Kebaya melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa.
Penjenamaan semula kepada Miss World Kebaya 2024 membuktikan komitmen penganjur membawa busana tradisi itu ke mata dunia.
Pengasas Persatuan Peragaan Fesyen dan Ratu Cantik Malaysia, Dr. Jason Hee Jee Pin, berkata penganjuran julung kali diadakan itu,
menyasarkan penyertaan daripada 20 buah negara.
“Sejak dianjurkan pada 2014, pertandingan ini membabitkan penyertaan daripada peserta di dalam negara sahaja.
“Tetapi tahun ini, kami membuka pintu kepada penyertaan antarabangsa supaya keunikan kebaya dapat dilihat di mata dunia,” katanya.
Malaysia akan menjadi tuan rumah acara berprestij itu di Genting Highlands pada 1 Disember ini.
Acara berkenaan bertujuan untuk mempromosi busana tradisional, kebaya.
TARIKAN PELANCONGAN
Jason yang juga penganjur acara berkata, sehingga kini lima negara mengesahkan penyertaan.
Antaranya, Kazakhstan yang menghantar wakil iaitu Rauan Kassymova. Malaysia pula bakal diwakili Isha Danisha yang menjuarai Miss
Malaysia Kebaya 2024.
Bukan sekadar memeriahkan pertandingan, penyertaan lebih luas ini juga dijangka bakal menjadi salah satu tarikan pelancongan.
“Sebelum pertandingan berlangsung pada hujung tahun ini, kami akan mengadakan program seakan boot camp bersama finalis di
mana kita akan bawa mereka melihat keindahan yang ada di negara ini.
“Misalnya, sudah ada perancangan untuk membawa mereka lihat lokasi menarik di sekitar Perak, Melaka, Selangor dan Genting
Highland.
“Bayangkan mereka ini ratu cantik dari negara luar datang ke sini pakai kebaya dan kemudiannya buat kandungan (content) untuk media sosial mereka lokasi dikunjungi dan kemudian dilihat oleh pengikut-pengikut mereka. Ini yang kita mahukan,” katanya.
Bagi merealisasikan hasrat itu, katanya, perbincangan bakal diadakan bersama beberapa stesyen televisyen untuk tujuan penyiaran.
Penganjuran acara kali ini, disokong Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
Malaysia (FINAS) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Tambahnya, pertandingan kali ini juga bakal memberi peluang besar kepada pereka fesyen tempatan menyerlahkan bakat mereka dalam rekaan kebaya.
Ini berikutan pertandingan itu bukan hanya mempertandingkan kebaya nyonya, sebaliknya pelbagai jenis lagi kebaya mengikut kreativiti pereka.
“Kami tidak terhad kepada pemakaian kebaya nyonya sahaja, ia terpulang kepada kreativiti untuk memperagakan pelbagai jenis kebaya.
“Penjurian akan menilai kepada kebijaksanaan model membawa imej kebaya yang penuh dengan nilai kecantikan dan sopan santun,” katanya.
Barisan juri terdiri daripada pakar bidang tempatan dan luar negara seperti Thailand dan beberapa buah negara lagi yang masih dalam perbincangan.










