AROMA piza yang dibakar dalam ketuhar, bercampur keju mozarela dan tomato yang menusuk hidung cukup membangkitkan rasa lapar.
Tetamu yang hadir di Nook, Hotel Aloft, berpeluang melihat ketangkasan Sous Cef Faizul Mohd. Fauzan yang menepuk-nepuk doh
piza sehingga menjadi bulat, sebelum disapu sos tomato di atasnya dan ditaburi keju mozarela.
“Ini adalah piza Napoli yang cara penyediaannya sangat ringkas tanpa banyak menggunakan bahan berbanding piza Roman yang ditaburi cili benggala, cendawan, tomato dan minyak zaitun.
“Bagaimanapun, piza Napoli mempunyai doh yang lembut dan gebu hasil gabungan air, tepung, yis dan garam. Piza Roman pula lebih garing dan nipis kerana menggunakan minyak zaitun,” katanya.
Sebaik piza yang masih panas dimakan, terasa kelembutan dan dohnya yang gebu. Citarasa sos tomato yang masam manis dan lemak daripada keju mozarela yang cair selepas dibakar, membangkitkan selera.
Faizul berkata, memiliki kira-kira 20 wilayah, Itali sememangnya kaya dengan kepelbagaian makanan yang berbeza mengikut setiap wilayah.
Namun di kota Rom, semua makanan Itali boleh dinikmati.
“Makanan Itali enak tetapi agak sukar untuk dinikmati kerana kebanyakannya tidak halal. Kini, orang ramai boleh menikmatinya di Nook tanpa ragu-ragu dengan status halal.
“Salah satu ciri utama makanan Itali adalah cara masakannya yang ringkas tetapi berkualiti dan segar.
Namun, ada juga yang sukar disediakan seperti sos aujus yang mengambil masa tiga hari dan diperbuat dari pada sum-sum tulang lembu,”katanya.
Cef Faizul yang dibawa khas dari The Westin Desaru, berpengalaman lebih 11 tahun dalam masakan Itali, bahkan dilatih empat tukang masak
dari negara berkenaan.
“Orang Itali suka makan sekeluarga ketika berkumpul. Jadi, mereka gabungkan semua makanan dalam masakan. Sebagai contoh, menu utama, tuscan kaki kambing dengan salsa verde ini dimasak dengan ringkas.
“Kambing diperap dengan rempah seperti cajun, serbuk lada hitam, minyak zaitun dan garam sebelum ia dipanggang. Ia kemudian dihidang dengan sos salsa verde dan limpahan sayur-sayuran seperti tomato, cendawan, cili benggala dan bawang Holland,” katanya.
Hidangan utama lain yang mesti dicuba adalah chicken polo chaciatore iaitu dada ayam yang dihidang bersama kentang lecek dengan arang
bagi menghasilkan citarasa salai, tomato dan daun basil.
ANEKA HIDANGAN
Mulakan menjamu selera dengan hidangan terkenal negara Luciano Pavarotti itu, iaitu lasagna.
Promosi ini menawarkan lasagna sayur-sayuran Napolitana dan parmigiana diMelanzana yang menggunakan terung.
Cef Faizul mengesyorkan untuk mencuba lasagna parmigiana diMelanza yang menghasilkan citarasa manis daripada terung digoreng atau dibakar dengan sos tomato, basil, keju parmesan dan mozarela.
Beliau sempat menunjukkan demontrasi memasak gnocchi di patate iaitu salah satu pasta tradisional yang popular Itali.
Wakil media dan tetamu juga diberi peluang untuk mencuba menyediakan resipi ringkas itu.
“Penyediaan pasta ini sangat mudah iaitu menggunakan kentang russet, tepung double O dan telur. Ia kemudian diuli panjang
dan dipotong kira-kira dua sentimeter (cm). Kemudian direbus dan diangkat sebaik terapung.
“Pasta ini kemudian digoreng dengan sedikit minyak zaitun, sos tomato dan serbuk lada hitam. Teksturnya sangat lembut dengan rasa masam manis dan sesuai dijadikan sebagai sajian utama,” katanya.
Bufet makan malam Viva La Feast ini berlangsung dari pukul enam petang hingga 10 malam.











