SOALAN
KAKAK saya berkahwin dengan lelaki narsisistik. Dia sering dihina, dipukul dan dimaki suami. Bila terkena, kakak akan mengadu kepada saya, tapi bila dinasihati, saya akan dimarahi kerana tidak faham dengan situasi dialaminya. Bagaimana cara untuk saya bantu kakak? – ADIK BUNTU
JAWAPAN
Gangguan personaliti narsisistik (NPD) merupakan gangguan mental menyebabkan seseorang mempunyai imej diri berlebihan seperti kemegahan, keperluan untuk dikagumi dan kekurangan empati terhadap orang lain. Memiliki pasangan NPD, sangat meresahkan. Ketegangan hidup selepas berkahwin pasti memberi tamparan hebat buat isteri. Bukan mudah berhadapan dengan individu ini, hanya isteri yang hebat sahaja dapat melaluinya dengan penuh kesabaran dan mengharapkan pasangan berubah.
Berikut beberapa langkah boleh digunakan dalam menghadapi situasi ini:
- Jadi pendengar yang baik
– Walaupun sulit, teruslah menjadi pendengar yang baik. Tunjukkan empati dan perhatian tanpa menghakimi. Biarkan kakak tahu bahawa anda selalu mendengar dan menyokongnya. - Pelajari ilmu rumahtangga
– Mempelajari ilmu rumahtangga dapat membantu anda memahami situasi kakak dengan lebih baik dan memberikan cadangan lebih efektif. - Elak daripada memberi tekanan
– Memaksa atau menekan kakak meninggalkan pasangnya dapat membuatnya merasa tidak selesa dan mengelak untuk berkongsi. Sebaliknya,dorong kakak sentiasa berjaga-jaga dan cari cara yang dapat meningkatkan keselamatannya. - Bantu merancang keselamatan
– Bantu kakak menyusun langkah-langkah keselamatan sekiranya terdapat situasi berbahaya seperti nombor telefon anggota keselamatan, barang-barang kepentingan dan tempat selamat didiami jika diperlukan. - Dapatkan khidmat profesional
– Beri sokongan kepada kakak bertemu dengan kaunselor keluarga. Mereka dapat memberikan bantuan dan panduan lebih spesik. - Jangan menyalahkan diri
– Usaha terbaik, namun sekiranya kakak tetap dengan pilihan, anda tidak boleh mengawal keputusan kakak. Jangan menyalahkan diri sekiranya situasinya tidak seperti yang diharapkan. Fokus untuk terus terus beri sokongan. - Jaga kesihatan mental
– Menghadapi situasi ini pasti menganggu emosi, pastikan anda sentiasa menjaga kesihatan fizikal dan mental. Dapatkan
bantuan daripada rakan, keluarga dan kaunselor jika perlu. - Hubungi organisasi atau pusat bantuan
– Sekiranya situasinya sangat serius dan anda risau akan keselamatannya, segera hubungi organisasi atau pusat bantuan untuk dapatkan khidmat nasihat seperti Talian Sahabat, Talian Sehat, Talian Kasih, Women’s Aid Organization (WAO).
Membantu seseorang dalam situasi kekerasan rumahtangga adalah proses panjang dan sukar. Sabar, tenang dan sentiasa memberi sokongan serta cari cara terbaik membantu.










