SENI sulaman nyonya sering menghiasi kebaya yang menjadi pakaian wanita keturunan Baba dan Nyonya.
Malah, seni sulaman nyonya itu juga menjadi antara pengisian keharmonian budaya Malaysia yang kaya dengan pelbagai etnik dan kaum.
Tiada siapa menyangka, jauh di sebalik keharmonian suasana kampung yang dikelilingi sawah padi di Permatang Janggus, Penaga, Pulau Pinang ada seorang wanita Melayu yang menguasai seni sulaman nyonya.
Minat Khairiyah Ghazali, 45, tertumpah pada seni sulaman itu ketika mengikuti kursus sulaman nyonya oleh Lim Swee Khim sekitar 2007.
“Mendiang ‘master’ dalam seni sulaman nyonya. Biarpun saya ada kemahiran dalam bidang jahitan dan pernah bekerja selama 10 tahun di sebuah kilang jahitan, tetapi kerana minat mendalami seni sulaman nyonya, saya sanggup berhenti kerja di kilang jahitan itu.
“Saya suka melihat sulaman nyonya yang mempunyai pelbagai motif dan corak,” katanya.
Selepas mempelajari seni sulaman nyonya daripada mendiang Lim Swee Khim yang lebih mesra dipanggil auntie Lim, dia terus mengorak langkah bekerja dari rumah dan menjahit kebaya dengan motif sulaman nyonya.
Ujarnya, sewaktu mula belajar sulaman nyonya, auntie Lim mengupahnya menjahit sulaman nyonya.
Daripada situlah dia mula mempelajari pelbagai teknik dan motif sulaman nyonya secara lebih serius.
“Kebanyakan motif sulaman diinspirasikan daripada flora dan fauna. Antara motif popular adalah bunga peony, kekwa, burung merak, naga dan sebagainya,” katanya.
Beliau bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada suami, Rosli Hassan, 55.
Kata Khairiyah selain mengambil upah menjahit sulaman nyonya dia turut menjual sendiri kebaya sulaman nyonya yang dihasilkan untuk menambah pendapatan.
“Masa mula-mula mengambil upah sulaman nyonya, upahnya sekitar RM20 hingga ribuan ringgit mengikut motif dan saiz sulaman,” katanya.

Menambah kepelbagaian, beliau turut menghasilkan cenderahati kebaya sulaman nyonya, kebaya mini dan pakaian anak patung dengan corak sulaman bunga.
Selain minat, asas dalam bidang jahitan dan lukisan merupakan kunci utama bagi yang mahu mempelajari teknik sulaman nyonya lantaran individu perlu melukis motif flora atau fauna atas kertas sebelum menjahit sulaman menggunakan mesin jahit.
Selepas semakin mahir dengan seni sulaman nyonya dua tahun lalu, Khairiyah ternampak iklan di Facebook Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mengenai kursus jahitan dan daftar bagi menyertai kursus berkenaan bagi mengembangkan lagi perniagaan produk sulaman.
Selepas menyertai kursus bersama NCER dia memberanikan diri menghasilkan dan memasarkan sendiri produk di media sosial.
“NCER banyak memberi tunjuk ajar seperti cara-cara menyediakan invois dan sebagainya untuk kemudahan pemasaran produk sulaman nyonya,” katanya yang turut menawarkan kelas sulaman nyonya di rumah.
“Sama seperti konsep satu daerah satu produk, saya mahu Permatang Janggus dikenali sebagai daerah sulaman nyonya kerana mahu seni sulaman ini ada generasi pelapisnya,” katanya yang menyasarkan Permatang Janggus sebagai daerah sulaman nyonya dengan lebih ramai tukang jahit sulaman nyonya berada di situ.











