DIET gula, garam dan makan enam kali sehari, membina kekuatan pelatih kecergasan Dr. K Jey Prabakaran Thevar, 27, untuk bertahan melakukan senaman kardio selama 13 jam tanpa henti.
Rutin amalan dietnya bermula pada 7.30 pagi dengan bersarapan oat dan susu protein.
Pukul 9 pagi makan sayur-sayuran dengan 10 biji telur rebus dan hanya makan buah-buahan pada pukul 12 tengah hari.
“Makan tengah hari pada pukul 1.30 petang saya hanya ambil nasi dengan ayam rebus tanpa garam, gula atau kari, manakala sebelah petang, buah-buahan.
Sebelum masuk tidur makanan wajib ialah ikan salmon grill,” katanya.
Beliau menyifatkan amalan itu sebagai suatu pengorbanan kepada negara.
Malah rejim diet dan aktiviti kecergasan diamalkan sejak remaja itu, banyak membantunya melakukan
cabaran senaman kadio.
“Kejayaan tidak datang bergolek tetapi perlu kerja keras mengorbankan masa bersama keluarga bagi
menumpukan latihan senaman kardio dan angkat berat dalam usaha mencipta rekod dunia yang baharu,” katanya.

Dr. K Jey Prabakaran yang lebih dikenali sebagai Dr. Kjey baru-baru ini menjadi individu pertama mencipta rekod dunia dan Asia melakukan senaman kardio dan angkat berat selama 13 jam tanpa henti di Lipis, Pahang oleh Asia Book Of Records (ABOR).
Penyampaian sijil ABOR yang disampaikan Presidennya, Selvarani Muthiah, pada majlis pengiktirafan khas di Healthland Gym, Kuala Lipis.
Anak jati Pahang ini, sebelum ini melakar dua rekod dalam Influencer Book of World Records (IBOWR) dan Malaysia Book of Records (MBOR) dan dunia apabila berjaya melakukan senaman kardio dan angkat berat selama 12 jam tanpa henti, pada 23 Julai, 2023.
REKOD BAHARU
Pencapaian ABOR itu mendorongnya memecahkan rekod dunia Guinness World Records yang lebih berprestij melalui aktiviti serupa selama 15 tanpa henti pada bulan September atau Oktober tahun ini
“Saya ingin mencipta rekod baharu dunia dengan menggunakan lebih 20 peralatan seperti treadmill,
dumbbell dan barbell.
“Dalam usaha itu saya menjalani latihan intensif sebanyak tiga kali sehari selama enam hari seminggu dan makan enam kali sehari bagi meningkatkan tenaga dan kecerdasan.
“Tempoh latihan senaman kardio selama tiga bulan bagi mencapai target 13 jam satu cabaran hebat tetapi saya yakin mencapainya.
“Saya rasa tidak ada tekanan mencipta rekod ini kerana saya tahu apa yang perlu dilakukan dan bila melakukannya. Dengan penuh tekad dan fokus, saya berazam untuk membuat negara dan negeri Pahang tercinta berbangga dengan kejayaan yang dicapai ini,” katanya yang mendapat semangat jitu itu menerusi sokongan padu daripada ibunya, Sukunamalar Sivalingam.
Sementara itu, ibunya menyifatkan anak bujang bongsu daripada empat beradik itu seorang cekal dan
sanggup berkorban masa di gimnasium dan wang ringgit bagi melatih diri dengan kekuatan fizikal dan minda.
“Sebagai ibu, saya bertanggungjawab menjaga pemakanannya dan sering kali berada di gimnasium bagi menemaninya menjalani latihan,” katanya.
JADI INSPIRASI
Presiden ABOR, Selvarani Muthiah, berkata kegigihan dan tekad melakukan aktiviti di luar kotak amat
mengagumkan sekali gus menjadikan Dr Kjey orang pertama di dunia melakukannya.
Ia turut menjadi pengajaran kepada semua individu untuk mencipta sesuatu luar biasa dan lain daripada yang lain.
“ABOR sentiasa menyokong dan memantau pencapaian luar biasa Dr. Kjey untuk dicatatkan
dalam rekod dunia sekali gus menjadi aspirasi kepada orang lain.
“Orang lain pun boleh mencipta nama dan diiktiraf oleh badan berintegriti sekiranya melakukan sesuatu
yang luar biasa yang tidak mampu dicapai orang lain,” katanya.










