Cari alternatif makanan lebih sihat

Cari alternatif makanan lebih sihat

AFIFAH Powzi menunjukkan roti sourdough yang dihasilkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’.

Saya kira peribahasa ini bukan sahaja sesuai merujuk kepada percakapan kasar atau tidak baik yang membinasakan diri.

Malah, ia juga boleh membawa maksud tabiat pemakanan yang tidak sihat sehingga boleh menjejaskan tubuh.

Logiknya, amalan pemakanan dan penyakit saling berkait.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Malaysia merupakan ‘juara’ dalam kategori mempunyai rakyat obesiti dalam kalangan negara
di Asia Tenggara disebabkan gaya pemakanan tidak sihat selain kurang bersenam.

Oleh itu, sudah tiba masanya setiap individu mengambil iktibar dan mula peka perihal penjagaan kesihatan untuk hari tua.

Seperti yang dilakukan oleh suri rumah, Afifah Powzi yang memilih untuk menghidangkan makanan lebih sihat di atas meja.

Sebagai permulaan, ibu kepada dua cahaya mata ini mula mengurangkan penggunaan makanan di dalam tin dan pemakanan yang mengandungi lemak tepu.

Malah, dia juga rajin mempelajari pelbagai menu sihat untuk dihidangkan kepada keluarga.

Antaranya, mempelajari selok-belok mengenai pembuatan roti sourdough sebagai alternatif terhadap pilihan roti lain.

KURANG GLUTEN

Sourdough adalah kaedah pembuatan roti dengan menggunakan kombinasi tepung dan air yang telah diperam selama beberapa hari. Ia turut dikenali sebagai starter.

Melalui proses sourdough itu, starter tersebut akan memakan 90 peratus gluten yang terdapat di dalam tepung.

Seterusnya, menyebabkan kandungan gluten yang rendah di dalam roti dan menjadikan roti lebih sihat dan mudah dicerna.

“Sebelum saya kenal roti sourdough, saya sering alami alahan selepas makan roti jenis lain.

“Selalu rasa berangin dan sakit kepala lepas makan roti. Saya tidaklah alergik kepada gluten tapi mungkin itu antara kesan sampingannya.

“Lepas mula amalkan roti sourdough ini saya tiada lagi masalah-masalah tersebut. Saya juga dapat kurangkan pengambilan gluten kerana
gluten ini tiada apa-apa kegunaan dalam badan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Gluten adalah protein yang terdapat dalam tumbuhan gandum dan beberapa bijirin lain.

Kandungan gluten biasanya terdapat dalam semua makanan berasaskan gandum seperti roti, kek, pizza, roti canai dan pelbagai jenis kuih-muih yang menggunakan tepung gandum.

Pengambilan gluten secara berlebihan dikatakan boleh menimbulkan masalah pencernaan memandangkan enzim yang membantu
badan memproses protein tidak dapat memecahkan gluten sepenuhnya.

Gluten yang tidak dicerna pula akan masuk ke usus kecil.

Merujuk kepada beberapa penyelidikan pakar pemakanan, sesetengah orang boleh mengendalikan gluten yang tidak dicerna tanpa sebarang masalah.

Namun bagi sesetengah orang pula, ia boleh mencetuskan beberapa gejala sampingan seperti kembung perut, cirit-birit, sakit kepala atau ruam pada kulit.

SEBAR KESEDARAN

Atas dasar itu, Afifah juga terpanggil untuk berkongsikan mengenai kesedaran pemilihan pemakanan lebih sihat kepada orang ramai.

Menggunakan platform media sosial, Tiktok, wanita kelahiran Perak ini mahu mengajak orang ramai memilih makanan yang alami dan sihat tanpa bahan tambahan.

Roti sourdough hanya menggunakan bahan-bahan asas seperti tepung tinggi protein, yis liar, air dan garam.

“Orang dulu-dulu pun hanya menggunakan bahan-bahan ini untuk pembuatan roti, maka ia lebih sihat.

“Permintaan untuk roti sourdough ini agak tinggi mungkin kerana orang semakin ambil berat mengenai amalan pemakanan sihat.

“Cumanya saya belum terfikir untuk jadikannya sebagai satu perniagaan kerana proses pembuatannya agak susah dan memerlukan  masa yang lama,” katanya yang banyak mempelajari mengenai sourdough dan kaedah pembuatannya secara dalam talian.

Tempoh masa pembuatan roti ini mengambil masa paling cepat adalah sekitar satu hari kerana perlu melalui proses fermentasi.

Berbeza dengan roti putih komersial, rasa roti sourdough sedikit masam namun mempunyai bau yang lebih wangi.

.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN