Bukan perokok pun boleh hidap kanser paru-paru - Utusan Malaysia

Bukan perokok pun boleh hidap kanser paru-paru

ADA lebih daripada satu jenis kanser paru-paru dengan kanser paru-paru Anaplastik Limfoma Kinase (ALK) paling sukar dirawat lantaran sifatnya yang pelbagai dan rumit. – GAMBAR HIASAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nik Faruk Nik Mohd Fadzil, 50, tidak menyangka batuk berlarutan dialami sejak Oktober 2023 bukan batuk biasa.

Ia tidak hilang malah semakin teruk walaupun selepas Nik Faruk makan ubat batuk. Batuk tidak henti-henti itu cukup membuatkannya keletihan dan mengganggu hidupnya.

Risau dengan keadaan Nik Faruk, isterinya Wan Intan Samad menasihatinya berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengenal pasti punca batuk yang tidak hilang itu.

“Walaupun batuk tidak berhenti, kesibukan bekerja setiap hari membuatkan saya terlupa untuk berjumpa doktor sehinggalah isteri menasihatkan saya untuk berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan.

“Saya berjumpa pakar paru-paru dan menjalani X-Ray. Keputusan X-Ray menunjukkan dua pertiga daripada paru-paru saya sudahpun dipenuhi cecair. Saat itulah segala-galanya bermula kerana batuk yang dianggap biasa rupanya petanda penyakit lain,” katanya.

NIK Faruk Nik Mohd. Fadzil disamping isteri, Wan Intan Samad.

Beliau berkongsi pengalamannya berdepan kanser Anaplastik Limfoma Kinase (ALK) pada forum mengenai Kanser Paru-Paru ALK Positif baru-baru ini. Forum berkenaan anjuran bersama Pfizer dengan kerjasama National Cancer Society Malaysia (NCSM) dan Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM).

Turut hadir, Presiden LCNM, Dr. Tho Lye Mun, Pengarah Urusan NCSM, Dr. Murallitharan Munisamy dan Pakar Onkologi, Dr. Mar’fuah Nik Ezamuddeen.

Nik Faruk menjalani prosedur Bronkospi yang mendapati terdapat tumor di dalam paru-parunya.

Selepas seminggu, dia menjalani imbasan Positron Emission Tomography (PET scan) dan didapati terdapat pergerakan sel aktif.

“Selepas menjalani ujian darah, saya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

“Saya terkejut sebab saya bukan perokok. Sepatutnya saya jalani rawatan kemoterapi tapi saya tidak buat, sebaliknya saya dapatkan dulu pandangan kedua dan ketiga.

“Perasaan saya bercampur baur ketika itu. Tambah pula selepas menjalani biopsi, saya didapati mengalami jenis kanser positif ALK. Saya tidak tahu apa itu ALK-positif dan ingat yang tidak elok macam HIV,” katanya.

Selepas sembilan bulan, Nik Faruk berjaya menempuh cabaran melawan kanser.

Hasil PET Skan ke atas paru-parunya bertukar kepada warna biru, menunjukkan kanser sudah tiada.

Sebagai bekas pesakit kanser, Nik Faruk mengakui melalui fasa cukup mencabar daripada sudut emosi, psikologi dan kesan ke atas keluarga, isteri dan anak.

“Takut, gelisah (anxiety) bercampur baur dengan rasa putus asa serta kecewa. Saya banyak membaca mengenai kadar kelangsungan hidup pesakit barah iaitu antara empat hingga lima bulan saja.

“Namun sekarang sudah sembilan bulan dan saya bersyukur kerana berjaya melepasi tempoh itu. Saya bersyukur kerana memiliki sistem sokongan yang baik. Saya juga mengubah suai kehidupan bagi mengelakkan kesan ubat-ubatan yang mengganggu aktiviti harian,” katanya.

Banyak jenis kanser
Kanser paru-paru adalah kanser ketiga paling lazim di Malaysia dan menjadi punca utama kematian penghidapnya.

Malangnya 90 peratus kes kanser paru-paru hanya dikesan pada peringkat lewat iaitu tahap tiga dan empat atau peringkat lanjut.

(DARI kiri) Mar’fuah Nik Ezamuddeen, Murallitharan Munisamy, Tho Lye Mun dan Nik Faruk Nik Mohd Fadzil pada forum mengenai Kanser Paru-Paru ALK Positif baru-baru ini. – Utusan/HALINA MD. NOOR

Kadar kelangsungan hidup pula adalah selama lima tahun bagi pesakit kanser paru-paru peringkat lanjut, dalam lingkungan 6.3 hingga 7.5 peratus.

Dr. Mar’fuah berkata, terdapat lebih daripada satu jenis kanser paru-paru dengan kanser ALK adalah barah paling sukar untuk dirawat kerana sifatnya yang pelbagai dan rumit.

“Kanser paru-paru terbahagi kepada kanser paru-paru sel kecil ( SCLC) yang jarang berlaku dan disebabkan oleh menghisap tembakau. Ia boleh tersebar dengan cepat ke seluruh bahagian organ berkenaan.

“Manakala kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC) pula sering berlaku akibat mutasi gen secara perlahan-lahan. Malah kanser jenis ini tidak menunjukkan gejala sehingga ia sudah berada di tahap lewat,” katanya.

ALK adalah contoh mutasi gen yang ditemui dalam lima peratus pesakit kanser paru-paru.

Wanita, golongan muda  di bawah usia 50 tahun dan mereka yang tidak pernah merokok mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap kanser paru-paru ALK-positif.

