FATIMA Payman pernah menjadi sorotan sebagai wanita muda Muslim pertama berhijab dilantik menduduki kerusi di Dewan Senat Australia.
Fatima berhasil mengubah stigma terhadap wanita Islam khususnya dalam dunia politik, selepas beliau memenangi undi mencukupi sebagai Senator Dewan Parlimen Australia menerusi parti Buruh pada Julai 2022.
Namun, sudah pasti ia bukanlah perjalanan mudah buat wanita berusia 29 tahun ini. Apatah lagi, status sebagai pelarian dari Afghanistan dan seorang Muslim menyebabkannya terpaksa berdepan pelbagai cabaran, termasuk Islamofobia.
Fatima dan keluarganya melarikan diri dari Afghanistan ketika Taliban mengambil alih kuasa, lantaran datuknya juga merupakan anggota Parlimen di bawah pemerintah lama.

INSPIRASI DARI IBU BAPA
Menyingkap kisah tersebut, Fatima ketika itu berusia lapan tahun, meninggalkan tanah kelahiran bersama ibu dan adik-adik untuk berhijrah ke Australia mengikut ayahnya, Abdul Wakil Payman yang terlebih dahulu datang ke negara berkenaan.
Walaupun berjaya membebaskan diri daripada kon ik di negara asal, kehidupan baharu di Australia juga bukanlah seindah yang dibayangkan.
Ayahnya terpaksa bekerja keras menyara keluarga sehingga dengan melakukan pelbagai pekerjaan seperti pembantu dapur, pengawal keselamatan dan pemandu teksi.
Ibu pula memulakan perniagaan kecil menubuhkan sekolah memandu, meringankan bebanan ayahnya.
Pada 2018, Fatima kehilangan ayah akibat penyakit leukimia. Beliau mengakui terinspirasi dengan kerja keras dan nilai diterapkan oleh ibu bapanya selama ini.
Ayahnya mengajarkan bahawa usaha melakukan perubahan tidak boleh dengan hanya duduk berdoa dan mengharapkan perubahan terjadi.
“Saya menyaksikan perjuangan ibu bapa saya untuk memastikan kami mempunyai makanan di atas meja, membayar kos pendidikan dan menyediakan tempat buat kami berlindung,” katanya dalam ucapan di Parlimen sebelum ini.
HADAPI DISKRIMINASI
Fatima berkata, ayahnya sentiasa berdepan ‘diskriminasi dan penderaan kepada tidakpastian pekerjaan serta gaji rendah’.
Namun, berkat kerja keras itu, Fatima dan tiga adiknya boleh menjalani kehidupan bahagia seperti anak-anak lain serta melanjutkan pengajian ke universiti dalam jurusan Farmasi.
Sama seperti ayahnya, Fatima juga menerima tempias apabila pernah diejek sewaktu di universiti.
Bukan hanya dikutuk kerana berhijab, latar belakang sebagai pelarian juga sering menjadi bahan ejekan.
Pengalaman itu membakar semangat Fatima untuk terjun ke dunia politik, menyertai kumpulan kepimpinan belia, kumpulan penasihat polis dan persatuan pelajar Islam.
Beliau mengorak langkah menjadi ahli politik di Australia dengan menyertai parti Buruh, yang memiliki misi mensejahterakan rakyat daripada pelbagai latar belakang, termasuk seperti dirinya iaitu seorang anak pelarian.

SENATOR BERHIJAB PERTAMA
Dalam sejarah Australia, Fatima adalah ahli politik termuda ketiga yang menjadi Senator. Beliau juga adalah wanita Muslim berhijab pertama yang menduduki kerusi itu.
Sebelumnya, sudah ada Mehreen Faruqi, seorang Muslim, tetapi beliau tidak memakai hijab. Awalnya, Fatima berada dalam senarai ketiga sebagai calon Senator mewakili parti Buruh.
Beliau tidak menjangkakan posisi itu dicapainya seawal usianya 27 tahun. Fatima berhasrat menormalisasikan pemakaian hijab dan menjadi inspirasi kepada ramai anak muda Australia.
“Bukan kerana Islamofobia yang semakin meningkat di media, tetapi saya mahu wanita muda berhijab untuk bangga memakainya kerana itu adalah hak anda,” katanya.
Hampir dua tahun sebagai Senator, Fatima kini memberanikan diri ‘melawan arus’ daripada partinya untuk menyokong usul mengiktiraf negara Palestin.
Berdasarkan peraturan, beliau boleh berdepan tindakan terhadap keputusan yang diambil kerana bercanggah dengan keputusan partinya. – AGENSI










