Lima puncak kebanggaan Malaysia

Lima puncak kebanggaan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG 67 tahun kemerdekaan, banyak pengiktirafan diraih negara di peringkat antarabangsa, antaranya bidang pendidikan, sains, sukan dan kemasyarakatan.

Namun, terdapat beberapa pencapaian lain yang boleh dibanggakan iaitu puncak-puncak tertinggi dimilikinya. 

Platform pelancongan digital, Agoda berkongsi lima destinasi tertinggi yang menjadi lambang kegemilangan, keindahan alam semulajadi, warisan dan pemandangan menakjubkan.

Menjelang Hari Kebangsaan mari kita mengunjungi destinasi ini sekali gus membawa pengalaman percutian ke puncak tertinggi. 

 

MERDEKA 118: PUNCAK SENI BINA MODEN 

Bangunan pencakar langit berketinggian 678.9 meter ini diiktiraf kedua tertinggi dunia, selepas Burj Khalifa di Dubai. 

Nombor 118 melambangkan jumlah tingkat pada menara itu. Seni binanya diilhamkan daripada detik penting dalam sejarah Malaysia iaitu bentuk tangan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman yang diangkat ketika melaungkan kata keramat, merdeka. 

Lokasinya yang terletak berhampiran Stadium Merdeka sekali gus menambahkan lagi keunikan menara ini kerana melambangkan kegemilangan dan juga aspirasi moden Malaysia. 

Saksikan panorama indah Kuala Lumpur di dek pemerhatian apabila ia dibuka hujung tahun ini. 

GUNUNG LEDANG: PUNCAK KISAH CINTA TERAGUNG 

Gunung Ledang atau nama lainnya, Gunung Ophir yang berketinggian 1,276 meter, merupakan gunung tertinggi di Johor. 

Selain kaya dengan khazanah alam semula jadi, ia turut sinonim dengan kisah lagenda yang mempesonakan. Lagenda itu berkisar mengenai seorang puteri yang menetapkan syarat-syarat mustahil bagi menerima pinangan Sultan Melaka. 

Hingga kini, Gunung Ledang terus menarik kunjungan pelancong bagi menerokai puncaknya dan juga kisah mistik. 

BUKIT BENDERA: PUNCAK BERSEJARAH 

Destinasi ini terkenal dengan keindahan semula jadi dan juga warisan sejarahnya. Keistimewan itu membolehkannya diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2022. 

Bukit Bendera yang berkeluasan 12,481 hektar merupakan tapak rizab biosfera Malaysia yang ketiga, selepas Tasik Chini di Pahang dan Banjaran Crocker di Sabah. 

Dijadikan sebagai pusat peranginan sejak akhir abad ke-18, ia juga mempunyai laluan kereta api funikular yang menuju ke puncaknya. 

Perkhidmatan kereta api itu dibuka pada 1924 pada asalnya dan dibaik pulih pada 2010. 

 

GUNUNG KINABALU: PUNCAK ALAM SEMULAJADI 

Merupakan puncak tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 4,095 meter. 

Diberi pengiktirafan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2000. Gunung Kinabalu menjadi habitat kepada pelbagai jenis flora dan fauna, termasuk bunga raflesia dan burung enggang yang jarang ditemui. 

Dengan memiliki antara 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan, 326 spesies burung dan lebih 100 spesies mamalia, ia merupakan salah satu tapak biologi paling penting di dunia. 

Bagi mereka yang gemarkan pengembaraan, pendakian ke puncak Gunung Kinabalu merupakan satu cabaran fizikal di samping berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi di sepanjang perjalanan. 

MENARA TAMING SARI: PUNCAK PANORAMA 

Menara Taming Sari merupakan mercu tanda ikonik di Melaka dengan ketinggian 110 meter. Ia menawarkan pemandangan panoramik 360 darjah di sekitar bandar bersejarah itu. 

Dinamakan sempena keris legenda, Taming Sari, senjata mitos milik pahlawan Melayu, Hang Tuah. 

Kawasan dek pemerhatian berputar di menara ini boleh memuatkan sehingga 80 orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×