Ini disebabkan faktor persekitaran seperti pendedahan terhadap asap tembakau, sama ada sedutan secara terus atau sedutan daripada asap perokok lain, terdedah kepada pencemaran udara, asap api memasak yang panas, kimia industri atau radiasi.

Bagaimanapun dalam sesetengah kes, kanser ALK-positif boleh berlaku tanpa sebab yang jelas.

Namun perubahan gen yang berlaku ini tidak akan diturunkan oleh pesakit kepada waris atau anak-anaknya.

“Kebiasaannya tiada simptom dialami pada peringkat awal kanser paru-paru dan sekiranya ada gejala, ia sering disalah anggap sebagai masalah kesihatan lain seperti selesema biasa atau jangkitan dada.

“Justeru penting bagi orang ramai untuk mengenalpasti simptom awal kanser paru-paru. Pendidikan mengenainya amat penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser,” katanya.

Pelbagai rawatan
Antara petanda dan gejala biasa kanser paru-paru adalah sukar bernafas, batuk, hilang berat badan dan sakit dada.

Namun ujar Dr. Tho Lye Mun yang menjadi masalah apabila semua gejala ini lebih kurang sama dengan gejala jangkitan paru-paru.

Salah satu yang membezakannya adalah jangkamasa gejala dialami iaitu batuk berpanjangan dan tidak hilang.

“Pesakit yang mengambil antibiotik dan masih mengalami simptom selepas beberapa minggu, perlu segera menjalani pemeriksaan lebih lanjut untuk mengesan kewujudan kanser,” katanya.

Ujarnya, pada masa kini, apa yang lebih penting adalah pesakit yang mengalami gejala akan menjalani ujian molekular tumor untuk menganalisis lebih 50 gen bagi melihat apakah mutasi gen yang terbabit seperti kanser ALK.

“Kini terdapat rawatan dikenali sebagai terapi sasaran (targeted therapy) di mana molekul direka untuk menyasarkan protein yang dihasilkan oleh mutasi.

“Terapi sasaran sangat berkesan berbanding hanya menjalani kemoterapi. Ia seperti senapang yang menyembur untuk menembak semua sel. Namun dalam terapi sasaran, hanya satu ‘peluru’ digunakan untuk satu sasaran.

“Kita bertuah kerana pesakit ALK-positif, boleh menjalani beberapa rawatan terapi sasaran untuk mereka.

“Ia adalah perubahan besar daripada sudut kelangsungan hidup pesakit kanser paru-paru,” katanya.

Ada juga beberapa kaedah rawatan lain seperti kemoterapi yang juga berguna dalam beberapa keadaan.
Rawatan radioterapi, lebih menuju sasaran dan tepat manakala radiosurgeri pula memberi peluang untuk sembuh lebih cepat.

Kemajuan dalam pembedahan kanser paru-paru antaranya, kesan pembedahan yang minima di mana kawasan dibedah tidak terlalu besar dan  tempoh sembuh lebih cepat.

“Rawatan terapi imun (Immunotherapy) pula adalah rawatan yang mengubah interaksi sistem imun dengan merangsang sistem imun pesakit. Ini membolehkan sistem imun badan boleh menentang kanser.

“ALK lebih mudah merebak sekiranya kanser berada pada tahap empat. Jika dulu pesakit hanya boleh hidup selama enam bulan tetapi dengan rawatan menyasarkan terus kepada ALK, pesakit boleh hidup lebih lima tahun dengan kualiti hidup lebih baik,” katanya.

Saringan, kesan awal
Pengesanan awal kansel paru-paru melalui saringan tidak boleh dipandang remeh dalam memastikan rawatan dapat diberikan lebih awal dan berkesan.

Dr. Murallitharan berkata, ramai yang beranggapan kanser paru-paru adalah penyakit untuk mereka yang merokok sahaja sedangkan banyak faktor lain yang turut mendedahkan penyakit ini kepada bukan perokok.

“Ada sesetengah orang yang berisiko tinggi iaitu sudah merokok sejak bertahun-tahun lamanya. Bila batuk, mereka rasa ia tidak perlu dirisaukan. Sedangkan ada isu lebih besar sedang berlaku.

“Begitu juga dengan mereka yang tidak merokok yang beranggapan salah bahawa petanda batuk dialami, tidak perlu dipandang serius. Kanser paru-paru berlaku dalam senyap. Sebaik dikesan, ia sudah berada pada tahap lewat,” katanya.

Justeru, Dr. Murallitharan berkata, pengesanan menerusi saringan penting bagi mengesan kanser diperingkat awal terutama golongan muda kerana kini kanser itu sudah mula membabitkan pesakit muda.

Buku panduan kanser
Ketua Perubatan Pfizer, Kumpulan Malaysia-Indonesia-Singapura-Filipina, Dr. Sean Gardiner berkata, syarikat itu menerbitkan buku panduan mengenai kanser paru-paru ALK-positif.

Katanya, buku berkenaan bertujuan memberikan maklumat terperinci kepada pesakit yang baharu disahkan mengalami kanser paru-paru ALK-positif dan penjaga mereka bagi membantu perjalanan kanser mereka.

“Buku ini turut menyediakan pelbagai maklumat terperinci mengenai subjenis kanser paru-paru ALK-positif.

“Faktor risiko dan simptom, diagnosis sehingga rawatan turut terdapat di dalam buku ini,” katanya.

Buku ini boleh didapati melalui lama web kempen thrive dalam bahasa Inggeris.

Versi bahasa Melayu, Cina dan Tamil akan dilancarkan akhir tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×