SEHINGGA 31 Mei 2024 sebanyak 506 taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak berdaftar dikesan dan berada di
bawah tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ada beberapa taska biarpun menepati standard minimum pengoperasian tetapi tidak berdaftar disebabkan kesukaran memenuhi syarat dan prosedur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Kadangkala lokasi tidak sesuai, saiz dan fizikal kediaman tidak melayakkan ia dibenarkan beroperasi dalam menjaga bayi dan kanak-kanak.
Dalam isu taska tidak berdaftar ini, kita sering tertanya-tanya, kenapa yang tidak berdaftar itu masih menjadi pilihan?.
Sebelum hantar ke taska, berapa ramai dalam kalangan ibu bapa yang bertanya, meninjau atau mendapatkan maklumat mendalam sama ada sesebuah presmis itu sah dan berdaftar dengan JKM atau sebaliknya?
Kenapa yang tidak berdaftar ini masih ada dan terus beroperasi, malah tetap menjadi pilihan pengguna. Dengan kata lain adakah mereka kebal atau kita memangnya masyarakat yang kurang ambil berat mengenai isu keselamatan kanak-kanak dan bayi? Bila ada kes baharulah kecoh.
Kadangkala, lepas ada satu kes kecuaian, muncul lagi kes kemalangan yang lain. Bak kata orang, habis satu isu, timbul isu yang lain pula. Selain taska, ramai juga ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak mereka kepada individu yang digelar pengasuh.
Mereka ini boleh terdiri daripada sesiapa sahaja daripada pelbagai latar bangsa dan usia. Yang bujang tidak berpengalaman berkahwin dan ada anak pun, membuka khidmat penjagaan bayi.
Selalunya dalam kalangan jiran dan yang boleh tengoktengokkan anak ketika ibu bapa keluar bekerja menjadi pilihan.
Naratif ini seolah-olah kita memiliki ramai ibu bapa yang ambil mudah soal penjagaan anak. Namun pernahkan mereka ditanya mengenai kenapa mereka memilih untuk menghantar cahaya mata mereka kepada di bawah pengawasan pihak ‘tidak berdaftar’ ini?
Jawapan mudah ialah mereka sebenarnya tidak ada pilihan. Masing-masing mahukan yang murah. Jaga pun tidak susah. Beri makan dan tidur sahaja. Khidmat tambahan seperti mengajar membaca atau mengaji, barangkali tiada, melainkan ‘tengok-tengok’ sahaja anak kita. Isu penjagaan kanak-kanak ini perlu mendapat perhatian serius sebab ramai dalam kalangan ibu bapa sebenarnya tidak mempunyai pilihan. Dengan pelbagai isu dan tragedi di taska dan pengasuh tidak berdaftar ini, apa kata pihak berkuasa tempatan atau majikan menyediakan pusat penjagaan anak?
Ibu bapa lebih mudah menghantar anak malah waktu rehat pun boleh turun dan meninjau keadaan mereka.
Bukan apa, kadangkala terkilan bila urusan anakanak kecil ini dianggap isu peribadi. Janganlah kerana ketiadaan lokasi selamat, pasangan muda rasa terbeban untuk berkahwin seterusnya melahirkan zuriat pewaris masa depan.








