Koleksi pertabalan lambang kemegahan Diraja

Koleksi pertabalan lambang kemegahan Diraja

PAMERAN Raja Kita menampilkan lebih 272 koleksi berkaitan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan koleksi peribadi Sultan Ibrahim serta Raja Zarith Sofiah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA ini kita hanya mengenali Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke17, Sultan Ibrahim dengan koleksi kereta mewah dan motor besar, rupa-rupanya baginda juga memiliki Basikal Raleigh Chopper.

Apa yang menarik tentang basikal itu, ia dibeli oleh baginda ketika zaman kanak-kanaknya menggunakan wang hasil usaha baginda sendiri.

Baginda juga pernah menyifatkan basikal berkenaan sebagai ‘cinta pandang pertama’.

Memuatkan artikel berkaitan…
BASIKAL Raleigh Chopper yang dibeli Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika zaman kanak-kanak.

Basikal itu antara 272 koleksi yang dipamerkan pada Pameran Raja Kita.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, berkata, pameran itu menampilkan pelbagai koleksi peribadi YDPA, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah untuk tontonan umum.

“Pameran ini sebagai inisiatif mendekatkan masyarakat terhadap institusi YDPA dan Institusi Beraja. Ia diadakan bagi memperkukuh semangat cinta dan taat setia tidak berbelah bahagi terhadap negara,” katanya.

Antara yang mencuri tumpuan pengunjung adalah pameran lengkap pakaian istiadat dan alat-alat kebesaran yang melambangkan kemegahan Diraja.

PAKAIAN ISTIADAT

Pakaian rasmi yang penuh dengan nilai-nilai simbolik itu digunakan semasa pertabalan Seri Paduka Baginda. Busana itu turut mencerminkan warisan, budaya dan nilai-nilai Diraja Melayu.

  • MUSKAT DARI OMAN

Pakaian rasmi Seri Paduka itu diberi nama Muskat kerana reka bentuknya berasal dari ibu negara Oman. Ia mula diperkenal pada tahun 1960 semasa pertabalan YDPA ketiga.

Busana istiadat tersebut diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang telah diubah suai daripada pakaian rasmi pegawaipegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Kedah.

Dihasilkan daripada benang bulu berwarna hitam, Muskat dilengkapi sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan Malaysia.

Labuh pakaian itu mencecah paras paha dan berlengan panjang. Kebiasaannya, ia dipadankan dengan tengkolok dan seluar panjang bersulam di pangkalnya.

Ia dipakai oleh Seri Paduka bagi menghadiri acara rasmi seperti Hari Pertabalan, Hari Keputeraan Rasmi, lawatan rasmi ke negeri-negeri dan perasmian sesi penggal Persidangan Parlimen.

  • TENGKOLOK TENUNAN SUTERA

Sejak beberapa abad lamanya, raja-raja Melayu memakai tengkolok ditenun dengan sutera dan diikat dengan pelbagai solek (bentuk ikatan) di ulunya sebagai pakaian kebesaran.

Tengkolok Diraja yang dipakai oleh YDPA pada hari pertabalan berwarna hitam disulam menggunakan benang emas. Bentuk ikatan dan warnanya pula berbeza-beza sebagai tanda keunikan setiap negeri.

Di bahagian hadapan tengkolok itu dipasangkan lambang anak bulan dan bintang pecah 14 yang dihasilkan daripada emas putih.

Bahagian tengah bintang terletaknya lambang kerajaan Persekutuan yang melambangkan keharmonian negara.

  • PENDING DIRAJA

Pending Diraja adalah sejenis tali pinggang atau sarung pinggang diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah, bersulamkan permata delima.

Di bahagian tengahnya tertera lambang kerajaan Persekutuan. Tali bengkung itu juga diperbuat daripada kain sakhlat iaitu kain yang dihasilkan daripada bulu biri-biri bermotifkan bunga menggunakan benang emas.

  • KERIS PENDEK DIRAJA

Diperbuat daripada bilah keris lama, sarung keris berwarna putih gading dilengkapi dengan hiasan berunsurkan emas.

