NAMPAK sama tapi tak serupa. Itulah yang terfikir dek akal apabila pertama kali melihat haiwan kecil ini.
Guinea pig, sekilas pandang si manja ini seakan seperti hamster namun ada ciri-ciri dan keunikan yang membuatkan ia tampak berbeza.
Spesis tikus Belanda ini boleh dijadikan peliharaan meskipun namanya agak menimbulkan kekeliruan di kalangan para pencinta haiwan.
Pengaruh daripada media sosial dan perkongsian mengenai keunikan guinea pig juga mendorong orang ramai untuk memelihara spesis ini.
Tidak hairanlah ramai pencinta haiwan kini tertarik untuk memiliki dan membela guinea pig.

PUNCA MINAT
Pemilik tiga ekor guinea pig baka American, Silkie dan California, Nur Liyana Mohd. Nazri, 26 mula berminat untuk memelihara spesis tikus ini sejak empat tahun lalu.
Ujarnya, hatinya terpaut dengan kecomelan dan keunikan bunyi “wikwik” yang dikeluarkan haiwan berkenaan yang disifatkan sangat comel dan unik.
“Waktu itu saya sedang mencari hamster di sebuah petshop. Namun, niat asal saya terbatal apabila melihat guinea pig dengan saiznya yang besar dan bunyi “wikwik” yang comel membuatkan saya terus ingin memilikinya.
“Dari situlah bermulanya perjalanan saya sebagai penjaga setia tiga ekor guinea pig ini. Haiwan yang terkenal dengan pelbagai baka ini, turut menjadikan spesis ini menarik untuk dipelihara,” katanya kepada Seri.
MUDAH DIJANGKITI PENYAKIT
Sebagai pencinta haiwan, perkara yang paling dirisaukan adalah penyakit yang boleh menyerang haiwan peliharaan kesayangan mereka.
Menurut Liyana, penyakit berjangkit seperti kutu adalah antara yang sering dialami oleh guinea pig. Namun, perkara itu boleh dihindari dengan penjagaan yang rapi dan penggunaan ubat yang bersesuaian.
“Haiwan spesis tikus ini mempunyai jangka hayat dan secara puratanya daripada lima hingga tujuh tahun bergantung kepada cara penjagaan.
“Kebersihan perlu diutamakan. Sangkar juga perlu dibersihkan secara berkala supaya dapat mengelakkan pembiakan kutu yang boleh menjejaskan kesihatan spesis tersebut,” jelasnya.

KOS PENJAGAAN
Berkongsi tentang penjagaan haiwan, Liyana berkata, anggaran kos yang diperlukan untuk menjaga keperluan tiga ekor guinea pig peliharaannya adalah sekitar RM300 sebulan.
Selain itu, guinea pig memerlukan ruang yang luas untuk berlari dan bermain memandangkan setiap seekor berbeza dari segi saiz dan baka.
Tidak ketinggalan, pemberian makanan yang berkualiti dan seimbang diperlukan bagi memastikan haiwan itu memperoleh nutrien yang mencukupi untuk kekal sihat dan aktif.
“Kebanyakan kos yang diperlukan adalah untuk makanan kerana guinea pig merupakan haiwan yang sentiasa ingin mengunyah sepanjang masa.
“Dari segi pemakanan, ia memerlukan diet yang seimbang termasuk sayur-sayuran segar, buah-buahan dan pallet khusus untuk guinea pig.
“Keperluan asas lain seperti hideout juga wajib ada untuk mengelakkan perasaan takut kerana guinea pig adalah haiwan yang mudah terkejut,” jelasnya.
SENANG DIJAGA
Guinea pig adalah haiwan yang senang dijaga kerana keperluan mereka mudah didapati dan setiap seekor mempunyai karakter tersendiri.
“Ada yang hyperaktif, pemalu dan mudah dijinakkan.
“Ini menjadikan pengalaman memelihara guinea pig sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan dan penuh dengan pengetahuan,” katanya.