Hulu keris dinamakan sebagai ‘hulu pekaka’ dan berupa kepala garuda manakala sampir keris itu diterapkan dengan lambang kerajaan Persekutuan.

  • GANDIK PERMAISURI

Gandik atau pemeles merupakan hiasan kepala (mahkota) yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong dalam istiadat kebesaran Diraja.

Ia diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat yang dibuat khas supaya boleh diceraikan menjadi loket dan kerongsang.

Seperti perhiasan yang lain, ia juga dilengkapi corak anak bulan dan bintang yang turut dihasilkan daripada emas putih.

  • KALUNG BERLIAN

Bagi melengkapkan busana Diraja, kalung atau rantai leher turut dipakai oleh Raja Permaisuri Agong.

Diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian dan menariknya, kalung itu boleh dipisahkan menjadi aksesori lain seperti sepasang subang, kerongsang dan kerabu.

ALAT-ALAT KEBESARAN DIRAJA

Alat-alat kebesaran Diraja merujuk kepada koleksi peralatan dan simbol yang digunakan dalam upacara dan majlis rasmi Diraja seperti Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Ia mempunyai nilai sejarah, budaya dan simbolik yang tinggi selain melambangkan kedaulatan institusi raja-raja.

Berikut merupakan antara alat kebesaran Diraja yang digunakan.

  • KERIS PANJANG DIRAJA

Keris Panjang Diraja merupakan keris kerajaan yang menjadi salah satu alat kebesaran negara yang diutamakan dalam istiadat pertabalan. Ia melambangkan tanda kebesaran dan kekuasaan.

Keris tersebut disalut emas dari hulu hingga ke sarungnya manakala di atas sampirnya diterapkan lambang kerajaan Persekutuan. Mata keris ditempa daripada besi waja yang diambil daripada 11 bilah keris negerinegeri Tanah Melayu.

Hulu keris itu juga berbentuk tapak kuda dengan ukiran buah jering. Seri Paduka Baginda YDPA akan tampil dengan keris ini dalam istiadat pertabalan sahaja.

  • COGAN ALAM DAN COGAN AGAMA

Cogan Alam adalah salah satu alat kebesaran Diraja yang signifikan dalam sistem pemerintahan beraja di Malaysia.

Cogan Alam yang berukuran 162.66 sentimeter (cm) dilengkapi rekaan berbentuk bulat yang dihiasi anak bulan dan bintang selain diterapkan lambang 11 negeri Tanah Melayu yang diperbuat daripada emas.

Bulatan tersebut juga disokong oleh empat lembaga harimau yang berdiri, disusun mengelilingi bahagian atas tongkat.

Tongkat itu juga dipenuhi pelbagai corak tradisional serta lambang kebesaran seperti enam tangkai padi emas.

Berbeza dengan Cogan Alam, ukuran bagi Cogan Agama pula adalah sepanjang 155.04 cm.

Sinonim dengan namanya, Cogan Agama ini mengetengahkan motif berunsurkan agama di mana ia diterapkan dengan ayat-ayat suci al-Quran pada batang dan hulunya.

Di hulu tongkat itu juga dilengkapi reka bentuk anak bulan dan bintang pecah lima yang diperbuat daripada emas.

  • COKMAR

Cokmar adalah dua batang tongkat pendek berhulukan kubah yang merupakan alat perang zaman dahulu.

Tongkat yang diperbuat daripada perak dan berukuran 81.32 cm itu melambangkan kuasa dan kedaulatan YDPA serta institusi Diraja.

Ia merupakan simbol kuasa rasmi yang dipegang oleh raja dalam menjalankan tugastugas pemerintahan.

Selain menjadi simbol kekuasaan, Cokmar juga melambangkan identiti dan warisan negara. Ia mengingatkan rakyat kepada sejarah dan budaya yang telah membentuk negara.

  • PEDANG, KERIS PANJANG DAN SUNDANG DIRAJA

Tiga senjata Melayu ini bukanlah senjata semata-mata, ia juga merupakan sebahagian daripada alat kebesaran diraja.

Ketiga-tiga senjata itu disalut dengan perak serta dipenuhi ukiran pada hulu dan sarungnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini